Sunday, August 23, 2009

Mengenai Hakikat dan Dongengan


Niat yang baik tidak cukup untuk membenarkan sesuatu tindakan.

Salah satu daripada prinsip Islam yang asasi ialah berpegang kepada hujjah yang sahih dan sumber yang betul. Untuk memastikan perkara ini Islam telah mendahului tamaddun lain dengan menekankan sistem rujukan yang baik. Ini dapat kita perhatikan daripada cara pengumpulan hadis, di mana para Imam-imam Muhadditsin begitu menjaga sekali sumber sesuatu cerita didatangkan, dengan memastikan sanad yang berterusan ke asal cerita, dan perawi yang boleh dipercayai.

Bagi kita yang menjalani penyelidikan, perkara ini juga amat dipertekankan: lihat sahaja betapa pentingnya rujukan dan bibliografi yang kita letakkan di hujung setiap makalah dan tesis kita.

Kiranya ini begitu sekali dilakukan di dalam penyelidikan kita dalam perkara-perkara duniawi, maka tentunya penekanan yang lebih penting akan diberikan kiranya kita menyentuh urusan keagamaan dan perkara ghaib.

Dalam konteks kita sekarang ini... tentunya boleh kita berikan dalih bahawa "kita ambil sahaja pengajaran yang hendak diberikan". Namun di situ ada satu lagi perkara asas yang perlu dipertimbangkan. Cerita-cerita yang ganjil-ganjil selalunya bersumber daripada fikrah yang menekankan suasana yang sedemikian juga... Ia membentuk suatu pemikiran yang tidak kritikal dan terlalu bergantung kepada emosi, bukannya hujjah, seperti sepatutnya. Hasilnya ialah ia akan membelenggu pemikiran ummat dan menyusahkan untuk dicelikkan kepada rasionaliti dan hujjah kelak, kalau dibiarkan berleluasa.

Saya bukannya menafikan banyak benda yang ganjil berlaku dalam konteks hubungan kita dengan Tuhan. Tetapi biarlah setiap unsur itu tidak di blown out of proportion, dan diletakkan pada asasnya yang betul. Keimanan kita bukannya diasaskan kepada keganjilan tersebut, sebaliknya ke atas hujjah Islam itu sendiri, sama ada benda ganjil itu berlaku atau tidak.

Begitu juga, benda-benda ganjil bukan sahaja berlaku dalam Islam, tetapi juga dalam agama-agama lain... malah kadangkala lebih hebat lagi... Kalau dalam agama Hindu, ada keupayaan dicucuk besi dan berjalan atas api... begitu juga dalam kefahaman sami-sami Shaolin... Dalam agama Katolik kita dengari peristiwa appatrition of the Lady of Fatima, di mana kononnya Maryam ibunya Nabi Isa a.s. menjelma kepada beberapa orang kanak-kanak... Sebut sahaja apa agama, tentu adanya cerita-cerita ganjil sebegini... malah pada orang asli (baik di Malaysia maupun kaum asli di Australia atau di tempat lain) pun ada...

Hakikatnya... setiap keganjilan ini bukanlah hujjah dan bukti kepada kebenaran itu sendiri, dan penerimaan kita terhadap kebenaran seharusnya independent of such events. Betapa ALlah meletakkan hujjah dan rasional begitu tinggi sekali, bagi ummat Nabi Muhammad ini ALlah meletakkan mu'jizat yang paling besar ialah al-Qur`an, yang abadi, bukannya sesuatu kisah yang ganjil yang kelak akan ditinggali zaman (benda yang pelik dahulu kini banyak yang dah tak pelik lagi...). Sebaliknya al-Qur`an itu diasaskan di atas bayyinat (yang jelas), dan al-Qur`an mencabar pemikiran yang kritis dengan cabaran yang abadi juga agar didatangkan satu surah hatta ayat yang setanding dengannya.

Wallahu a'lam.

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

Artikel ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 6 Ogos 1996

No comments: