Artikel ini pertama kalinya dinukilkan di UK dalam tahun 1990an.
Semoga sahabat-sahabat dan rakan-rakan semua berada di dalam keadaan yang sihat sejahtera, serta sentiasa berada di bawah perlindungan dan pengampunan ALlah s.w.t., insya ALlah. Pada hari ini saya ingin membawa sahabat-sahabat dan rakan-rakaan sekelian merenung suatu perkara yang mungkin jauh daripada pemikiran kita semua tetapi begitu hampir dengan diri kita. Saya katakan jauh kerana tidak ramai yang mahu merenung tentangnya, walaupun pada hakikatnya itulah yang merupakan duri dalam daging di dalam perhubungan sesama kita.
Perkara yang saya maksudkan ialah perbedaan pendapat di antara kita. Tak kiralah, sama ada perbedaan pendapat dalam menilaikan sesuatu, mentafsirkan sesuatu, atau dalam memberikan penyelesaiaan kepada sesuatu persoalan. Pokoknya, terdapat kelainan di dalam apa yang difikirkan, diutarakan dan dilaksanakan.
Perkara ini boleh dilihat secara positif ataupun secara negatif. Bergantung kepada siapa yang melihat, dan bagaimana ia dilihat.
Perbedaan pendapat - al-ikhtilaf - juga telah menjadi perkara yang merenggangkan dan memecahbelahkan ummah ini. Ia menjadi punca (mungkin simptom?) kepada fitnah al-kubra, yang berlarut dengan perselisihan di antara Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib (karamaLlahu wajhah) dan Sayyidina Mu'awiyyah bin Abi Sufyan. Ia mencetuskan pertumpahan darah yang turut melibatkan Ummul-Mu`minin 'A`isyah (radhiyaLlahu anha) di dalam Perang Jamal. Ia telah memecahkan ummah setelah itu kepada beberapa firqah.
Di zaman moden ini, fenomena yang sama juga telah menyebabkan berlarutannya perang saudara di Afghanistan, setelah kejayaan jihad menghalau Tentera Merah. Begitu juga, ia menjadi sebab persengketaan dan perselisihan di antara kumpulan-kumpulan mukhlisin yang mahu menegakkan Islam di serata bumi Islam, hatta di tanahair.
Sedangkan ALlah telah berfirman di dalam al-Qur`an:
- Dan hendaklah kamu semua berpegang dengan tali ALlah dan janganlah pecah-belah. Dan ingatlah akan nikmat ALlah ke atas kamu: ketika kamu berada di dalam permusuhan, lalu ALlah mempersatukan hati-hati kamu, maka jadilah kamu, dengan nikmat-Nya, bersaudara, padahal kamu sudah hampir menjerumus ke dalam api neraka lalu ALlah menyelamatkan kamu daripadanya. Sedemikianlah ALlah menerangkan dengan jelas ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu beroleh petunjuk.
- [Ali 'Imran 3:103]
Dalam pada itu juga kita memperhatikan bahawa ALlah memerintahkan agar kita bersatu. Artinya tidak berpecah. Namun ini tidak bermakna tidak mempunyai pandangan yang berbeda-beda. Benar, seboleh-bolehnya kita harus bersatu pandangan tetapi seandainya ini tidak mungkin, mengapakah mesti kita menyimpulkan bahawa kita, oleh kerana itu, harus berpecah dan bermusuhan? Ini merupakan jalan logik yang tidak kena...
Kita perhatikan para sahabat. Adakah setiap mereka sebulat suara menanggapi sesuatu isu? Saya rasa tidak, walaupun mungkin kerapkali dalam menanganinya mereka boleh bersatu.
Kita ambil kes perang Uhud. Ar-Rasul (s.a.w.) meminta pandangan para Sahabat sama ada harus melawani musuh di dalam kota (Madinah) ataupun di luar kota. Kedua-dua pandangan ada yang memperkukuhkannya dan masing-masing ada hujjahnya. Akhirnya disimpulkan oleh ar-Rasul (s.a.w.) dan mereka teruskan mara ke luar kota. Walaupun akhirnya kaum Mu`minin mengalami berbagai kesulitan, adakah sesiapa yang menyalahkan keputusan asal tadi?
Di dalam suatu kisah, ar-Rasul (s.a.w.) menghantar sekumpulan Sahabat pergi menjalani suatu ekspedisi, dan memerintahkan agar tidak bersolat 'Asr melainkan di tempat yang hendak ditujui. Perjalanan tersebut, bagaimanapun, mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan. Sebahagian Sahabat merasakan oleh kerana waktu 'Asr hampir habis, mereka harus bersembahyang 'Asr terlebih dahulu, agar dapat solat di dalam waktu. Sebahagian yang lain, bagaimanapun, tetap berpegang dengan kefahaman mereka tentang sabda ar-Rasul (s.a.w.) tersebut, menunggu sehingga sampai ke destinasi mereka. Apabila mereka kembali perkara ini dikemukakan kepada Nabi. Adakah Nabi s.a.w. memarahi sekumpulan daripada mereka? Sejarah memberitahu bahawa tidak. Kalau tak salah saya, Nabi (s.a.w.) cuma senyum sahaja.
Pengajarannya ialah Nabi telah membuka jalan untuk ummatnya melihat sesuatu dengan cara yang lebih terbuka dan tidak menyempitkan. Asalkan di dalam taqwa. Kumpulan yang kedua memegang perkataan ar-Rasul (s.a.w.) secara zahir, manakala yang pertama memahamkan perintah ar-Rasul agar bersegera ke destinasi, supaya sampai sebelum selesai waktu 'Asr.
Setelah kewafatan ar-Rasul, para Sahabat tertebar ke serata pelusuk dunia, malah ada yang sampai ke negeri Cina sekalipun, seperti Sa'ad bin Abi Waqqas. Di dalam banyak perkara mereka akan merujuk secara langsung kepada al-Qu`ran dan as-Sunnah, tetapi terdapat juga isu-isu baharu yang harus ditangani. Apa yang mereka laksanakan? Mereka tetap berbekalkan kefahaman mereka yang mendalam terhadap kedua-dua sumber itu walaupun tidak secara perinciannya. Lalu mereka menjalankan ijtihad mereka sendiri (berdasarkan kefahaman tersebut, bukannya membelakangkannya). Inilah seperti yang diucapkan oleh Mu'adz bin Jabal r.a. apabila dilantik menjadi Gabnor di Yaman. Menurutnya, mula-mula beliau akan merujuk kepada al-Qur`an; kalau tidak ada, kepada Sunnah ar-Rasul; kalau tidak ketemui juga, dengan ijtihadnya sendiri.
Persoalan, dengan jarak yang sebegitu jauh yang tidak memungkinkan perhubungan yang segera (tak maacam kitaa, boleh gunakan email), wajarkah kita menuntut supaya setiap pendapat mereka bersepadan hingga ke hamzahnya? Tentunya tidak mungkin. Perbedaan pendapat di antara dua Sahabat dan Faqih yang besar, Ibn 'Umar dan Ibn Abbas sahaja sudah cukup untuk menggambarkan ini. Namun adakah mereka bermusuhan dan saling caci-mencaci? Maha suci Tuhan yang telah mengangkatkan kehormatan mereka ke darjat yang begitu mulia untuk melakukan sedemikian.
Begitu juga perbedaan pendapat di antara ahlul-Madinah dengan ulama' Kufah. Malah, lebih klassik lagi, perbedaan pendapat di antara Imam Syafi'i dengan (of all persons) Imam Syafi'i sendiri. Qaul Jadid yang dikeluarkan di Masir berbeda dengan Qaul Qadim yang dibuahkan di Iraq. Adakah Syafi'i salah? Tidak, sebaliknya beliau betul pada ketika dan dalam keadaan beliau mengeluarkan pandangan tersebut.
Pada hakikatnya manusia ini lemah, dan ilmu ALlah itu luas. Lebih penting lagi, Islam mengajar bahawa tiada makhluk yang ma'sum, kecuali para Anbiya`.
WaLlahu a'lam.
Ainullotfi al-Fikri
No comments:
Post a Comment