Friday, March 20, 2020

Jangan Mudah Menghukum

Selain daripada Covid-19, satu lagi gejala yang mengenai ramai rakyat Malaysia ialah kebebalan terlalu cepat mahu komen dan menghukum, sedangkan mereka tidak mendapat maklumat yang cukuppun.
Fenomena cepat menghukum ini datang daripada sikap sombong yang menyangka ia tahu segala-galanya, dan tidak sabar untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya daripada semua sudut yang terkait.
Lebih buruk lagi ialah apabila penghukuman (judgement) ini disertai dengan cerca-nesta yang tidak berpenghujung, seolah-olah semuanya sudah muktamad. Sedangkan sisi pandangan yang ia terima hanyalah secebis sahaja daripada apa yang wajar dan mungkin.
Di antara sebab utama sikap sebegini berlaku ialah kejahilan, keangkuhan dan perasaan taksub, lalu ia mengelabui segala kewajaran dan perspektif. Perkara-perkara begini jugalah yang akan menyebabkan tercetusnya perbalahan, pergaduhan dan permusuhan di antara warga.
Seseorang yang bijaksana akan sentiasa berjaga-jaga dalam memberikan pandangan, dan sentiasa menyediakan ruang untuk ia berundur kiranya terdapat kemungkinan perspektifnya salah atau silap tanpa menjejaskan maruah dan kewibawaannya. Malah ia akan sentiasa bersedia untuk menarik balik pandangannya kiranya nyata tersilap, dan tidakm menjadi aib pula kiranya ia meminta maaf.
Ini tentunya amat sukar bagi seseorang yang jahil atau angkuh, apatah lagi sekiranya ia telah menghamburkan kalimat-kalimat keras dan nesta sebelum itu. Tentunya ia akan terdedah sebagai seorang yang tercemar air mukanya sekiranya ia mengundur, lantas ia akan lebih keras mempertahankan pendiriannya walaupun jelas salah.
Apapun, sikap kita hendaklah sentiasa berlaku adil, dan bertindak bijaksana, kerana Allah sendiri telah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu." [An-Nisa 4:135].
Untuk itu, berhubaya-hubayalah, dan jagalah kata-kata kita supaya jangan terlalu ghairah untuk memberikan penghukuman, dan berkatalah hanya kiranya ada manfaatnya, terutamanya dalam zaman komunikasi maya dan media sosial kini. Ikutlah kata-kata bistari, "Mereka yang bijaksana berkata-kata kerana meraka mempunyai sesuatu untuk disampaikan, sedangkan si-jahil hanya semata-mata mahu berkata sesuatu."