Tuesday, November 16, 2010

Takbir Hari Raya

Hari Raya Qurban. Takbir berkumandang mendayu-dayu, seperti yang kedengaran di setiap hari raya.


Takbir di sini suatu yang unik. Unik kerana lagunya. Takbir sebeginilah yang menjadikan Hari Raya itu Hari Raya pada kebanyakan kita. Tanpa takbir Hari Raya, seolah-olah tiada Hari Raya, baik Hari Raya Qurban, maupun Hari Raya Puasa. Takbir itulah tandanya Hari Raya. Takbir yang tidak ditakbirkan pada hari-hari selainnya.

Di perantauan pula, takbir hari raya menjadi penambah "zuq" berhari raya. Lagu takbir orang Malaysia memang unik. Orang Arab lagunya lain. Begitu juga orang Pakistan. Jauh sekali orang Afrika. Memang tak sama. Maka, kalau tidak merasainya di masjid-masjid tempatan, maka orang-orang Malaysia akan mengadakan majlis solat hari raya berasingan sesama sendiri. Dan bertakbir bersama-sama. Malam hariraya, bertakbir di rumah-rumah. Terasa benar-benar berhari raya, dan terubat kerinduan tidak berhari raya di kampung halaman. Takbir yang mendayu-dayu inilah yang kalanya boleh menitiskan airmata syahdu...

Tapi agaknya berapa ramai orang yang benar-benar memahami makna takbir yang dilaungkan itu? Berapa ramai pula yang menjiwai implikasi dan tuntutan takbir tersebut? Yakni maksud selain daripada dilaungkan semasa hari raya...

Cuba kita renungkan terjemahan maknanya:

ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar!
ALlah Maha Besar dengan penuh kebesaran,
Segala pujian bagi ALlah sebanyak-banyaknya
Dan Maha Suci ALlah pagi-pagi dan petang-petang,

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah
dan tidak kami sembah melainkan kepada-Nya
Memperikhlaskan buat-Nya agama ini
walaupun dibenci orang-orang kafir.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah yang tunggal
Benar janji-Nya
dan Ia menolong hamba-Nya
dan Ia memberikan kekuatan kepada tentera-Nya
dan Ia mengusir (tentera-tentera kuffar) al-Ahzab bersendirian.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah dan ALlah Maha Besar
ALlah Maha Besar dan hanya bagi-Nyalah puji-pujian.

Nah cuba kita perdalami maksud terjemahan tersebut. Ini nyata bukan bait-bait kerinduan yang mendatangkan kesayuan. Memang jauh sekali panggang dari api. Sebaliknya ini adalah kata-kata semangat laungan perjuangan. Kalimat-kalimat ini adalah pernyataan Tauhid yang jelas, tanpa kompromi lagi. Seruan-seruan ini membayangkan al-bara'ah yakni garis pemisahan yang terang di antara tauhid dan kekufuran.

Ia menuntut pernyataan keimanan dan tauhid yang tegas. Hanya ALlahlah satu-satunya ilah yakni sembahan kita, kerana hanya Ialah yang layak menjadi ilah tersebut. Hanya kepada ALlahlah pengabdian kita ditujukan dan ditumpukan. Dan ini perlu dizahirkan di dalam penghayatan dan kehidupan.

Tidak, ini tidak bermaksud cuma kalau kita tidak menyembah patung-patung, atau pokok kayu, atau batu-bata, atau Jesus, atau Siva, atau Buddha, atau hantu dan jembalang, maka peringatan tersebut tidak relevan dengan kita. Dunia kini adalah dunia yang tidak bertuhan, maka memang ramai sudah tidak lagi menyembah ilah-ilah begini. Sudah "out-of-fashion". Malah ramai pula yang memperolok-olokkan agamapun.

Namun ramai yang tidak sedar dalam ketiadaan ilah mereka dalam era materialistik ini, mereka juga "menyembah" sesuatu. Ada yang menyembah wang ringgit. Ada yang menyembah kuasa. Ada yang menyembah orang yang berkuasa. Ramai yang menyembah nafsu mereka. Memang amnya orang tak pergi puja duit dsb secara fizikal. Tapi aksi mereka menunjukkan sedemikian. Menyembah dalam arti kata memperhambakan diri untuknya.

Begitulah juga tuntutan Tauhid apabila kita menyebut memperikhlaskan diri buat-Nya dalam urusan agama ini. Hanyasanya kerana-Nya, tidak kerana sebarang yang lain. Bukan kerana sebarang untung dunia. Tanpa memperdulikan pandangan selain-Nya. Tidakkah kita juga menyebut, walau kariha ~l-kafirun? Walaupun orang-orang kafir membencinya? Yakni orang-orang kafir membenci kita menjunjung agama ALlah ini, tetapi kita tetap dengannya? Lalu sewajarnya kita bertanya, benarkah kita sedemikian?

Kita juga beria-ia melaungkan, La ilaha illaLlahu wahdah, shadaqa wa'dah. Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah yang Esa, Ia membenarkan janji-Nya. Ia akan mengotakan janji-Nya. Maka apakah janji-Nya? Itulah janji-Nya terhadap para ansar-Nya. Mereka yang membantu menegakkan ad-Din-Nya. Yang memastikan supaya kalimatuLlahi hiya ~l-'ulya, Kalimat ALlahlah yang paling tinggi. Yang menegakkan syari'at-Nya. Yang mendokong dan menjiwai sistem-Nya. Itulah tugas abdahu, hamba-Nya, itulah fungsi jundahu, tentera-Nya. Dan janji ALlah lagi, ia mengusir dan mengalahkan tentera-tentera sekutu (kuffar) yang memerangi agama-Nya. Tiada langsung keraguan padanya...

Nah, inilah yang ditakbirkan. Obor-obor tauhid yang bersemarak. Pemisahan jiwa yang muktamad. Penerimaan keimanan yang kental. Penolakan kepura-puraan kekufuran yang tanpa ragu-ragu lagi. Semangat yang meluap-luap dengan ubudiyyah, pengabdian kepada Rabb. Bulatnya penyerahan kepada-Nya.

Ini bukannya dendangan rindu sang kelana. Ini bukannya irama sayu hati yang lara. Fahamilah sebenarnya maknanya. Dan hayatilah sepenuhnya tuntutannya.

Oh ya, Hari Raya Qurban berlanjutan takbirnya ke hari-hari tasyrik yang tiga. Lambang keagungan pengorbanan jiwa yang mulia. Teruskan bertakbir, tetapi bakarlah iramanya. Lalu jiwainya semangatnya.

ALlahu akbar, ALlahu akbar, ALlahu akbar!
La ilaha illa ~Llahu waLlahu akbar
ALlahu akbar waliLlahi ~l-hamd!

1 comment:

kamalkhalil said...

Orang kampung atau orang Malaysia tidak pernah dengar takbir raya yang tidak mendayu. Untuk berubah perlu ada sekumpulan orang islam yang tunjuk dengan contoh. Ini cara rasulullah saw mengajar sahabat-sahabat dia. Ketika beliau meminta sahabat-sahabat bertahlul pada mulanya tiada yang mahu tapi selepas beliau tunjuk bagaimana, baru sahabat bertahlul di Hudaibiyah. Pengajaran nya sabagai daie jangan hanya berteori tapi tunjukkan jalannya atau caranya atau cara takbir raya yang syarie. Jangan hanya cakap sahaja... 2 sen dari saya.