Keperibadian seseorang itu diukur melalui budi-bahasa seseorang. Kalimat Bahasa Melayu "budi-bahasa" agak padat, merangkumi "budi" yang membayangkan amal, usaha dan tingkah lakunya, terutamanya bagaimana ia berinteraksi dalam masyarakat, dan "bahasa" pula menggambarkan tutur-katanya, termasuk perkataan-perkataan yang diguna, serta pandangannya, ekspresinya dan sikapnya.
Keperibadian atau akhlak merupakan manifestasi keimanan dan nilai jiwa seseorang. Ia akan membentuk cara pemikirannya dan juga pandangan dunianya (world view).
Al-Qur'an dalam surah al-Rahman ayat 63 menyebut mengenai satu keperibadian yang menjadi contoh (examplary), iaitu "ibadurrahman".
Perkataan berjalan di atas bumi dengan rendah hati boleh membayangkan kehadiran mereka yang sentiasa berlapang dada dan tenang, tidak takabbur dan bongkak. Orang-orang di sekeliling mereka tidak merasa terancam dengan kehadiran mereka, melainkan golongan yang berpenyakit di dalam hatinya. Pendekatan mereka yang lunak menjadikan orang senang dengan mereka, dan mereka tidak melakukan sesuatu yang diluar sifat kemanusiaan dan sentiasa takut dengan pemerhatian Allah terhadap amal mereka. Mereka sentiasa membawa sesuatu yang positif untuk manusia, dan tidak bersifat memualkan (repulsive).
Begitu juga, ibadurrahman ini menjaga kata-kata mereka, hatta apabila disapa, disebut atau ditohmah oleh orang-orang jahil dan bodoh (al-jahilun) yang suka memperlekehkan mereka, mereka tidak melatah atau membalas dengan emosi, walaupun mereka berada di atas kebenaran. Reaksi mereka penuh dengan ketenangan, seperti membawa mesej kedamaian dan kesejahteraan ("salama"). Tidak akan keluar daripada mulut mereka kalimat-kalimat yang palsu, dusta atau bersifat angkuh. Mereka menghindari melawan kebodohan dengan kebodohan, kebencian dengan kebencian, amarah dengan amarah.
Sebaliknya mereka akan cuba untuk terus membawa risalah kebenaran dengan mengikut pendekatan para Rasul dan Nabi, menekankan yang hak dengan tegas, menghubungkan hati-hati manusia, meyakinkan manusia dengan hujah dan amal, membela mereka yang tertindas dan tidak berupaya, dan mengelakkan pendekatan yang membawa kebencian, perpecahan dan perseteruan. Mereka akan sentaiasa bersedia untuk mengintrospeksi diri untuk kebenaran, dan bersedia untuk dibetulkan kiranya tersilap, mengenepikan ego dan rasa besar diri.
Mereka tidak takut untuk dinilai, kerana mereka tetap berpegang kepada prinsip yang berpaksi kukuh kepada al-Qur'an dan Sunnah. Keperibadian Ibadurrahman ini menjadi suri tauladan kita.
No comments:
Post a Comment