Kini terlalu banyak sangat berita negatif dan sensasi yang beredaran dalam internet, termasuk Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan yang seumpamanya. Sikap kita kena betul dalam menangani perkara sebegini.
Kita ditarbiahkan untuk sentiasa tabayyun (sahkan), menyandarkan hanya kepada hujah, bukti dan saksi, bukannya kepada khabar angin (hearsay) yang diterbangkan. Kita ditarbiahkan supaya berlaku adil, hatta kepada diri kita sendiri (kalau tidak menguntungkan kita) atau pihak "lawan".
Kita tidak sepatutnya terlalu cepat menyebarkan berita-berita yang belum sah, terutamanya apabila berbentuk sensasi atau ada unsur-unsur fitnah. Tahanlah mulut kita (atau jari kita) walaupun nampak "seronok" atau "mengena kepada pihak yang tidak kita sukai". Terlebih penting, kita janganlah terlalu segera menghukum, sedangkan dalil dan maklumat belum sampai kepada kita sepenuhnya daripada kesemua pihak yang terjejas. Itulah ciri keperibadian (character) yang sepatutnya sudah sebati dalam jiwa du'at dan mereka yang menjunjung panji-panji Islam.
Kita telah melihat sendiri betapa banyakkah cerita-ceriti yang kita sangka benar, yang kita sangka berasal daripada sumber yang dikatakan sahih, yang akhirnya terbukti salah dan palsu. Dalam era teknologi canggih ini banyak perkara sebenarnya tidak seperti apa yang dipersepsikan. Gunakanlah standard yang sama yang kita tuntut daripada orang lain buat diri kita (kiranya kita di pihak yang "kena") ke atas orang lain apabila kita yang berada di pihak yang melontar tuduhan ataupun sangkaan.
Juga, kita perlu sentiasa ingat perbedaan di antara circle of influence dan circle of concern. Apapun urusan dalam dunia ini yang mungkin menjadi keprihatinan kita dan menyentuh hati kita, hanya sebahagian sahaja yang berada dalam kekuasaan dan keupayaan kita untuk pengaruhi natijahnya. Kita tidak sepatutnya terlalu sibuk dan menyibuk dengan perkara yang kita tidak boleh pengaruhi atau lakukan sesuatu ke atasnya, sehinggakan kita pula abaikan perkara yang sememangnya di bawah pengaruh dan dalam tanggungjawab kita.
Luruskanlah keutamaan (priority) tumpuan dan amal kita, dan berikanlah sumbangan kita di mana kita boleh membuat sesuatu yang paling bermakna, serta tinggalkanlah daripada tersedut ke dalam pusaran perkara-perkara yang tidak berfaedah.
WaLlahu a'lam.
Ainullotfi al-Fikri
Skudai
29 Disember 2014.
No comments:
Post a Comment