Sunday, August 23, 2009

Di Antara Keaslian dan Penyelewengan: Sikap Dalam Berjama'ah



Warkah ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 14 November 1996


Kita mulai dengan firman ALlah di dalam al-Qur`an:

    Dan orang-orang yang menjauhi thaghut [iaitu] tidak menyembahnya dan kembali kepada ALlah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku,
    ... yang mendengarkan perkataan lalu mengikut apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi ALlah petunjuk dan mereka itulah [orang-orang] yang mempunyai aqal.
[az-Zumar 39: 17-18]

Ikhwah dan akhawat pendokong fikrah,
dan setiap pencinta Islam sekelian,

Lewat-lewat ini kita mendengar begitu banyak polemik berkenaan dengan kepelbagaian jama'ah diperbincangkan, baik di dalam rangkaian ini maupun di dalam program-program yang direncanakan khas untuknya. Saya sendiri menerima berbagai soalan dan pertanyaan berhubungnya, baik melalui internet maupun secara bersemuka.

Bagaimanakah sikap kita sebagai pendokong fikrah dalam menangani isu ini? Bagaimanakah pandangan kita terhadap mereka yang tidak turut mendokong fikrah ini tetapi juga beramal untuk Islam di dalam penuh keikhlasan menurut keupayaan dan keyakinan mereka? Adakah kita menganggap mereka sebagai musuh-musuh Islam yang seharusnya dipancung, sehinggalah da'wah ini hanya ditegakkan oleh kita sahaja atau mereka yang menyertai kita?

Sesungguhnya sikap yang ditarbiyyahkan kepada kita oleh fikrah yang suci ini adalah begitu jelas sekali. Sesungguhnya prinsip-prinsip utama Islam dan gerakan Islam telahpun termaktub dan tidak dapat diubahkan lagi. Gerakan fikrah ini - di seluruh dunia - tidak pernah lari dari menyatakan matlamat tertingginya, iaitu bagi menegakkan pengabdian seluruhnya kepada ALlah azza wa jalla, seperti firmannya:

    ... sehingga tidak ada lagi fitnah (yakni kezaliman dan sesuatu yang menyekat manusia daripada pengabdian kepada ALlah) dan ad-din itu semata-mata untuk ALlah.
[al-Anfaal 8: 39]

Matlamat ini bukan hanya kita hendak usahakan di sesuatu ceruk atau rantau malah di seluruh bumi ALlah ini. Matlamat inilah yang menjadi puncak perjuangan dan matlamat terakhir dalam maratib al-'amal yang disebutkan oleh al-Imam Hassan al-Banna... yang bermula daripada pembinaan peribadi atau syakhsiyyah Muslim, lalu ke keluarga Muslim, masyarakat Muslim dan negara Muslim, lalu ke gagasan negara-negara Muslim, seterusnya membentuk Khilafah dan akhirnya Pax Islamica yang dimaksudkan itu.

Pada kita sesiapa sahaja yang memperjuangkan apa yang kita perjuangkan ini, ataupun yang menyumbang untuk mana-mana tahap dalam maratib ini secara ikhlas, adalah tetap bersama-sama kita, walaupun setakat ini bukan satu wadah dengan kita.

Kita akur dan faham dengan proses sejarah yang telah banyak mewarnai pelbagai usaha Islami dari berbagai perspektif, yang kebanyakannya adalah sesuatu yang tabi'i dan dimulai dengan penuh keikhlasan dan kesedaran akan tanggungjawab terhadap ALlah dan ummah ini. Walaupun ia telah menyebabkan tampak seolah-olah begitu banyak label-label yang wujud, namun selagi mana ia tidak menolak risalah fikrah ini dan matlamat di atas tadi secara buta-tuli, maka kita tidak akan jatuh kepada kesilapan untuk menohmahkan setiap usaha yang ikhlas ini, atau menjadi angkuh untuk tidak mengiktiraf sumbangan mereka terhadap Islam dan ummah ini.

Kita doakan akhirnya akan wujudlah kesatuan dengan ALlah mengikatkan di antara hati-hati ini, dan mempersatukan di atas fikrah yang suci ini, dan kita tidak akan melakukan apajua yang akan dapat mencemari perkara ini atau menimbulkan bibit-bibit yang akan merenggangkan lagi di antara semua pejuang Islam. Inilah tarbiyyah fikrah ini.

Kita doakan akhirnya akan wujudlah kesatuan dengan ALlah mengikatkan di antara hati-hati ini, dan mempersatukan di atas fikrah yang suci ini, dan kita tidak akan melakukan apajua yang akan dapat mencemari perkara ini atau menimbulkan bibit-bibit yang akan merenggangkan lagi di antara semua pejuang Islam. Inilah tarbiyyah fikrah ini.

Malah kita telah ditarbiyyahkan bahawa segala usaha sebaliknya sebenarnya merupakan penyelewengan daripada jalan keaslian ini. Mendabik dada meninggikan diri dalam suasana keangkuhan adalah penyelewengan, begitu juga menafikan usaha dan sumbangan para mukhlisin yang lainnya.

Mursyid al-'Am Syaykh Mustafa Masyhur, memperingatkan pendokong fikrah ini dengan penekanan yang tegas akan hal ini, apabila beliau menyenaraikan sikap sedemikian sebagai salah satu penyelewengan dalam beramal dalam jama'ah, di dalam bukunya "Jalan Da'wah: Di Antara Keaslian dan Penyelewengan".

Di dalam Bab Ketiga bertajuk "Penyelewengan Dalam Beramal Dalam Jama'ah", Syaykh Mustafa menyebut di dalam noktah kelapan, bahawa di antara penyelewengan itu...:

    8. Apabila seseorang meninggi diri ke atas seseorang anggota dari jama'ah Islam yang lain atas nama jama'ah al-Ikhwan al-Muslimun.

    Jangan dikatakan Jama'ah al-Ikhwan al-Muslimun itu ialah jama'ah Muslimin (yakni the jama'ah, al-jama'ah) kerana sebenarnya Jama'ah IM adalah salah satu (jama'atun) daripada jama'ah-jama'ah Muslimin.

    Jama'ah IM menyeru semua orang untuk beramal kepada Islam dan menegakkan Daulah Islam. Kita tidak mahu mencari permusuhan dengan mana-mana jama'ah Islam, malah kita tidak menempah pertikaian atau membantu mengadakan percakaran antara kita dengan mana-mana jama'ah lain.

    Penglibatan dan kegiatan oleh Jama'ah IM sejak mula dulu tidak untuk melukai perasaan sesiapa atau mana-mana pertubuhan atau yang melibatkan pengetahuan Islam. Kita sayang kepada semua orang walaupun mereka yang membuat penekanan ke atas kita.

    Imam asy-Syahid Hassan al-Banna di dalam Muktamar Keenam telah menyebut dalam ucapannya: "Adapun sikap dan pendirian kita terhadap semua pertubuhan Islam ialah sikap kasih-sayang, persaudaraan dan tolong-menolong dan kesetiaan, kita sayang mereka, kita tolong, kita berusaha mencari jalan untuk mendekatkan jurang perbezaan pendapat, kita baiki pemikiran-pemikiran yang berlainan supaya dapat pertolongan untuk dapat kebenaran di bawah lindungan bertolongan dan berkasih- sayang, kita jangan pisahkan oleh pendapat Fiqh atau masalah Khilafiyyah mazhab. Sesunguhnya agama Allah ini mudah, tiada siapa yang boleh menyusahkan agama Allah. Dengan taufiq Allah, kita telah mencapainya. Kita menyelidik mencari yang Haq melalui uslub yang mudah yang dapat diterima aqal. Kita yakin sesungguhnya satu hari kelak akan gugur nama-nama atau gelaran-gelaran yang membezakan antara satu jama'ah dengan satu jama'ah Muslimin yang lain, akan digantikan tempatnya oleh kesatuan kerja yang menyatukan barisan-barisan angkatan pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada selain dari saudara-saudara Muslim yang bekerja kuat untuk agama dan berjuang pada jalan Allah."

Ikhwah dan akhawat pendokong fikrah,
dan semua pencinta Islam sekeliannya,

Inilah fikrah yang telah diajarkan kepada kita. Sesungguhnya musuh kita telah ramai, dan jalan perjuangan ini memangnya amat jauh dan sukar. Kita tidak payahlah berusaha pula agar kita menjadikan rakan dan teman dalam da'wah sebagai musuh yang akan mempersusahkan lagi perjalanan da'wah ini, dengan meletakkan onar di jalanan mereka, atau menebarkan fitnah ke atas mereka, ataupun menuntut daripada mereka tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan tidak berasas.

Kerja kita banyak, dan setiap kita sibuk untuk melangsaikan tanggungjawab kita. Kita tidak punyai masa untuk melayan cuitan-cuitan dan bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa menghendaki kebencian dan pertelagahan di antara kita. Cukuplah pengalaman yang pahit di Afghanistan mengajar kita agar lebih cermat dan berhati-hati, dan tidak terlalu ta'asub kepada nama dan label.

Insya ALlah kiranya setiap kita berusaha untuk menjuruskan matlamat kita agar akhirnya bertemu, dan merapatkan jurang di antara hati-hati kita, lalu kita iringi dengan doa kepada yang mempunyai Iradat dan Qudrat, maka insya ALlah apa yang kita sama-sama hajati akan tercapai jua. Inilah pendirian dan sikap murni yang dipegangi oleh jama'ah fikrah ini, di mana saja ia berada.

Semoga kita menjadi seperti yang difirmankan oleh ALlah:

    ... orang-orang yang mendengarkan perkataan (yakni, yang disebutkan orang) lalu mengikuti yang paling baik di antaranya...
[az-Zumar 39: 18]

Wallahu a'lam.

"ALlah Matlamat Kami"

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

No comments: