Wednesday, November 3, 2010

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (1/5)

Kita mengatakan kita telah memeluki Islam. Tahukah kita apakah tuntutan-tuntutan Islam ke atas kita lantaran berintima'nya kita dengan Islam tersebut? Apakah tanggungiawab-tanggungiawab kita? Cukupkah sekadar kita mengucapkan beberapa kalimat di bibir, lalu dibiarkan kita di situ?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengucapkan ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji?” [al-Ankabut 29:2]

1. KITA DITUNTUT UNTUK MEMELUK DAN MENERIMA ISLAM SEPENUHNYA (asy-Syahadatayn wa al-'Aqidah)

1.1 Pertama sekali, manusia dituntut untuk menerima dan memeluk Islam. Secara zahirnya,yakni secara legal, seseorang dikira sebagai telah memeluk Islam apabila ia mengucapkan dua kalimah syahadah.

1.2 Namun seseorang Muslim hakiki tidak akan berpuas hanya dengan penerimaan secara legal sahaja, malah ia akan cuba memastikan penerimaan dan pemelukan Islamnya adalah secara seluruh dan sebenar, dan memastikan dirinya berpegang dengan 'aqidah yang salimah (sejahtera) yang akan dapat menyelamatkan dirinya di hari akhirat kelak.

1.3 Seseorang Muslim yang sejati akan memastikan bahawa 'aqidah yang dipegangnya adalah benar-benar manifestasi daripada pengakuan dua kalimah syahadahnya, bahawa segala kehidupannya diikhlaskan semata-mata bagi memperoleh keridhaan ALlah semata-mata, yakni menjadikan ALlah sebagai fokus dan matlamat kehidupannya, dan melakukan hal tersebut hanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh utusan ALlah kepadanya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

1.4 la menyedari bahawa penerimaannya terhadap ALlah sebagai matlamat kehidupan dan kewujudan hanya akan tercapai dengan menerima sifat-sifat uluhiyyah dan rubbubiyyah ALlah s.w.t. sepenuhnya, dengan aqidah yang suci sepertimana yang difahami oleh golongan sahabah dan para salaf ash-sholeh, iaitu mengabdikan diri sepenuhnya dan sebulatnya kepada ALlah, dan tidak mengambil yang lain sebagai saingan atau tandingan kepada Allah. Pengabdian ini dilakukan dengan penuh rasa takut (khauf) dan cinta (hubb). Pada masa yang sama ALlah sebagai Sembahan (Ilah) dan Rabb difahami melalui sifat-sifatnya yang Maha Qudus, Maha Kuasa dan Maha Agung.

1.5 Seseorang Muslim juga dituntut untuk meyakini akan kebenaran Islam seluruhnya, dan meyakini bahawa ALlah menurunkan Islam sebagai satu sistem bagi menyelesaikan sebarang permasalahan manusia. Penerimaan ini hendaklah penerimaan yang total (kulliy) dan bukannya sebahagian-sebahagian (juz’iy): seseorang Islam tidak boleh memilih-milih bahagian Islam yang ia suka sahaja dan mengenepikan mana-mana bahagian yang ia tidak suka. Natijah daripada ia menolak walau satu sahaja bahagian Islam yang telah maktub dan jelas ialah ia seolah-olah telah menolak Islam itu seluruhnya.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu seluruhnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” [al-Baqarah 2:208]

(bersambung)

Nota: Artikel ini pertama kalinya ditulis pada bulan Mei 2003.

No comments: