Friday, February 22, 2013

Rasulullah bukan idola saya

Kini musim Maulud Nabi. Di Johor lumrah sambutan dibuat malah sehingga tiga bulan berikut tarikh cuti rasmi 12 Rabi’ul-Awwal. Banyak program disusun bagi memperingati RasuluLlah s.a.w. oleh masjid dan surau, malah sekolah dan pejabat juga. Semuanya elok dan baik-baik belaka, kerana sekurang-kurangnya membawa masyarakat mengenali dan mengingati Baginda. Selain itu kini telah banyak program yang turut mengajak orang ramai untuk memahami dan menghayati intipati perjuangan Baginda juga. Kita tidak perlulah masuk dalam polemik bid’ah atau tidaknya, kerana, apapun, sebarang program mengenai RasuluLlah s.a.w. tentunya lebih baik daripada banyak program yang lebih bersifat hiburan dan melibatkan artis yang hanya berbaur maksiat.

Dalam pada itu elok diperhatikan istilah dan tasawwur yang digunakan dalam mengajak masyarakat untuk lebih hampir kepada RasuluLlah s.a.w. dan mencintainya secara hakiki. Acapkali kita dengar penceramah menyebut “Jadikanlah Rasulullah idola kita dan idola keluarga kita”. Kita jelas faham apa yang dimaksudkan. Tetapi saya cukup alergik dengan perkataan idola yang disebut itu. Fahamkah yang menyebut itu apakah tasawwur yang tersirat di sebalik istilah tersebut?

Perkataan idola menjadi popular dalam masyarakat setelah hebahnya dan hebohnya program TV Malaysian Idol, yang sebenarnya ditiru daripada program serupa di Amerika, American Idol. Istilah idol diMelayukan sebagai idola.

Apakah maknanya idol itu? Kalau dalam Bahasa Inggeris, merujuk kepada Oxford Dictionaries, makna berikut diberikan:


Secara ringkasnya, idola atau idol asalnya bermakna berhala yang digunakan sebagai sembahan. Lalu kemudian dipanjangkan penggunaan kepada seseorang atau sesuatu yang dipuja atau dihormati (seolah-olah “disembah”). Kalau kita ambil pula perkataan idolatry maka ia bermakna penyembahan sesuatu objek fizika sebagi tuhan, atau suatu penghormatan yang melampau terhadap sesuatu. Seolah-olah suatu pendewaan.

Masyarakat Barat dan Bukan-Islam mudah menerima istilah seumpama itu, kerana mereka tidak cemburu dengan konsep penyembahan terhadap selain daripada Tuhan yang sebenarnya. Pada mereka Tuhan yang disembah manusia hanyalah satu juzu’ kecil dalam kehidupan, apatah lagi apabila mereka melihat benda-benda mengarut yang disembah oleh manusia yang sememangnya tidak layak diberikan penghormatan dan devotion. Maka tidak hairanlah kalau mereka sengaja menamakan artis yang menang dalam program tersebut sebagai American Idol, seorang yang dipuja oleh ramai. Malah mereka tidak kisahpun untuk menyebut seseorang itu sebagai Goddess, contohnya Screen Goddess, dalam menyifatkan seorang aktres tersohor Hollywood. Mereka tidak punya konsep uluhiyah yang nyata.

Seperkara lagi, apabila menyebut idola, biasanya disambung pula sebagai “idola yang dipuja ramai”. Puja, satu lagi istilah yang berbaur syirik. Mungkin ramai tidak menyedarinya, tetapi istilah puja berasal daripada istilah Hindu pooja. Ia daripada istilah Sanskrit, yang bermakna reverence, honour, adoration, or worship. Memang sepadanlah dengan idola. Perbuatannya puja, objeknya idola. Puja atau pooja ialah upacara penyembahan Hindu sebagai suatu pemuliaan kepada tuhan-tuhan mereka, baik di rumah atau di kuil.

Namun bagi kita, sewajarnya kita lebih berhati-hati. Nabi Muhammad s.a.w. bukan idola apatah lagi idola yang dipuja. Baginda bukanlah berhala kita, semoga dijauhkan daripada kita bermaksud sedemikian. Apapun maksud kita yang mulia, kita tak sewajarnya gunakan istilah itu, yang membayangkan suatu tasawwur yang asing daripada Islam. Walaupun ia berbunyi agak trendy dan seolah-olah mengikut citarasa anak muda dan orang modern zaman sekarang, sepatutnya kita janganlah turut mempopular istilah dan tasawwur tersebut. Biarlah kita warnai masyarakat dengan acuan dan adunan yang lebih asli daripada fikrah dan tasawwur Islam yang tulen itu sendiri.

Rasulullah s.a.w. ialah rahmatan lil-‘alamin. Baginda ialah sayyidul-mursalin. Baginda ialah khatimul-anbiya’. Baginda ialah qudwah hasanah. Baginda bukan idola atau pujaan. Tak payah kita sebut sedemikian. Demi ketauhidan yang jelas.

1 comment:

abuzorief said...

setuju dengan tuan penulis