Kita kini sedang
memerhatikan suatu keadaan yang amat getir di dalam fasa perjuangan Islam di
seluruh dunia. Pada minggu ini sahaja tentunya ramai yang memerhatikan
dengan penuh tumpuan dan kesabaran terhadap perkembangan yang berlaku di Mesir di
mana suatu gerakan besar-besaran telah dijalankan oleh golongan anti-Islamis yang
terdiri daripada golongan sekular-liberalis, pihak revolusioner kiri, dan
puak-puak fulul saki-baki regim lama bagi menjatuhkan Presiden Muhammad Mursi yang telah
dipilih secara sah dan telus sebagai Presiden demokratik yang pertama dalam
sejarah negara tersebut, hanya setelah setahun beliau dipilih.
Pada pagi Khamis 4 Julai 2013 kita bangun mendengar berita sedih bahawa beliau telah digulingkan oleh pihak tentera dalam satu coup d’etat, yang telah juga meletakkan Adli Mansour sebagai boneka mereka. Ini adalah lanjutan daripada tindakan-tindakan berpanjangan golongan anti-Islam ini sejak golongan Islamis mula memenangi pilihanraya Parlimen yang pertama setelah kejatuhan regim Mubarak dahulu lagi. Mereka tidak berhenti-henti mensabotaj pemerintahan yang dipimpin oleh Presiden Mursi dan Parti Kebebasan dan Keadilan (Hizb al-Hurriyah wa al-'Adalah) yang diasaskan oleh Ikhwan Muslimin. Kemuncak daripada usaha sabotaj ini mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran sempena setahun pemilihan Mursi pada 30 Jun 2013.
Kita melihat
permainan kotor yang dimainkan oleh puak-puak yang sebenarnya telah kalah dalam
pilihanraya umum Mesir cuba menggambarkan bahawa coup d’etat ini hanyalah penerusan Revolusi 25 Januari bagi
menjatuhkan diktator, dan mendapat sokongan rakyat. Sebagai justifikasi bagi rampasan kuasa tersebut mereka mentohmahkan Presiden
Mursi dan Ikhwan Muslimin sebagai telah gagal dalam pentadbirannya, dan hanya berminat
untuk cuba membolot kuasa bagi diri mereka sahaja.
Hakikatnya
sungguh berbeda daripada apa yang mereka paparkan.
Pertama, mereka mentohmahkan Presiden
Mursi dan Ikhwan Muslimin sebagai telah gagal dalam pentadbirannya, dan hanya
berminat untuk cuba membolot kuasa bagi diri mereka sahaja.
Nyatalah ini
merupakan suatu penipuan dan pemalsuan fakta yang cukup ketara. Berhubung
dengan isu inklusiviti dan diskriminasi, kita ketahui bahawa Ikhwan daripada
awal lagi telah cuba bersungguh-sungguh untuk membawa pihak-pihak lain ke dalam
pemerintahan, tetapi mereka sendiri yang menolaknya bulat-bulat. Kenapa? Kerana
mereka memang sengaja mahukan ia gagal.
Kedua, mengenai krisis ekonomi,
contohnya kekurangan bahan api. Tiba-tiba sahaja kini krisis tersebut lenyap...
apakah maknanya? Sebenarnya ada pihak yang sengaja ujudkan krisis ini dengan
menahan bekalan, agar rakyat marah. Kita kena ingat bahawa hampir semua pihak
industrialis daripada pihak fulul dan Qibti, yang tiada kepentingan rakyat
gembira di bawah Mursi. Selepas rampasan kuasa, Al-Ahram pula melaporkan bahawa kini bekalan elektrik Mesir berada dalam keadaan surplus (lebihan). Suatu yang amat menghairankan, berlaku secara tiba-tiba, setelah sebelumnya negara tersebut sentiasa dirundung black-out sahaja. Tidakkah jelas ada tangan-tangan gelap yang mendalangi semua krisis ini?
Ketiga, ini digembar-gemburkan juga
oleh pihak media yang berat sebelah. Kita ketahui bahawa hampir kesemua media,
termasuk media kerajaan, dikuasai oleh pihak yang sama (fulul dan Qibti),
sehinggakan hampir tiada berita positif mengenai kejayaan Mursi dipaparkan
saban hari. Malah ketika ini juga kita lihat hanya paparan sebelah pihak sahaja
dikeluarkan iaitu menunjukkan demonstrasi di Medan Tahrir sahaja, sedangkan di
Medan Rabi'atul-Adawiyah yang tidak kurang hebatnya disepikan.
Keempat, mengenai sokongan rakyat.
Mereka cuba bayangkan bahawa mereka perolehi suara majoriti rakyat, tetapi
perlu diingat bahawa yang berdemonstrasi hanyalah kelas menengah urban yang Westernised dan sekular, dengan didokongi oleh pihak fulul
saki-baki regim lama.
Ingatlah bahawa
pihak Islamis telah berjaya di dalam setiap pilihanraya yang dijalankan setelah
revolusi dan pihak yang menentang kalah kesemuanya. Dalam referendum
Perlembagaan pada Disember 2012 ia menang dengan diluluskan oleh 64% daripada
jumlah undi. Ukuran sebenar sokongan rakyat ialah pada kotak undi, bukannya di
jalanraya.
Kelima, adakah kita percaya bahawa
rampasan kuasa ini spontan? Sebaliknya kita yakin ia dibuat dengan persiapan
yang memang rapi, termasuk tindakan militer. Dalam masa dua hari, mereka
(militer) telah dapat cetak berpuluh ribu bendera kecil untuk ditebarkan
daripada helikopter? Perhatian “pesta kemenangan” mereka... persiapan sebegitu
secara spontan? Sebenarnya bukannya rakyat yang meminta tentera merampas kuasa
seperti yang digambarkan, tetapi semuanya seolah-olah telah dikoreografkan (seperti
kata Marwan Bishara dari Aljazeera) untuk tatapan media Barat, oleh pihak fulul
yang masih menguasai tentera, mahkamah, birokrasi dan polis.
Kita bertanya,
adakah pihak tentera yang merampas kuasa secara tidak sah berani berbuat
sedemikian di atas inisiatif mereka sendiri sahaja? Apapun sandiwara yang cuba
diketengahkan, beberapa urutan kejadian yang berlaku menunjukkan sebaliknya.
Robert Scheer, menulis di dalam Huffington Post pada 9 Julai 2013, “A Gift From the United States to Mideast Zealots”, menyebut:
Robert Scheer, menulis di dalam Huffington Post pada 9 Julai 2013, “A Gift From the United States to Mideast Zealots”, menyebut:
The Egyptian military would not have acted without at least the tacit approval of the U.S. government, and evidence is mounting that Secretary of State John Kerry and National Security Adviser Susan E. Rice were in on the plotting before President Mohamed Morsi was arrested. The bloodshed that has followed is on their hands, and lots of luck ever convincing Islamists anywhere of the value of free elections as opposed to violence as an enabler of change.Malah sebelum itu lagi, David Kirkpatrick dan Mayy El Sheikh menulis dalam New York Times pada 6 Julai 2013, “Morsi Spurned Deals, Seeing Military as Tamed” menggambarkan campur tangan luar ini:
His top foreign policy adviser, Essam el-Haddad, then left the room to call the United States ambassador, Anne W. Patterson, to say that Mr. Morsi refused. When he returned, he said he had spoken to Susan E. Rice, the national security adviser, and that the military takeover was about to begin, senior aides said.
“Mother just told us that we will stop playing in one hour,” an aide texted an associate, playing on a sarcastic Egyptian expression for the country’s Western patron, “Mother America.”
* * *
Setelah lebih 80
tahun gerakan Ikhwan Muslimin ditekan oleh saban pemimpin yang zalim dan
menindas, berikutan angin perubahan yang melanda Timur Tengah beberapa tahun
kebelakangan ini, gerakan Islam diletakkan di atas persada kuasa melalui kotak
undi. Ini adalah fasa yang cukup berbeda daripada fasa sebelumnya, kerana
secara luarannya gerakan Islam dilihat sebagai mempunyai the trappings of power – suatu yang berbeda daripada sebelumnya
apabila mereka keluar masuk penjara. Namun keadaan itu adalah suatu keadaan
yang agak precarious, memerlukan
pengimbangan yang teliti, kerana kuasa yang diletakkan ke atas pundak mereka
bukanlah secara total, tetapi bergantung kepada berbagai faktor yang penuh
ketidakstabilan dan ketidakpastian.
Di Mesir mereka
harus berdepan dengan realpolitik kepelbagaian dalam masyarakat, daripada pihak
Salafi simplistik yang menuntut agar Islam dilaksanakan sepenuhnya tanpa
kompromi, kepada golongan sekular-liberal yang menolak Islam sepenuhnya dengan
penuh kesumat dan benci, kepada golongan fulul saki-baki Mubarak yang sentiasa
mencari peluang untuk kembali, kepada pihak tentera yang sentiasa mengancam.
Pada masa yang sama, rakyat mengimpikan perubahan yang mendadak, seolah-olah
jatuhnya regim Mubarak langsung menjanjikan syurga dunia bagi mereka.
Mengimbangi segala semua ini bagaikan menjunjung telur di hujung tanduk, kalanya
suatu yang seolah-olah mustahil.
Keadaan di Turki juga membayangkan sentimen yang serupa: apa sahaja yang berbau Islam akan terus dicurigai, walaupun nisbahnya seolah-olah begitu cair sekali dalam kontek AKP yang kini memerintah di sana. Protes-protes dilaungkan, hatta bagi sebab-sebab yang remeh-temeh, bukan sangat kerana apa yang dizahirkan, tetapi lantaran sikap dan perasaan mereka terhadap puak Islamis.
Ini berlaku
dilatarbelakangkan oleh lapan tahun pemerintahan AKP di bawah kepemimpinan
Erdogan yang cukup cemerlang, yang telah dalam masa yang cukup singkat merubah
keadaan di Turki daripada sebuah negara yang bankrup di bawah golongan
ultra-sekular sebelumnya kepada sebuah kuasa ekonomi besar Eropah, dengan kadar
perkembangan fizikal yang tiada tolok bandingnya ketika ini di masa Eropah
sendiri diancam kemelesetan ekonomi dan kejatuhan Euro. Lihatlah, betapa GDPnya
digandakan tiga kali dalam masa yang singkat itu, bilangan sekolah ditambah
sekali ganda, dan taraf hidup rakyat menaik secara signifikan, di samping juga
kembalinya Turki kepada warisan Islamnya setelah berdekad-dekad di bawah
lembayung kekufuran yang dipelopori oleh Ataturk.
Suasana di Syria
pula kini menjadi semakin tidak menentu. Pemerintahan kuku besi Assad daripada
golongan Nusayri kufur minoriti semakin terdesak dan mengganas, dengan kini
dibantu pula oleh tentera Syi’ah Hizbullah (hakikatnya Hizbu asy-Syaythan) dari Lubnan. Keadaan ini mengancam untuk menggelungsurkan
kawasan Bilad asy-Syam tersebut ke
dalam semarak api peperangan yang semakin tidak terkawal.
Walaupun EU telah
mengangkat sekatan senjata kepada pejuang Syria, namun penghantaran masih
dinanti-nantikan. Pada masa yang sama, kita perhatikan pelbagai jenis
penentangan terhadap Assad muncul, daripada yang penuh disiplin dan menjunjung
prinsip-prinsip pertengahan dan kesederhanaan Islam, kepada golongan fringe (pinggiran) a la al-Qaidah yang
bertindak melampau dan memberikan nama buruk kepada perjuangan tersebut dan
Islam sendiri.
Peristiwa-peristiwa
yang berlaku di tempat-tempat lain, termasuk di Nusantara ini seperti apa yang
berlaku terhadap Dr Luthfi Hassan Ishak, mantan Presiden PKS, di Indonesia, juga harus
direnungi oleh gerakan Islam sebaiknya, agar mengambil iktibar yang betul
supaya dapat mempersiapkan diri sebaiknya.
Kesemua ini
meletakkan gerakan Islam di atas persimpangan. Kejadian-kejadian seperti ini,
daripada Algeria, Palestin, Turki, dan kini Mesir menyebabkan ramai yang
merenungkan, adakah demokrasi ini hanya berguna sekiranya ia meminggirkan
gerakan Islam, tetapi boleh diabaikan sekira ia hasilkan keputusan yang
“salah”?
Malah ada juga
beberapa sektor daripada gerakan Islam terutamanya daripada kalangan jihadis yang telah awal-awal lagi menolak penglibatan dalam sistem demokrasi Barat yang telah mencemuh Ikhwan dan
gerakan-gerakan sefikrahnya seluruh dunia, “I
told you so”!
Namun reaksi yang
ditunjukkan oleh Ikhwan jelas, bahawa mereka akan tetap istiqamah dengan
berjuang di jalan aman dan menolak keganasan yang telah membunuh ribuan. Kita
diperingatkan bahawa prinsip ini, menolak jalan keganasan, prinsip non-violence, sebenarnya sememangnya
satu yang dipegang oleh Ikhwan telah berdekad secara konsisten. Penentangan
melawan pendudukan luar seperti di Palestin, atau dipaksakan ke atas mereka
oleh golongan kuffar seperti di Syria, adalah pengecualian (exceptions) bukannya rule.
* * *
Daripada perkembangan-perkembangan ini Gerakan Islam harus merenung beberapa noktah penting berikut yang boleh diambilkira dalam perancangannya:
- Kejayaan politik semata-mata tidak cukup. Gerakan Islam perlu hadir dalam segenap penjuru masyarakat dan negara. Keadaan di Mesir di mana mereka memenangi tampuk Presiden, tetapi harus berdepan dengan semua pihak lain, daripada kehakiman, polis, tentera, industrialis dan sebagainya menjadikan kedudukan Presiden menjadi sempit dan terkepung.
- Berada di atas kebenaran semata-mata tidak cukup. Rakyat dan masyarakat harus dapat mengiktiraf gerakan Islam itu berada di atas kebenaran. Kita juga harus dapat merasai nadi masyarakat, supaya mereka dapat kita santuni sebaiknya dengan cara yang sebaiknya.
- Engagement – membina jaringan yang luas, mencari kawan dan mengurangkan lawan, walau siapapun mereka. Kita tidak perlu orang lain semuanya menyokong kita, tetapi kita harus berusaha agar mereka tidak menentang kita sekiranya mereka tidak bersetuju dengan kita.
- Media – gerakan Islam yang betul dan baik tidak cukup, kalau masyarakat tidak mengetahuinya. Harus ada strategi yang mantap untuk memanfaatkan media sepenuhnya, agar pendirian sebenar gerakan Islam, pencapaiannya, perkhidmatannya diwar-warkan.
- Qudwah dan model – kejayaan AKP di Turki banyak bergantung kepada track-record mereka sebelum ini, ketika Erdogan menjadi Datuk Bandar di Istanbul, dan berjaya menyelesaikan masalah kehidupan rakyat di sana dengan cemerlang. Mereka membina tsiqah, kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan mereka, apabila rakyat langsung merasai dan mengecapi kecekapan pentadbiran Erdogan terutamanya dalam bidang ekonomi.
- Jangan salahkan musuh, tetapi atasilah makar mereka dengan pintar – strategi gerakan Islam tidak sepatutnya berpusar di sekitar menyalahkan musuh di atas kegagalannya atau kesukarannya. Kerja musuh sememangnya untuk menghancur dan menggagalkan kita, jadi kita tak sepatutnya komplen atau merintih mengenainya.
- Ketelusan dan keterbukaan amat penting, dan elakkan sifat pertubuhan rahsia yang memberikan persepsi negatif terhadap gerakan Islam.
Apapun, akhirnya kesemua yang dialami oleh gerakan Islam dalam perjuangannya hanyalah merupakan ujian dan cobaan semata-mata, sepertimana para Rasul dan Nabi sebelum mereka telah diuji. Mereka seharusnya beristiqamah di atas perjuangan, tidak melencong daripadanya, dan tetap mengharapkan keridhaan Allah semata-mata sebagai matlamat akhirnya.
Ainullotfi al-Fikri
Skudai
7 Julai 2013
No comments:
Post a Comment