Wednesday, November 3, 2010

Apakah Tuntutan-tuntutan Islam Ke Atas Kita? (4/5)

4. KITA DITUNTUT UNTUK MENYEBAR DAN MENGONGSI KEBENARAN DAN RAHMAT ISLAM KEPADA MANUSIA SERATANYA (ad-Da'wah)

4.1 Setelah kita menerima Islam secara peribadi di dalam diri kita, dan merasakan kelazatan beriman dan dan memperoleh rahmah dan lindungan daripada ALlah s.w.t. maka secara tabiinya tentulah kita mahu mengongsikan segala kebaikan itu dengan mereka yang kita sayangi, mereka yang hampir dengan kita, malah kepada umat manusia seluruhnya. Malah sebenarnya inilah juga yang dituntut oleh Islam itu sendiri, sepertimana sabda RasuluLlah s.a.w.:

“Sampaikanlah daripadaku, walaupun sepotong ayat.” [al-Hadits]

“Agama itu adalah nasihat.” [al-Hadits]

4.2 Tujuan Islam itu ialah menyelamatkan manusia daripada terhumban ke dalam api neraka di hari kemudian, di samping memastikan keadaan hidup yang sejahtera di dunia ini. Seseorang Muslim tentunya mempunyai perasaan bertanggungjawab dan mengambil berat di dalam hatinya untuk memastikan orang lain dan masyarakat seluruhnya turut sama-sama terselamat dengan Islam. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa yang tidur malam sedangkan ia tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Muslim, maka dia bukanlah daripada golongan mereka.” [al-Hadits]

4.3 Sebenarnya sikap ini, selain daripada suatu yang tabii bagi seseorang yang tinggi hemahnya untuk menghendaki orang lain turut merasakan kebaikan dan kesejahteraan, juga menjadi suatu jaminan atau insurans untuk memastikan dirinya tetap selamat. Ini kerana, seandainya seseorang itu sahajalah baik, tetapi di sekelilingnya berlaku suasana yang fasad dan mungkar, dipenuhi oleh kepincangan dan kerosakan, maka lambat-laun kejahatan itu akan mengesaninya juga. Maka teramat pentinglah bagi kita untuk memastikan bahawa kebaikan dan ketakwaan itulah yang melata dan dominan, bukannya kejahatan dan kesesatan.

4.4 Untuk memastikan sedemikian, maka kita dituntut untuk membentuk suatu lingkaran dan suatu masyarakat yang dapat sama-sama menghayati Islam, bukan hanya secara individu dan sendiri-sendirian malah secara bersama dan saling kukuh-mengukuh. Sebuah masyarakat yang menghayati Islam juga akan dapat menjadi contoh dan tauladan kepada manusia seluruhnya, kerana la dapat memberikan gambaran secara live bagaimana Islam dapat menjadi penyelesai kepada masalah manusia, dan membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada dam sekelilingnya.

4.5 Tugas dan tanggungjawab untuk memastikan sebuah masyarakat yang menghayati Islam terbina bukanlah suatu yang enteng dan mudah, apatah lagi untuk dilaksanakan secara individu dan seorangan. Oleh itu, adalah dituntut agar mereka yang hendak menghayati Islam sepenuhnya saling tolong-menolong dan bergotong-royong sesama sendiri bagi mencapai matlamat ini. Keria-kerja mereka harus dikoordinasikan untuk memberikan pulangan yang paling optimum dan effektif. Kesemuanya ini memerlukan wujudkan suatu saf yang tersusun, supaya kerja-kerja ini dapat dirancang dan dilaksanakan sebaiknya.

(bersambung)

No comments: