Friday, October 18, 2013

Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah: Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)


18 Oktober 2013 bersamaan 13 Zulhijjah 1434H

Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah:  Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin menyatakan kebimbangan mengenai tindakbalas masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 Oktober 2013 yang lalu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Sebagai sebuah NGO yang berprinsipkan Islam, yang meyakini bahawa Islam adalah agama dari Allah swt dan merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekelian alam, IKRAM ingin mengajak semua pihak untuk mengambil pendekatan yang bijaksana dalam mengurus perbezaan pandangan ini.

Isu ini akan berpanjangan jika dirayu di mahkamah yang lebih tinggi, dan banyak lagi kes-kes yang sedang dan akan dibawa ke mahkamah. IKRAM berpandangan tindakan merujuk kepada mahkamah adalah hak setiap orang untuk mendapatkan keadilan di bawah Undang-undang Malaysia. Ia adalah pendekatan yang baik jika jalan lain tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan hati pihak-pihak yang bercanggah.

IKRAM menyeru agar:
  1. rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian,
  2. semua pihak termasuk kerajaan, parti politik, NGO dan media massa berusaha untuk membina persefahaman antara kaum dan agama seperti yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain serta menghentikan provokasi perkauman dan keagamaan,
  3. usaha bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman di kalangan umat Islam diperhebatkan dengan penglibatan yang lebih berkesan oleh semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan media massa bagi menangani kegusaran banyak pihak tentang kerapuhan aqidah umat Islam,
  4. usaha bagi memberi kefahaman tentang ajaran Islam sebenar di kalangan orang yang bukan Islam hendaklah juga dipertingkatkan, dan
  5. program-program dialog antara agama hendaklah diperluaskan agar persefahaman dan perasaan saling hormat menghormati dapat dibina.

Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Nota:
Kenyataan Media IKRAM berkaitan isu kalimah Allah telah dikeluarkan pada 15 Januari 2013 dan boleh dibaca di sini:

No comments: