Tuesday, May 28, 2013

Tan Sri Ainuddin Dalam Kenangan


Inna liLlahi wa inna ilayhi raaji'uun...

Saya baru terima berita kembalinya ke rahmatuLlah Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid, Rektor Pertama Institut Teknologi Kebangsaan (ITK), kemudiannya Naib Canselor Pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada jam 5:24 petang tadi (Selasa 28 Mei 2013).

Almarhum merupakan satu contoh seorang pemimpin yang cukup ikhlas berjuang demi memperbaiki keadaan bangsa Melayu dan ummah ini, tanpa sedikitpun mengharapkan ganjaran sedikitpun, baik berupa kekayaan maupun pangkat, gelaran dan nama. Di tengah-tengah golongan kepemimpinan di semua peringkat kini yang lebih mementingkan diri daripada masyarakat dan ummah, sibuk untuk mengejar kedudukan dan kekayaan, beliau merupakan permata yang berseri, suatu contoh pejuang yang benar-benar menjiwai perjuangannya, mengkotakan katanya, lalu pergi seperti mana ia datang asalnya, penuh dengan kesederhanaan. 

Pertama kali saya terkesan dengan Tan Sri Ainuddin ialah semasa saya masih berada di bangku sekolah menengah. Saya terdengar ucapan beliau melalui radio, kalau tidak salah saya semasa majlis konvokesyen pertama UTM, yang cukup mendalam mesejnya, menekankan peri pentingnya pendidikan kepada ummah ini, termasuk pendidikan untuk kaum wanita. Saya cukup ingat beliau menyebutkan bahawa emak-emak kita di kampung memang telah lama bekerja membanting tulang di sawah dan ladang bersama golongan bapa, apabila menangkis isu wanita bekerja. Seterusnya tidak lama kemudian saya cukup teruja apabila kami berkesempatan mengadakan lawatan sekolah ke kampus UTM di Jalan Gurney ketika itu, melihat fasiliti teknikal yang terdapat di sana.

Kemudian setelah saya tamat pengajian universiti saya dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik, saya terus memohon untuk masuk menjadi Penolong Pensyarah A di UTM. Sebagai salah satu daripada proses permohonan tersebut kami (saya dan beberapa yang lain) dipanggil untuk temubual dengan Tan Sri. Ini bukanlah prosedur formal sangat, cuma bagi Tan Sri untuk bersemuka dan mengenal peribadi pemohon, sebelum proses yang lebih formal dengan wakil Senat beberapa bulan berikutnya untuk menetapkan dalam jawatan. Antara soalan yang beliau tanya, samada saya solat lima kali sehari atau tidak. AlhamduliLlah, saya mulakan tugas dalam bulan Mac 1985.

Sebagai Rektor ITK dan kemudiannya Naib Canselor pengasas UTM, Tan Sri memang  merupakan Bapa kepada universiti ini. Beliaulah yang meletakkan falsafah UTM, sentiasa mengkaitkannya dengan tujuan kewujudan manusia dan hubungannya dengan Tuhan yang menciptakan. Falsafah itu jelas dizahirkan dengan jatah UTM yang menjunjung al-Qur'an dan motto UTM, asalnya Untuk Tuhan dan Manusia yang kemudiannya diperbaiki menjadi Kerana Tuhan Untuk Manusia. Begitu juga dengan falsafah susunletak dan senibina UTM, dengan masjid sebagai nukleusnya di tengah-tengah, lalu dikelilingi oleh canselori, dewan dan perpustakaan, kemudian dilingkari pula oleh fakulti-fakulti dan akhirnya oleh Kampung-kampung (kini dipanggil Kolej yang lebih berbunyi glamour) kediaman pelajar dengan nama-nama seperti Meranti, Belian, Merbau, Resak dsb agar pelajar tidak putus hubungan hati dengan asal-usul mereka. Malah pemilihan warna merah pulasan sebagai warna UTM juga turut disyarahkan falsafahnya. Masih ingatkan kita lagi kini?

Tempoh perkhidmatan Almarhum yang lama di UTM melalui banyak liku-likunya. Kita boleh bersetuju dengan beliau atau kita boleh mencanggahi pandangannya, namun tiada siapapun boleh mempertikaikan ketulusan matlamatnya dan keikhlasan hatinya dalam berbakti kepada anak bangsa, tanpa sedikitpun melakukan sesuatu untuk kepentingan atau keuntungan peribadinya. Malah saya mendengar bahawa beliau bersara daripada perkhidmatan Kerajaan dengan jawatan hakikinya yang terakhir hanya sebagai Jurutera JKR. Ini suatu sifat yang semakin asing di kalangan mereka yang datang kemudian...

Semoga Allah ampuninya dan masukkannya ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang dikasihi dan diridhai-Nya, dan ganjarinya dengan syurga Firdaus. Jasamu tetap dikenang, budimu tetap diabadi. Semoga dirimu menjadi teladan buat yang datang kemudian, menjiwai bait kedua "Keunggulan Terbilang" Lagu UTM:

Martabat keilmuan
Cendekiawan beriman
Cekal bersama taqwa
Menara cita-cita

No comments: