Sunday, November 18, 2012

Kempen Boikot Berkesan

Dulu ramai orang sangsikan kempen boikot, tetapi nyata ianya berkesan dan berjaya, apatah lagi sekiranya dilakukan seluruh dunia. Contohnya, di Malaysia, ada syarikat yang amat merasa terkesan dengannya, lalu cuba bertindakbalas mengatasinya dengan kempen memberikan burger percuma. Di Timur Tengah juga kita dengari bahawa oleh kerana kempen boikot ini, beberapa syarikat merubah sikap mereka.

Sebenarnya kita tidak berminat untuk memboikot syarikat-syarikat ini semata-mata kerana siapa diri mereka. Kita bukan dalam bisnes menyebabkan perniagaan rugi. Kita hanya boikot mereka kerana sokongan yang mereka berikan kepada entiti haram Zionis yang menjajah tanah Palestin. Kita boikot mereka kerana menyokong kekejaman dan pembunuhan tanpa peri kemanusiaan orang awam Palestin, terutamanya di Gaza. Kita boikot mereka kerana tidak sensitif terhadap pemusnahan rumah-rumah dan kebun- kebun pertanian warga Palestin.

Kalaulah syarikat-syarikat ini hentikan sokongan tersebut, dan kembalikan simpati dan dokongan terhadap mangsa-mangsa kezaliman itu, kita dengan teramat sukacita akan segera hentikan boikot kita. Tiada masalah. Tiada isu.

Tetapi selagi hati mereka kering, menyepikan keadilan, membelakangkan kemanusiaan, maka mereka tidak berhak mendapat walau sesenpun duit kita. Kita tidak mahu bersubahat.

Berbalik kepada burger percuma yang mahu diberikan tersebut, apakah mereka menilai hati nurani (conscience) kita, dhamir kita, begitu murah sehingga boleh dibeli dengan sebiji burger dua tiga ringgit? Apakah mereka mengira terlalu laparkah kita?

Di dalam sebuah hadits disebutkan:

“Barangsiapa berjihad (melawan) mereka dengan tangannya maka ia adalah mu’min, barangsiapa yang berjihad (melawan) mereka dengan lisannya maka ia adalah mu’min dan barangsiapa yang berjihad (melawan) mereka dengan hatinya maka ia adalah mu’min.”

Jihad dengan hati: jihad dengan rasa benci, marah, menjauhkan diri dan memboikot - adalah tingkat iman yang paling rendah. Sekiranya kita tidak langsung sanggup berjihad dengan hati dan sikap kita, maka tidak ada iman lagi setelah itu walau sebesar pasirpun.


---
Laman web bagi International Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Movement:
http://www.bdsmovement.net/

No comments: