PERUTUSAN HARI ORANG KURANG UPAYA
ANTARABANGSA
DAN PELANCARAN SAMBUTAN BULAN OKU 2021
Yang saya hormati Moderator Majlis, Dr Nurul Firdausi Hasnol Basri,
Yang berusaha Ketua Unit OKU Yayasan Ikram Malaysia merangkap Penasihat Bersama
Sambutan Bulan OKU IKRAM, Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi,
serta para penonton yang budiman,
Assalamu
‘alaykum wa rahmatu Llahi wa barakatuh
dan selamat petang!
1. Hari
ini, 3 Disember 2021, sekali lagi kita menyambut Hari Orang Kurang Upaya
Antarabangsa, seperti yang diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa
Bersatu sejak tahun 1992 lagi.
2. Tujuan
hari ini diletakkan di dalam kalendar ialah untuk mewarwarkan dan meraikan
hak-hak dan kesejahteraan orang kurang upaya dalam semua ruang lingkup
masyarakat dan pembangunan, dan untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi
orang kurang upaya dalam setiap aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan
budaya.
3. Tema
bagi Hari OKU Antarabangsa tahun ini ialah “Kepimpinan dan penyertaan orang
kurang upaya ke arah dunia pasca COVID-19 yang inklusif, boleh diakses dan
mampan”.
4. Sambutan
ini turut diadakan di Malaysia, termasuk perutusan yang akan disampaikan oleh
YAB Perdana Menteri sendiri malam ini di Kuala Lumpur Convention Centre, dan
alhamduliLlah Pertubuhan IKRAM Malaysia sebagai sebuah pertubuhan yang sentiasa
peka dan prihatin terhadap isu-isu di dalam masyarakat menandakan hari ini
sebagai satu hari yang perlu diperingati, diraikan dan diwarwarkan kepada
seluruh masyarakat kita.
5. Malah,
bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya yang jatuh pada hari ini, IKRAM
meletakkan seluruh Bulan Disember ini sebagai masa untuk Sambutan Bulan Orang
Kurang Upaya di seluruh negara, dan mengaturkan beberapa program baginya.
Para penonton sekelian,
6. Sebenarnya,
isu OKU ini bukanlah suatu perkara yang terpencil di dalam masyarakat, yang
disangkakan dialami oleh cuma sedikit sahaja orang. Mengikut anggaran
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih kurang 15% daripada penduduk dunia ini
mengalami satu bentuk ketidakupayaan atau yang lain, sama ada bersifat fizikal
maupun mental. Ini merupakan satu angka yang agak besar.
7. Angka
terkini (Oktober 2021) daripada Jabatan Statistik Malaysia menyebut bahawa cuma
583,427 orang yang berdaftar sebagai OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu
379,915 lelaki dan 203,512 perempuan. Ini bermakna cuma sekitar 1.8% sahaja
daripada penduduk negara ini dikenalpasti sebagai OKU, suatu pecahan yang amat
kecil iaitu 12% daripada anggaran OKU sebenar.
8. Angka
yang kecil ini mungkin disebabkan oleh (1) ramai tidak mengetahui bahawa apa
yang dihadapinya sebagai suatu ketidakupayaan, atau (2) mereka tidak melihatnya
daripada perspektif kebajikan dan memerlukan pendaftaran.
9. Daripada
mereka yang berdaftar ini, lebih kurang 35.2% merupakan OKU fizikal, 34.8% OKU
pembelajaran, 17% OKU deria (penglihatan, pendengaran, pertuturan dsb), 8.3%
OKU mental dan 4.7% OKU berganda.
Para penonton yang budiman,
10. Kesedaran
masyarakat terhadap pelbagai jenis ketidakupayaan ini amat penting, terutamanya
mereka yang terkesan dengannya, kerana ini membolehkan ketidakupayaan ini
difahami dan ditangani dengan sebaiknya dan tidak dikesampingkan, atau OKU itu
sendiri ditanggapi dengan pandangan yang salah.
11. Keadaan
ini menjadi lebih getir dalam suasana masyarakat kita kini menghadapi cabaran besar
pandemik COVID-19, ketika mana OKU menjadi antara golongan yang paling teruk
terkesan dengan pelbagai kekangan yang dikenakan ke atas masyarakat,
terutamanya daripada perspektif ekonomi dan pergerakan. Lebih merisaukan kalau
kesusahan yang dihadapi mereka dilupakan ramai, dalam banyak isu yang perlu
ditangani semua.
12. Sebenarnya
isu Orang Kurang Upaya ini perlu difahami bukan sahaja daripada perspektif
kebajikan dan bantuan langsung, walaupun itu perlu. Masyarakat perlu dididik
untuk melihat isu ini secara menyeluruh, merangkumi hak mereka sebagai
sebahagian daripada masyarakat, memberikan mereka kesamarataan dalam peluang
dan aspirasi, memudahkan mereka dalam aksesibiliti baik secara fizikal maupun
secara maknawi, agar mereka boleh hidup secara normal seperti orang lain dan
dapat mandiri.
13. Untuk
itu, IKRAM merasakan isu OKU ini bukan hanya perlu dilihat sebagai
tanggungjawab Jabatan Pembangunan OKU di dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat di
bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi merentas
bidang dan kementerian. Penyelarasan yang efektif bagi mengangkat isu OKU ini
amat perlu dalam semua aspek kehidupan mereka, terutamanya merangkumi
aspek-aspek Kesihatan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sumber Tenaga Manusia,
Kerajaan Tempatan dan lain-lain lagi.
14. Di
beberapa negara maju, contohnya New Zealand, Ireland dan Perancis, terdapat
seorang yang bertaraf menteri yang mengkoordinasi polisi negara bagi isu OKU
ini, untuk meraikan hak mereka sebagai warganegara dan memudahcara kehidupan
mereka agar menjadi normal. Ini merupakan suatu pendekatan yang amat progresif.
Para penonton yang dihormati,
15. Kedudukan
OKU di Malaysia juga boleh diangkat lebih tinggi lagi. Walaupun kita telah ada
Akta Orang Kurang
Upaya 2008, Majlis
Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022, masih
terdapat banyak hambatan di dalam memberikan OKU hak dan
kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat. Penguatkuasaan
peruntukan-peruntukan yang telah digariskan perlu dijalankan dengan lebih
bersungguh-sungguh.
16. Untuk tujuan
yang sama juga, sementelahkan kini Parlimen sedang membahaskan Bajet Negara
2022, IKRAM menyeru agar pihak Kerajaan melibatgandakan lagi peruntukan bagi
isu OKU, bukan hanya dalam konteks bantuan kebajikan secara langsung, tetapi
lebih penting untuk membantu memperkasakan (empower) mereka untuk menjalani
kehidupan secara normal dengan sebaiknya.
17. Ini termasuk
peruntukan pembangunan bagi menambahbaik infrastruktur membantu aksesibiliti
OKU di seluruh negara, program-program latihan dan peningkatan diri termasuk
dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta kemahiran, bantuan alat keperluan
OKU, serta sistem sokongan yang lebih efisien dan efektif dalam jentera
pentadbiran.
18. Selain daripada
itu, mereka yang membantu OKU, seperti penjaga atau caregivers, sukarelawan
dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat secara langsung dengan mereka hendaklah
turut disokong dalam Bajet ini, kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak telah
meringankan beban pihak Jabatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Sahabat-sahabat sekelian,
19. Sebagai
sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif terlibat dalam isu-isu
kemasyarakatan dan sentiasa peka serta prihatin terhadap apa yang dirasai oleh
golongan rentan dalam masyarakat kita, IKRAM akan terus bersama mengangkat isu OKU
ini melalui kerja-kerja advokasi, pendidikan masyarakat dan bantuan langsung
untuk mereka. Penganjuran Bulan Orang Kurang Upaya sepanjang bulan Disember ini,
termasuk Konvensyen Anjakan Paradigma 2021 pada 11 Disember ini, merupakan satu
inisiatif IKRAM untuk tujuan tersebut. Sukacita saya sebutkan di sini juga
bahawa sambutan ini disokong sepenuhnya oleh Majlis Pembangunan dan Kebajikan
Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM).
20. Adalah
diharapkan dengan berlakunya program ini masyarakat akan lebih peka dan celik
mengenai isu-isu OKU di seluruh pelusuk negara, dan bersama-sama meletakkan OKU
sebagai warganegara yang akan turut menyumbang kepada masyarakat dan negara,
selain diberikan bantuan yang sewajarnya.
21. Akhir
sekali, dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, saya dengan lafaz
BismiLlahir-Rahmanir-Rahim melancarkan dengan rasminya Sambutan Bulan Orang
Kurang Upaya anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama Yayasan Ikram Malaysia,
dengan sokongan MAKPEM. Semoga Allah berkati dan semarakkan.
Wa biLlahi attawfiq wa alhidayah, wa assalamu
‘alaykum wa rahmatu Llahi wa barakatuh!
Ainullotfi
bin Abdul Latif
Ketua,
Pasukan Petugas Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment