Monday, August 8, 2011

Kisah Pak Ali dan Pak Belang...

Kisah ini kisah Pak Ali dan Mak Mela. Pak Ali dan Mak Mela ni tinggal di Kampung Senandong. Kampung ini agak terpencil sikit, di kaki Banjaran Titiwangsa. Kira betul-betul di sebelah hutan belantara yang belum diteroka lagi.

Pak Ali ini, selain daripada bekerja kampung sebagai petani, juga adalah Tok Sidang di kampung tu dan ramailah anak buahnya yang tinggal di kampung tersebut. Pasangan tersebut dikurniakan tujuh orang anak, ada yang sudah besar di sekolah menengah, anak yang masih kecil lagi di sekolah rendah, dan ada yang masih belum sekolah lagi. Rumah Pak Ali memang betul-betul di pinggir kampung, di sebelahnya memang sudah hutan banat juga. Tapi Pak Ali memang suka tinggal di situ, sebab tanah di situ boleh luas menanjur ke hutan, tak ada siapa yang nak kacau dia.

Perangai Pak Ali ni, memang ada "hentak" sikit. Maklumlah, Tok Sidang. Kena jaga kelas, tak boleh sama dengan orang kampung lain. Walaupun berharap kepada elaun Tok Sidang yang tak seberapa tu di samping hasil-mahsul kerja petaninya di tanah yang sekangkang kera sahaja, kehendaknya tinggi. Di rumahnya macam-macam ada, ada TV flat screen siap dengan Astronya, perabut tukar setiap Raya, dalam lemari perhiasan tu, tak kurang dengan Queen Anne nya juga. Ya lah, kalau anak buahnya orang kampung datang, semuanya memuji hebatnya rumah Pak Ali. Pak Ali dan Mak Mela pun tersengih-sengih senyum bangga. "Eh, tak ada lah.. heh heh..." katanya merendahkan diri. Hati tak terkata sukanya.

Namun duit masuknya sikit sahaja. Anak ramai. Jadi anak-anaknya macam terbiar sikit. Duit untuk beli makananpun selalu bercatu. Kekadang anak-anak berebut-rebut untuk menjamah lauk yang tak seberapa, walaupun sekali sekala bila ada acara penting, ada pula duit untuk menjamu tetamu dengan agak mewah sikit. Kena jaga status, kan? Masa tu, anak-anaknya apa lagi, tak kasi canlah nak makan sedap dan kenyang.

Walaubagaimanapun, masa hari biasa, anak-anak kena bertahan perut sikit lah, terutamanya anak-anak yang kecil, sebab kalah berebut dengan abang-abang dan kakak-kakak yang lebih cepat. Tapi sebab duduk di kampung, anak-anak ni pandailah mencari sendiri apa yang boleh di makan di luar sana. Kekadang mengesot di rumah jiran sebelah, kekadang memanjat pokok buah-buahan, sekadar untuk mengisi perut. Yang adventurous sikit ada yang suka merayau-rayau jauh hingga ke dalam belukar atau pun hingga ke dalam hutan dara. Tambah pula, kat dalam sana tu banyak pokok buat yang ranum-ranum belaka.

Satu hal lagi, dek kerana kawasan ni kawasan hutan belantara yang bersambung ke hutan di Banjaran Titiwangsa, memang banyaklah binatang buas di dalamnya. Tiap tahun saja memang ada kisah orang kampung yang kena baham dek rimau ke, kena sondol dek babi hutan ke, malah ada yang kena pengan beruang liar. Baru-baru ni pun sudah heboh Siti anak si-Goyah tu habis tersirat-sirat kena baham dek rimau. Kesian nengok si-Goyah yang janda tu menangis berminggu-minggu mengenangkan anaknya. Semua orang kampung simpati tetapi tak boleh nak buat apa. Sudah suratan takdir.

Nak kena cerita, satu hari si-Lin anak kecil Pak Ali yang belum sekolah tu dok merayau mencari buah di tepi belukar. Mula-mulanya ikut abangnya si-Junid tapi entah macam mana abangnya balik, adiknya tertinggal leka seorangan. Buah rambutan pulak memang banyak dan lekang. Seronok dia makan sampai tak sedar diri. Yalah, pagi tadi semasa sarapan, dia tengah tidur abang-abangnya tak kejutpun, bila bangun dah habis. Budak kecillah katakan.

Rupa-rupanya berdekat ada Pak Belang sudah lama memerhati. Tapi si-Lin ni masih tak sedar lagi. Perlahan-lahan Pak Belang menjengkit-jengkit mendekati. Tapi sebab di masih di belukar lagi, tak ada pepohon yang tinggi. Sang Rimaupun sudah keluar dari sebalik hutan dan tidak lagi terselindung.

Nasib baik secara kebetulan ada Pak Ghani lalu di dekat situ, dia nak ke sungai yang tak jauh dari sana, nak mengail. Lalu terpandanglah dia ada harimau di belakang belukar, dan ternampaklah pula dia akan si-Lin anak Pak Ali tak jauh dari situ. Lalu hebohlah dia, berpekik-pekik dan melaung-laung sampai satu kampung jadi terkejut. Pak Ali yang sedang menengok Astro di rumahpun segera mengokkan apa halnya. Rupa-rupanya anaknya dalam bahaya.

Bagaikan refleks, terus dia mencapai senapang patahnya dan bergegas keluar, meluru ke arah hutan belukar. "Sana nun, sana nun", kata Pak Ghani. "Rimau nak menerkam anak kamu!" Apatah lagi, dengan rasa cemas, dia meluru ke situ, lalu dilihat memang ada seekor harimau yang besar sudah beberapa meter dari anaknya, yang agak terselindung di sebalik belukar juga kerana kecilnya.

"Berdentum! Dentum!" bunyi senapang Pak Ali. Dua das tembakan ditujukan. Peluru yang pertama tersesar tak mengena, tapi yang kedua terkena kaki harimau tersebut. Namun Pak Belang sempat lari walau berdengkot-dengkot. Anak Pak Ali terpinga-pinga dengan semua kejadian yang berlaku, lalu menangis kuat, rasa bersalah agaknya.

Satu kampung dah berada di situ setelah mendengar kecoh-kecoh yang berlaku. Ramai yang memuji Pak Ali kerana berjaya menyelamatkan anaknya.

"Mujur kamu ada..." kata seorang. "Kalau tidak udah inna liLlahi jadi juadah Pak Belang si-Lin tu..."

"Ha'ah," sambut temannya. "Macam si-Siti anak si-Goyah tu dulu... kesiaaaann!"

Kemudiannya semua orang semakin hangatlah membincangkan bagaimana liar dan ganasnya sang harimau... lalu keluarlah cerita-cerita ngeri secara terperinci bagaimana sebelum-sebelum itu harimau memamah dan membaham mangsa-mangsanya... penuh grafik sekali! Keluar cerita pula bagaimana dilihat dalam video terburai perut si-mangsa dilantak oleh sang harimau yang lapar itu... jadi topik yang meriah pula mereka berbual.

"AlhamduliLlah... ALlah nak selamatkan si-Lin lagi... kita patut semua bersyukur" ujar Mak Mela seraya menarik nafas panjang, sambil makcik-makcik lain mengangguk mengiakannya.


Pak Ali pula menyampuk, "Aku, kalau aku dapat rimau tu nanti, akan aku patah-patahnya tulangnya... ada ke nak dikacaunya Lin anak comel aku tu!" seolah-olah membayangkan rasa geramnya, sambil disetujui oleh anah-anak buahnya yang kini sudah bagai memandangnya sebagai seorang hero baru berjaya menumpaskan musuhnya.

Namun cerita ini tak habis di situ sahaja. Esoknya apabila kisah ini sudah heboh ke semerata tempat, termasuk ke bandar berdekatan, sekumpulan yang menggelar diri mereka Pencinta Haiwan Liar merungut, mengatakan bahawa kenapa disalahkan harimau tersebut, dia cuma nak cari makan sahaja... mujur tak mati kena tembak, tapi kesian harimau itu cedera. Rupa-rupa spesis harimau tersebut sudah hampir pupus terutamanya di tempat asalnya dan kini cuma tinggal beberapa puluh ekor sahaja yang hidup...

Meledak lagi satu pertikaian pula. Itu kita masuk bab lain pula, adanya.


Kisah ini hanya patut dibaca oleh mereka yang berfikiran kritis sahaja. Boleh saya katakan, ia tiada kena-mengena dengan sebarang kejadian sebenar baik secara langsung atau tidak langsung, masa kini atau telah lepas? Sebarang persamaan, jika wujud, hanyalah kebetulan sahaja. :-)

No comments: