Yang Berbahagia Dato’/Datin/Tuan/Puan,
Assalamu 'alaykum wa rahmatuLlahi wa barakatuh!
RAMADHAN RAHMAH, PRIHATIN UMMAH
Semoga Dato’/Datin/Tuan/Puan sentiasa berada dalam kesejahteraan Allah s.w.t.
AlhamduliLlah kita kini sekali lagi berada di ambang bulan Ramadan al-Mubarak yang sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia. Inilah bulan yang kita rindu untuk beribadah dan beramal di dalamnya, yang pahalanya Allah lipat-gandakan.
Namun bulan Ramadan kali ini bukanlah kita sambut seperti biasa. Ketika ini seluruh dunia diserang wabak Covid-19 yang belum kelihatan penghujungnya, yang lantaran daripada itu kita di tanahair terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dikenakan selama 42 hari (setakat ini).
Dengan ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak ini, sekali lagi kami di Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu) melancarkan Kempen Rayuan Ramadan yang telah dimulakan sejak tahun 1999 lagi, bagi mengisi tabung untuk kerja-kerja kebajikan membantu mereka yang kurang bernasib baik, termasuk fakir, miskin, ibu tunggal, anak yatim, gelandangan, OKU dan golongan yang memerlukan, di seluruh negara, baik untuk membantu mereka menghadapi bulan Ramadan ini maupun sepanjang tahun. Setakat ini lebih daripada 750,000 orang telah menerima manfaat daripada program ini selama 21 tahun ia dilaksanakan.
Krisis wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP kali ini semakin meruncingkan keadaan bagi golongan yang tidak bernasib baik ini, malah menambahkan bilangan mereka yang memerlukan bantuan. Statistik daripada Jabatan Perangkaan menyebut bahawa 52.6% rakyat kini “sangat terkesan” dari segi kewangan, dan 46.6% mereka yang bekerja sendiri hilang pekerjaan (dan sumber pendapatan) lantaran krisis ini. Ini termasuk mereka yang bergaji harian, peniaga kecil dan mereka yang “kais pagi makan pagi”.
Dengan berbekalkan rasa keprihatinan ini, Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu) sekali lagi mengajak semua anggota masyarakat untuk berkongsi rezeki dan berganding bahu bagi membantu mereka yang lebih memerlukan tersebut melalui Program Rayuan Ramadhan ini. yang bertujuan mengumpul dana bagi bantuan makanan, pendidikan dan infrastruktur kepada golongan yang lebih memerlukan, sesuai dengan hadis RasuluLlah s.a.w.:
"Bandingan orang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat menguatkan antara satu sama lain."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
"Barangsiapa memberi makan pada orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahalanya."
[Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi]
Sepertimana yang kita fahami, di bulan Ramadhan, setiap amal ibadah akan dilipatgandakan pahalanya termasuklah ibadah sedekah. Rasulullah s.a.w. sendiri memberikan tauladan yang jelas apabila baginda meningkatkan sifat dermawan baginda di dalam bulan Ramadan, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:
"RasuluLlah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah s.a.w. melebihi angin yang berhembus."
[Riwayat Bukhari]
Lantaran itu, dengan penuh rendah hati, saya memohon agar pihak Dato’/Datin/Tuan/Puan dapat bersama-sama menyumbang menjayakan program ini. Saya yakin sebarang sumbangan yang diberikan insya Allah amat bermakna untuk setiap keluarga yang memerlukan tersebut, dan mengembalikan keceriaan di wajah mereka, di samping memperoleh ganjaran yang besar di sisi Allah buat penyumbang.
"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita."
[al-Baqarah 2:274]
Disertakan brosur Rayuan Ramadhan untuk penyertaan, di samping diwar-warkan kepada semua teman, kenalan dan anggota keluarga yang lain. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh juga diperolehi dengan melayari laman web dan Facebook kami seperti berikut:
Di atas keprihatian dan sumbangan Dato’/Datin/Tuan/Puan tersebut kami dahulukan dengan ucapan terima kasih dan semoga Allah mengganjari dengan yang lebih baik di sisi-Nya. Semoga Allah berkati kita bersama.
Ramadan al-Mubarak. Ramadan Karim.
Yang benar,
Prof Madya Ainullotfi bin Abdul Latif
Ketua Pengurusan
Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu)
No comments:
Post a Comment