Sunday, November 3, 2013

Doa Akhir dan Awal Tahun?

Menjelang akhirnya tahun Hijriah dan datangnya Awal Muharram kini, seperti tahun-tahun sebelumnya, banyaklah disebarkan mengenai apa yang dikatakan sebagai doa akhir tahun dan awal tahun untuk dibaca. Sebaran-sebaran itu selain daripada memberikan matan doa berkenaan, turut juga menyatakan kaifiat pembacaannya (contohnya, kena baca Surah Yaasiin dahulu kemudian baca doa tiga kali selepas solat 'Asar di hujung bulan Zulhijjah, bagi doa akhir tahun) malah juga fadhilatnya, termasuk penyesalan syaitan kerana manusia berkenaan membacanya. Di sesetengah masjid dan surau, siap ada pula majlis-majlis dibuat khas untuknya di hujung waktu 'Asar dan masuknya waktu Maghrib kelak.

Kita masih tertanya-tanya, dari manakah asalnya amalan ini? Tidak pula kita jumpa di dalam al-Qur'an mengenainya, dan di dalam sebaran yang dibuat itu, tiada pula disertakan hadits sahih mengenainya. Begitu juga, tidak kita ketahui amalan ini dilakukan oleh para Sahabat ataupun golongan Salaf.


Sebenarnya tidaklah salah untuk seseorang berdoa dengan caranya yang tersendiri, menggunakan kalimat-kalimat yang ia susun sendiri yang menggambarkan hasrat hatinya untuk disampaikan kepada Yang Maha Mendengar, walaupun bukan daripada apa yang ma'tsur. Itu bukan isunya. Namun apabila hal-hal yang sedemikian diberikan penekanan yang istimewa, disusun menjadi suatu upacara yang khusus, dan diulang-ulang sehingga menjadi suatu yang seolah-olah ibadat yang tersendiri dengan kaifiat yang tertentu juga, maka nyata amalan ini sudah melampaui batas harusnya dan memasuki ruang bid'ah.

Begitu juga, yang lebih membuat kita musykil ialah fadhilatnya. Di antara fadhilat yang pernah saya baca termasuklah:
  • Syaitan berkata, "Walaupun kami telah fitnahkan hamba Allah ini, si-fulan, sepanjang tahun, tetapi ia telah dihapuskan dalam satu saat dengan membaca doa akhir tahun".
  • Allah ampunkan dosanya yang telah lalu.
  • Syaitan berkata, "Telah memohon perlindungan si-fulan ini kepada Allah akan dirinya dan baki umurnya daripada godaan syaitan".
  • Allah utuskan dua malaikat untuk mengawalnya daripada godaan syaitan dan tenteranya.
Memberi fadhilat di atas amal ialah urusan Allah semata-mata. Sekiranya sesuatu itu tidak disebut di dalam al-Qur'an, dan tiada pula hadits Nabi s.a.w. mengenainya, siapakah lagi yang boleh menerobos ke alam ghaib lalu mendapat ilmu mengenainya langsung daripada Allah s.w.t.? Juga, bagaimanakah boleh seseorang mengetahui kalimat yang dituturkan oleh syaitan sedemikian, melainkan apa yang diceritakan di dalam nas dan sumber yang mu'tabar? Melainkan kalaulah seseorang itu mendapatnya daripada syaitan sendiri...

Sebarang pendustaan yang dilakukan di atas nama agama, termasuk mereka-reka cerita berkait dengan hal-hal ghaib, walaupun dengan niat yang baik supaya manusia beramal soleh, tetap salah dan merosakkan agama. Natijah daripada ini akan membawa kepada kesesatan, dan setiap yang sesat itu di dalam neraka tempatnya.


Kesemuannya ini sebenarnya berkait balik dengan persaksian kita dalam dua kalimat syahadah yang kita ikrarkan setiap hari, dan sama ada kita memahaminya betul-betul dan menjiwainya. Apabila kita mengikrarkan bahawa "Tiada Tuhan melainkan ALlah", kita memperakukan bahawa seluruh niat dan tujuan kita melakukan sesuatu amal hanya sanya kerana ALlah semata-mata, tidak kerana yang lainnya. Apabila kita lafazkan bahawa "Muhammad itu RasuluLlah" ia bukannya semata-mata mengiyakan hakikat sejarah yang telah berlaku, tetapi kita memperakukan bahawa amalan kita haruslah bertepatan dengan Sunnah yang diajarkannya sahaja, dan tidak mengambil agama ini daripada yang selain daripadanya.

Kita seharusnya sentiasa merasa cemburu dengan urusan agama, dan berjaga-jaga agar tidak mencampur-adukkan sesuatu yang sah dengan sesuatu yang tiada asalnya. Yang menjadikan umat yang terdahulu sesat ialah apabila mereka mengabaikan perkara ini, lalu kita lihat kini amalan mereka langsung tiada irapnya dengan apa yang Allah turunkan ke atas Nabi mereka. Walaupun mulanya sedikit sahaja menyimpangnya, akhirnya sudah jauh melencong. Di era Facebook, Twitter, WhatsApp dan seumpamanya kini, kita sepatutnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan apa sahaja yang kita terima, supaya kita tidak bersubahat menyebarkan bid'ah dan pendustaan atas nama agama, lantas membeli saham dalam api neraka.

WaLlahu a'lam.

Mercu Buana,
Ipoh.
30 Zulhijjah 1434.

No comments: