Tuesday, November 16, 2010

Takbir Hari Raya

Hari Raya Qurban. Takbir berkumandang mendayu-dayu, seperti yang kedengaran di setiap hari raya.


Takbir di sini suatu yang unik. Unik kerana lagunya. Takbir sebeginilah yang menjadikan Hari Raya itu Hari Raya pada kebanyakan kita. Tanpa takbir Hari Raya, seolah-olah tiada Hari Raya, baik Hari Raya Qurban, maupun Hari Raya Puasa. Takbir itulah tandanya Hari Raya. Takbir yang tidak ditakbirkan pada hari-hari selainnya.

Di perantauan pula, takbir hari raya menjadi penambah "zuq" berhari raya. Lagu takbir orang Malaysia memang unik. Orang Arab lagunya lain. Begitu juga orang Pakistan. Jauh sekali orang Afrika. Memang tak sama. Maka, kalau tidak merasainya di masjid-masjid tempatan, maka orang-orang Malaysia akan mengadakan majlis solat hari raya berasingan sesama sendiri. Dan bertakbir bersama-sama. Malam hariraya, bertakbir di rumah-rumah. Terasa benar-benar berhari raya, dan terubat kerinduan tidak berhari raya di kampung halaman. Takbir yang mendayu-dayu inilah yang kalanya boleh menitiskan airmata syahdu...

Tapi agaknya berapa ramai orang yang benar-benar memahami makna takbir yang dilaungkan itu? Berapa ramai pula yang menjiwai implikasi dan tuntutan takbir tersebut? Yakni maksud selain daripada dilaungkan semasa hari raya...

Cuba kita renungkan terjemahan maknanya:

ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar!
ALlah Maha Besar dengan penuh kebesaran,
Segala pujian bagi ALlah sebanyak-banyaknya
Dan Maha Suci ALlah pagi-pagi dan petang-petang,

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah
dan tidak kami sembah melainkan kepada-Nya
Memperikhlaskan buat-Nya agama ini
walaupun dibenci orang-orang kafir.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah yang tunggal
Benar janji-Nya
dan Ia menolong hamba-Nya
dan Ia memberikan kekuatan kepada tentera-Nya
dan Ia mengusir (tentera-tentera kuffar) al-Ahzab bersendirian.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah dan ALlah Maha Besar
ALlah Maha Besar dan hanya bagi-Nyalah puji-pujian.

Nah cuba kita perdalami maksud terjemahan tersebut. Ini nyata bukan bait-bait kerinduan yang mendatangkan kesayuan. Memang jauh sekali panggang dari api. Sebaliknya ini adalah kata-kata semangat laungan perjuangan. Kalimat-kalimat ini adalah pernyataan Tauhid yang jelas, tanpa kompromi lagi. Seruan-seruan ini membayangkan al-bara'ah yakni garis pemisahan yang terang di antara tauhid dan kekufuran.

Ia menuntut pernyataan keimanan dan tauhid yang tegas. Hanya ALlahlah satu-satunya ilah yakni sembahan kita, kerana hanya Ialah yang layak menjadi ilah tersebut. Hanya kepada ALlahlah pengabdian kita ditujukan dan ditumpukan. Dan ini perlu dizahirkan di dalam penghayatan dan kehidupan.

Tidak, ini tidak bermaksud cuma kalau kita tidak menyembah patung-patung, atau pokok kayu, atau batu-bata, atau Jesus, atau Siva, atau Buddha, atau hantu dan jembalang, maka peringatan tersebut tidak relevan dengan kita. Dunia kini adalah dunia yang tidak bertuhan, maka memang ramai sudah tidak lagi menyembah ilah-ilah begini. Sudah "out-of-fashion". Malah ramai pula yang memperolok-olokkan agamapun.

Namun ramai yang tidak sedar dalam ketiadaan ilah mereka dalam era materialistik ini, mereka juga "menyembah" sesuatu. Ada yang menyembah wang ringgit. Ada yang menyembah kuasa. Ada yang menyembah orang yang berkuasa. Ramai yang menyembah nafsu mereka. Memang amnya orang tak pergi puja duit dsb secara fizikal. Tapi aksi mereka menunjukkan sedemikian. Menyembah dalam arti kata memperhambakan diri untuknya.

Begitulah juga tuntutan Tauhid apabila kita menyebut memperikhlaskan diri buat-Nya dalam urusan agama ini. Hanyasanya kerana-Nya, tidak kerana sebarang yang lain. Bukan kerana sebarang untung dunia. Tanpa memperdulikan pandangan selain-Nya. Tidakkah kita juga menyebut, walau kariha ~l-kafirun? Walaupun orang-orang kafir membencinya? Yakni orang-orang kafir membenci kita menjunjung agama ALlah ini, tetapi kita tetap dengannya? Lalu sewajarnya kita bertanya, benarkah kita sedemikian?

Kita juga beria-ia melaungkan, La ilaha illaLlahu wahdah, shadaqa wa'dah. Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah yang Esa, Ia membenarkan janji-Nya. Ia akan mengotakan janji-Nya. Maka apakah janji-Nya? Itulah janji-Nya terhadap para ansar-Nya. Mereka yang membantu menegakkan ad-Din-Nya. Yang memastikan supaya kalimatuLlahi hiya ~l-'ulya, Kalimat ALlahlah yang paling tinggi. Yang menegakkan syari'at-Nya. Yang mendokong dan menjiwai sistem-Nya. Itulah tugas abdahu, hamba-Nya, itulah fungsi jundahu, tentera-Nya. Dan janji ALlah lagi, ia mengusir dan mengalahkan tentera-tentera sekutu (kuffar) yang memerangi agama-Nya. Tiada langsung keraguan padanya...

Nah, inilah yang ditakbirkan. Obor-obor tauhid yang bersemarak. Pemisahan jiwa yang muktamad. Penerimaan keimanan yang kental. Penolakan kepura-puraan kekufuran yang tanpa ragu-ragu lagi. Semangat yang meluap-luap dengan ubudiyyah, pengabdian kepada Rabb. Bulatnya penyerahan kepada-Nya.

Ini bukannya dendangan rindu sang kelana. Ini bukannya irama sayu hati yang lara. Fahamilah sebenarnya maknanya. Dan hayatilah sepenuhnya tuntutannya.

Oh ya, Hari Raya Qurban berlanjutan takbirnya ke hari-hari tasyrik yang tiga. Lambang keagungan pengorbanan jiwa yang mulia. Teruskan bertakbir, tetapi bakarlah iramanya. Lalu jiwainya semangatnya.

ALlahu akbar, ALlahu akbar, ALlahu akbar!
La ilaha illa ~Llahu waLlahu akbar
ALlahu akbar waliLlahi ~l-hamd!

Wednesday, November 3, 2010

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (5/5)

5. KITA DITUNTUT UNTUK MEMPERTAHANKAN ISLAM SESUNGGUHNYA (al-Jihad)

5.1 Di dalam kita berusaha untuk menyebarluaskan Islam, secara tabii usaha-usaha kita tersebut akan melalui berbagai ranjau dan rintangan. Sesetengah daripada rintangan ini datang secara dalaman, dalam bentuk perasaan dan bisikan-bisikan yang melemahkan semangat kita untuk terns maju dan mara, dan menarik kita agar mengambil jalan yang mudah, dan tiada cabaran (lalu menyebabkan kita tidak mencapai matlamat kita).

Bagi menghadapi rintangan ini kita dituntut untuk sentiasa cekal dan bersungguh-sungguh, dan tidak patah hati, supaya kita tidak menjadi malas atau kecewa, sebaliknya terus berusaha sehingga matlamat kita terhasil. Kita dituntut untuk berjihad melawan nafsu syahwat kita dan juga syaitan yang menyesatkan, dan sentiasa mendampingkan diri dengan ALIah untuk memperoleh kekuatan dalaman baginya, kerana sekiranya kita gagal maka sudah pastilah Islam tiada pendokongnya dan menjadi lemah.

5.3 Sesetengahnya pula berupa unsur-unsur luaran yang cuba menyekat kita menjalankan usaha kita mengangkat tinggi panji-panji Islam kerana ianya kelak akan mencabar kedudukan mereka atau menggugat kepentingan mereka. Musuh-musuh Islam baik berupa golongan munafikin maupun golongan kuffar akan sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya kebenaran.

5.4 Kita dituntut untuk memperslapkan diri bagi menghadapi segala penentangan dan usaha untuk menghancurleburkan Islam ini. Oleh kerana serangan-serangan ini datang daripada berbagai sudut, maka setiap sudut yang berkenaan perlulah diperkukuhkan. Ini termasuklah serangan idea, fikrah dan konsepsual, maka kita hendaklah bersedia untuk menangkisnya melalui pembuahan gagasan pemikiran yang tajam, penulisan yang prolifik dan berkesan dan juga penyampaian hujjah-hujjah yang bernas dan meyakinkan melalui percakapan.

5.5 Juga, serangan-serangan ini boleh datang dari sudut ekonomi dan gejala sosial, maka kita harusnya memperkukuhkan Islam dari sudut tersebut. Kemuncaknya Islam mungkin diserang secara fizikal dan ketenteraan, maka pendokong Islam seharusnya bersiapsedia juga dari penjuru ini sepenuhnya.

5.6 Walau apapun kita dituntut untuk mengatasi semua cabaran dan dugaan ini agar akhirnya Islam itu dijulang tinggi dan prinsip-prinsip dan ajaran-ajarannya dapat dimahkotakan dan dihayati manusia.

(Tamat)

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (4/5)

4. KITA DITUNTUT UNTUK MENYEBAR DAN MENGONGSI KEBENARAN DAN RAHMAT ISLAM KEPADA MANUSIA SERATANYA (ad-Da'wah)

4.1 Setelah kita menerima Islam secara peribadi di dalam diri kita, dan merasakan kelazatan beriman dan dan memperoleh rahmah dan lindungan daripada ALlah s.w.t. maka secara tabiinya tentulah kita mahu mengongsikan segala kebaikan itu dengan mereka yang kita sayangi, mereka yang hampir dengan kita, malah kepada umat manusia seluruhnya. Malah sebenarnya inilah juga yang dituntut oleh Islam itu sendiri, sepertimana sabda RasuluLlah s.a.w.:

“Sampaikanlah daripadaku, walaupun sepotong ayat.” [al-Hadits]

“Agama itu adalah nasihat.” [al-Hadits]

4.2 Tujuan Islam itu ialah menyelamatkan manusia daripada terhumban ke dalam api neraka di hari kemudian, di samping memastikan keadaan hidup yang sejahtera di dunia ini. Seseorang Muslim tentunya mempunyai perasaan bertanggungjawab dan mengambil berat di dalam hatinya untuk memastikan orang lain dan masyarakat seluruhnya turut sama-sama terselamat dengan Islam. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa yang tidur malam sedangkan ia tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Muslim, maka dia bukanlah daripada golongan mereka.” [al-Hadits]

4.3 Sebenarnya sikap ini, selain daripada suatu yang tabii bagi seseorang yang tinggi hemahnya untuk menghendaki orang lain turut merasakan kebaikan dan kesejahteraan, juga menjadi suatu jaminan atau insurans untuk memastikan dirinya tetap selamat. Ini kerana, seandainya seseorang itu sahajalah baik, tetapi di sekelilingnya berlaku suasana yang fasad dan mungkar, dipenuhi oleh kepincangan dan kerosakan, maka lambat-laun kejahatan itu akan mengesaninya juga. Maka teramat pentinglah bagi kita untuk memastikan bahawa kebaikan dan ketakwaan itulah yang melata dan dominan, bukannya kejahatan dan kesesatan.

4.4 Untuk memastikan sedemikian, maka kita dituntut untuk membentuk suatu lingkaran dan suatu masyarakat yang dapat sama-sama menghayati Islam, bukan hanya secara individu dan sendiri-sendirian malah secara bersama dan saling kukuh-mengukuh. Sebuah masyarakat yang menghayati Islam juga akan dapat menjadi contoh dan tauladan kepada manusia seluruhnya, kerana la dapat memberikan gambaran secara live bagaimana Islam dapat menjadi penyelesai kepada masalah manusia, dan membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada dam sekelilingnya.

4.5 Tugas dan tanggungjawab untuk memastikan sebuah masyarakat yang menghayati Islam terbina bukanlah suatu yang enteng dan mudah, apatah lagi untuk dilaksanakan secara individu dan seorangan. Oleh itu, adalah dituntut agar mereka yang hendak menghayati Islam sepenuhnya saling tolong-menolong dan bergotong-royong sesama sendiri bagi mencapai matlamat ini. Keria-kerja mereka harus dikoordinasikan untuk memberikan pulangan yang paling optimum dan effektif. Kesemuanya ini memerlukan wujudkan suatu saf yang tersusun, supaya kerja-kerja ini dapat dirancang dan dilaksanakan sebaiknya.

(bersambung)

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (3/5)

3. KITA DITUNTUT UNTUK MENGAMAL DAN MEMPRAKTIKKAN ISLAM SELURUHNYA (al-'Amal wa al-‘Ibadah)

3.1 Seterusnya kita dituntut untuk menghayati dan menjiwai segala apa yang kita fahami mengenai Islam daripada sumber-sumber yang sahih tersebut. Kita melihat seluruh kehidupan itu sebagai medan untuk kita beribadah kepada Allah s.w.t., bukannya hanya terbatas kepada acara-acara tertentu seperti sembahyang dan puasa sahaja (ibadah khusus).

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri menyembah-Ku.” [adz-Dzariyat 51:56]

3.2 Untuk memastikan setiap amalan kita dapat dikira sebagai ibadah kita harus memastikan dua syarat dipenuhi, sesuai dengan dua syahadah yang kita sebutkan:

Pertama, kita perlu memastikan bahawa segala areal yang kita lakukan tersebut dilakukan kerana Allah s.w.t. semata-mata, dan tidak kerana sesuatu makhluk lain, atau kerana ria' dan menunjuk-nunjuk.

Kedua, kita dikehendaki melakukan sesuatu amal itu sesuai dengan prinsip yang telah ditunjukkan oleh ar-Rasul s.a.w., dan tidak berlandaskan jalan-jalan yang lain, yang boleh membawa kita kepada kesesatan.

Kesimpulannya, tujuan kita hendaklah benar (kerana Allah), dan cara kita hendaklah betul (mengikut sunnah RasuluLlah. s.a.w.).

3.3 Di dalam Islam pengabdian kira, kepada Khaliq (Pencipta) adalah secara langsung tanpa perantaram seperti rahib atau keramat atau seumpamanya. Untuk itu kita harus sentiasa menghubungkan hati-hati kita terus dengan ALlah s.w.t. sehingga kita dapat merasakan muraqabah ALlah terhadap amalan kita. Dari sini datanglah apa yang disebut sebagai al-ihsan yakni kita beribadah seolah-olah kita nampak ALlah, dan kalau kita tak nampak, maka kita memang sedar ALlah itu memerhatikan kita. Ini benar-benar memberikan kita merasai kelazatan beribadah, dan lantaran itu mendorongkan kita sentiasa mengelokkan dan mencemerlangkan kualiti amalan dan ibadah kita.

3.4 Terdapat suatu hubungan yang langsung di antara ibadah khusus, seperti solat, dan puasa, dengan ibadah umum (amalan seharian kita secara umumnya, asalkan menepati dua syarat tadi). lbadah khusus mengajar manusia kualiti-kualiti yang sepatutnya dihayatinya di dalam kehidupannya seluruhnya, seperti mana firman ALlah s.w.t.:

“Sesungguhnya solat, itu mencegah daripada perbuatan keji dan munkar.” [al-'Ankabut 29:45]

3.5 Ini membawa kita untuk memahami bahawa yang dituntut daripada pengamalan ini bukan sahaja tindakan-tindakan dan gerakan-gerakan anggota kita yang zahir sahaja, bahkan intipati diri kita dan amalan batin kita haruslah juga menghayati Islam itu. Seseorang itu dinilai bukan sahaja daripada apa yang ia lakukan yang dapat dilihat secara fizikal sahaja, malah juga di atas apa yang ia tidak lakukan (ia tinggalkan), apa yang ia fikir, apa pendiriannya, amalan hatinya, dan sikap dan keperibadiannya. Di sinilah kita memahami tuntutan ke atas pembentukan akhlak yang mulia.

“Sesungguhnya hanya sanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” [al-Hadits]

3.6 Termasuk juga di dalam mengamalkan Islam secara seluruhnya ialah kita membebaskan diri kita daripada belenggu dan runtunan nafsu syahwat, yang akan memalingkan kita daripada melakukan amalan soleh malah mendorong kita melakukan amalan mungkar dan maksiat.

“…kerana sesungguhnya nafsu (jiwa) itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu (jiwa) yang diberi rahmat oleh Tuhanku...” [Yusuf 12:53]

“...dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan engkau daripada jalan ALlah...” [Shaad 38:26]

Namun manusia tidak lepas daripada kesilapan dan kesalahan; maka orang yang bersalah itu hendaklah segera bertaubat dan membetulkan amalannya.

“Tiap-tiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang segera bertaubat kepada ALlah.” [al-Hadits]

“Dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perbuatan keji (faahisyah) atau menganiayai (menzalimi) diri sendiri, mereka ingat akan ALIah lalu mereka memonon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapa lagi yang mengampunkan dosa selain daripada ALlah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu sedangkan mereka mengetahui.” [Aali 'Imran 3:135]

3.7 Termasuk juga dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan ini ialah dengan menegakkan Islam di dalam keluarga kita dan memastikan segala amalan harian dalam keluarga kita berlandaskan dan berpaksikan prinsip-prinsip dan aspirasi Islam. lni sukar untuk dilaksanakan melainkan rumahtangga itu dibina di atas asas-asas Islam itu sendiri. Untuk itu sayogialah perkahwinan di antara pasangan suami-isteri dimeterai d! atas kefahaman terhadap prinsip-prinsip Islam, yang dikongsi bersama, lalu disirami dengan perasaan kasih sayang, mahabbah dan rahmah yang diasaskan di atas aqidah yang murni, ibadah yang sah, fikrah yang benar, dan persefahaman di dalam pemikiran, jiwa dan perasaan. Ini hanya akan tercapai sekiranya rakan kongsi hidup dipilih dengan baik menurut kriteria yang betul.

(bersambung)

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (2/5)

2. KITA DITUNTUT UNTUK MEMPELAJARI DAN MEMAHAMI ISLAM SEBETULNYA (al-'Ilm wa al-Fahm)

2.1 Setelah seseorang insan itu menerima Islam, maka sudah tentulah ia sewajarnya mengetahui dan memahami dengan lebih jitu lagi apa intipati daripada penerimaan tersebut dan segala perincian tanggungjawab dan penyempurrnaannya. Beliau hendaklah mempelajari segala perkara yang dapat mengabsahkan kelslamannya.

2.2 Islam hanya dapat difahami melalui sumber-sumber yang sah (an-nahju as-sohih), iaitu apa yang diwahyukan oleh ALlah secara langsung melalui al-Qur'an, dan as-Sunnah iaitu apa yang dicontohkan oleh RasuluLlah s.a.w. sebagai “al-Qur'an yang berjalan” seperti kata 'A'isyah r.a.

“Telah aku tinggalkan pada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya sekali-kali kamu tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab ALlah dan Sunnah Rasul-Nya.” [al-Hadits]

2.3 Intipati daripada apa yang digariskan oleh sumber-sumber yang asal ini ialah bahawa Islam itu bertujuan memberikan kesejahteraan kepada manusia dan alam ini secara keseluruhannya, dan menuntut perigabdian makhluk kepada Penciptanya (Khaliq) secara total. Islam bukan hanya sebagai pelengkap kepada kehidupan manusia contohnya dapat aspek ruhiyyah (spiritual), malah sebenarnya Islam itulah kehidupan seluruhnya, kerana hanyasanyalah secara sedemikianlah pengabdian kepada Allah itu dalam terlaksana secara sepenuhnya dan secara hakikinya.

2.4 Di samping itu juga Islam, mengajar manusia beberapa prinsip asas dalam menjalani kehidupan, dan sebagai neraca bagi mempertimbangkan di antara yang haq dan yang batil, yang wajar dengan yang selingkuh, yang lurus dengan yang terseleweng sesat, yang saksama dengan yang melampau (extreme).

(bersambung)

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (1/5)

Kita mengatakan kita telah memeluki Islam. Tahukah kita apakah tuntutan-tuntutan Islam ke atas kita lantaran berintima'nya kita dengan Islam tersebut? Apakah tanggungiawab-tanggungiawab kita? Cukupkah sekadar kita mengucapkan beberapa kalimat di bibir, lalu dibiarkan kita di situ?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengucapkan ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji?” [al-Ankabut 29:2]

1. KITA DITUNTUT UNTUK MEMELUK DAN MENERIMA ISLAM SEPENUHNYA (asy-Syahadatayn wa al-'Aqidah)

1.1 Pertama sekali, manusia dituntut untuk menerima dan memeluk Islam. Secara zahirnya,yakni secara legal, seseorang dikira sebagai telah memeluk Islam apabila ia mengucapkan dua kalimah syahadah.

1.2 Namun seseorang Muslim hakiki tidak akan berpuas hanya dengan penerimaan secara legal sahaja, malah ia akan cuba memastikan penerimaan dan pemelukan Islamnya adalah secara seluruh dan sebenar, dan memastikan dirinya berpegang dengan 'aqidah yang salimah (sejahtera) yang akan dapat menyelamatkan dirinya di hari akhirat kelak.

1.3 Seseorang Muslim yang sejati akan memastikan bahawa 'aqidah yang dipegangnya adalah benar-benar manifestasi daripada pengakuan dua kalimah syahadahnya, bahawa segala kehidupannya diikhlaskan semata-mata bagi memperoleh keridhaan ALlah semata-mata, yakni menjadikan ALlah sebagai fokus dan matlamat kehidupannya, dan melakukan hal tersebut hanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh utusan ALlah kepadanya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

1.4 la menyedari bahawa penerimaannya terhadap ALlah sebagai matlamat kehidupan dan kewujudan hanya akan tercapai dengan menerima sifat-sifat uluhiyyah dan rubbubiyyah ALlah s.w.t. sepenuhnya, dengan aqidah yang suci sepertimana yang difahami oleh golongan sahabah dan para salaf ash-sholeh, iaitu mengabdikan diri sepenuhnya dan sebulatnya kepada ALlah, dan tidak mengambil yang lain sebagai saingan atau tandingan kepada Allah. Pengabdian ini dilakukan dengan penuh rasa takut (khauf) dan cinta (hubb). Pada masa yang sama ALlah sebagai Sembahan (Ilah) dan Rabb difahami melalui sifat-sifatnya yang Maha Qudus, Maha Kuasa dan Maha Agung.

1.5 Seseorang Muslim juga dituntut untuk meyakini akan kebenaran Islam seluruhnya, dan meyakini bahawa ALlah menurunkan Islam sebagai satu sistem bagi menyelesaikan sebarang permasalahan manusia. Penerimaan ini hendaklah penerimaan yang total (kulliy) dan bukannya sebahagian-sebahagian (juz’iy): seseorang Islam tidak boleh memilih-milih bahagian Islam yang ia suka sahaja dan mengenepikan mana-mana bahagian yang ia tidak suka. Natijah daripada ia menolak walau satu sahaja bahagian Islam yang telah maktub dan jelas ialah ia seolah-olah telah menolak Islam itu seluruhnya.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu seluruhnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” [al-Baqarah 2:208]

(bersambung)

Nota: Artikel ini pertama kalinya ditulis pada bulan Mei 2003.