Monday, August 8, 2011

Kisah Pak Ali dan Pak Belang...

Kisah ini kisah Pak Ali dan Mak Mela. Pak Ali dan Mak Mela ni tinggal di Kampung Senandong. Kampung ini agak terpencil sikit, di kaki Banjaran Titiwangsa. Kira betul-betul di sebelah hutan belantara yang belum diteroka lagi.

Pak Ali ini, selain daripada bekerja kampung sebagai petani, juga adalah Tok Sidang di kampung tu dan ramailah anak buahnya yang tinggal di kampung tersebut. Pasangan tersebut dikurniakan tujuh orang anak, ada yang sudah besar di sekolah menengah, anak yang masih kecil lagi di sekolah rendah, dan ada yang masih belum sekolah lagi. Rumah Pak Ali memang betul-betul di pinggir kampung, di sebelahnya memang sudah hutan banat juga. Tapi Pak Ali memang suka tinggal di situ, sebab tanah di situ boleh luas menanjur ke hutan, tak ada siapa yang nak kacau dia.

Perangai Pak Ali ni, memang ada "hentak" sikit. Maklumlah, Tok Sidang. Kena jaga kelas, tak boleh sama dengan orang kampung lain. Walaupun berharap kepada elaun Tok Sidang yang tak seberapa tu di samping hasil-mahsul kerja petaninya di tanah yang sekangkang kera sahaja, kehendaknya tinggi. Di rumahnya macam-macam ada, ada TV flat screen siap dengan Astronya, perabut tukar setiap Raya, dalam lemari perhiasan tu, tak kurang dengan Queen Anne nya juga. Ya lah, kalau anak buahnya orang kampung datang, semuanya memuji hebatnya rumah Pak Ali. Pak Ali dan Mak Mela pun tersengih-sengih senyum bangga. "Eh, tak ada lah.. heh heh..." katanya merendahkan diri. Hati tak terkata sukanya.

Namun duit masuknya sikit sahaja. Anak ramai. Jadi anak-anaknya macam terbiar sikit. Duit untuk beli makananpun selalu bercatu. Kekadang anak-anak berebut-rebut untuk menjamah lauk yang tak seberapa, walaupun sekali sekala bila ada acara penting, ada pula duit untuk menjamu tetamu dengan agak mewah sikit. Kena jaga status, kan? Masa tu, anak-anaknya apa lagi, tak kasi canlah nak makan sedap dan kenyang.

Walaubagaimanapun, masa hari biasa, anak-anak kena bertahan perut sikit lah, terutamanya anak-anak yang kecil, sebab kalah berebut dengan abang-abang dan kakak-kakak yang lebih cepat. Tapi sebab duduk di kampung, anak-anak ni pandailah mencari sendiri apa yang boleh di makan di luar sana. Kekadang mengesot di rumah jiran sebelah, kekadang memanjat pokok buah-buahan, sekadar untuk mengisi perut. Yang adventurous sikit ada yang suka merayau-rayau jauh hingga ke dalam belukar atau pun hingga ke dalam hutan dara. Tambah pula, kat dalam sana tu banyak pokok buat yang ranum-ranum belaka.

Satu hal lagi, dek kerana kawasan ni kawasan hutan belantara yang bersambung ke hutan di Banjaran Titiwangsa, memang banyaklah binatang buas di dalamnya. Tiap tahun saja memang ada kisah orang kampung yang kena baham dek rimau ke, kena sondol dek babi hutan ke, malah ada yang kena pengan beruang liar. Baru-baru ni pun sudah heboh Siti anak si-Goyah tu habis tersirat-sirat kena baham dek rimau. Kesian nengok si-Goyah yang janda tu menangis berminggu-minggu mengenangkan anaknya. Semua orang kampung simpati tetapi tak boleh nak buat apa. Sudah suratan takdir.

Nak kena cerita, satu hari si-Lin anak kecil Pak Ali yang belum sekolah tu dok merayau mencari buah di tepi belukar. Mula-mulanya ikut abangnya si-Junid tapi entah macam mana abangnya balik, adiknya tertinggal leka seorangan. Buah rambutan pulak memang banyak dan lekang. Seronok dia makan sampai tak sedar diri. Yalah, pagi tadi semasa sarapan, dia tengah tidur abang-abangnya tak kejutpun, bila bangun dah habis. Budak kecillah katakan.

Rupa-rupanya berdekat ada Pak Belang sudah lama memerhati. Tapi si-Lin ni masih tak sedar lagi. Perlahan-lahan Pak Belang menjengkit-jengkit mendekati. Tapi sebab di masih di belukar lagi, tak ada pepohon yang tinggi. Sang Rimaupun sudah keluar dari sebalik hutan dan tidak lagi terselindung.

Nasib baik secara kebetulan ada Pak Ghani lalu di dekat situ, dia nak ke sungai yang tak jauh dari sana, nak mengail. Lalu terpandanglah dia ada harimau di belakang belukar, dan ternampaklah pula dia akan si-Lin anak Pak Ali tak jauh dari situ. Lalu hebohlah dia, berpekik-pekik dan melaung-laung sampai satu kampung jadi terkejut. Pak Ali yang sedang menengok Astro di rumahpun segera mengokkan apa halnya. Rupa-rupanya anaknya dalam bahaya.

Bagaikan refleks, terus dia mencapai senapang patahnya dan bergegas keluar, meluru ke arah hutan belukar. "Sana nun, sana nun", kata Pak Ghani. "Rimau nak menerkam anak kamu!" Apatah lagi, dengan rasa cemas, dia meluru ke situ, lalu dilihat memang ada seekor harimau yang besar sudah beberapa meter dari anaknya, yang agak terselindung di sebalik belukar juga kerana kecilnya.

"Berdentum! Dentum!" bunyi senapang Pak Ali. Dua das tembakan ditujukan. Peluru yang pertama tersesar tak mengena, tapi yang kedua terkena kaki harimau tersebut. Namun Pak Belang sempat lari walau berdengkot-dengkot. Anak Pak Ali terpinga-pinga dengan semua kejadian yang berlaku, lalu menangis kuat, rasa bersalah agaknya.

Satu kampung dah berada di situ setelah mendengar kecoh-kecoh yang berlaku. Ramai yang memuji Pak Ali kerana berjaya menyelamatkan anaknya.

"Mujur kamu ada..." kata seorang. "Kalau tidak udah inna liLlahi jadi juadah Pak Belang si-Lin tu..."

"Ha'ah," sambut temannya. "Macam si-Siti anak si-Goyah tu dulu... kesiaaaann!"

Kemudiannya semua orang semakin hangatlah membincangkan bagaimana liar dan ganasnya sang harimau... lalu keluarlah cerita-cerita ngeri secara terperinci bagaimana sebelum-sebelum itu harimau memamah dan membaham mangsa-mangsanya... penuh grafik sekali! Keluar cerita pula bagaimana dilihat dalam video terburai perut si-mangsa dilantak oleh sang harimau yang lapar itu... jadi topik yang meriah pula mereka berbual.

"AlhamduliLlah... ALlah nak selamatkan si-Lin lagi... kita patut semua bersyukur" ujar Mak Mela seraya menarik nafas panjang, sambil makcik-makcik lain mengangguk mengiakannya.


Pak Ali pula menyampuk, "Aku, kalau aku dapat rimau tu nanti, akan aku patah-patahnya tulangnya... ada ke nak dikacaunya Lin anak comel aku tu!" seolah-olah membayangkan rasa geramnya, sambil disetujui oleh anah-anak buahnya yang kini sudah bagai memandangnya sebagai seorang hero baru berjaya menumpaskan musuhnya.

Namun cerita ini tak habis di situ sahaja. Esoknya apabila kisah ini sudah heboh ke semerata tempat, termasuk ke bandar berdekatan, sekumpulan yang menggelar diri mereka Pencinta Haiwan Liar merungut, mengatakan bahawa kenapa disalahkan harimau tersebut, dia cuma nak cari makan sahaja... mujur tak mati kena tembak, tapi kesian harimau itu cedera. Rupa-rupa spesis harimau tersebut sudah hampir pupus terutamanya di tempat asalnya dan kini cuma tinggal beberapa puluh ekor sahaja yang hidup...

Meledak lagi satu pertikaian pula. Itu kita masuk bab lain pula, adanya.


Kisah ini hanya patut dibaca oleh mereka yang berfikiran kritis sahaja. Boleh saya katakan, ia tiada kena-mengena dengan sebarang kejadian sebenar baik secara langsung atau tidak langsung, masa kini atau telah lepas? Sebarang persamaan, jika wujud, hanyalah kebetulan sahaja. :-)

Monday, July 4, 2011

Meluaskan Kerjasama Dalam Perkara Yang Disepakati

Kita berjuang di atas landasan yang lurus dan benar, berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Ada kalanya sebahagian aspek daripada perjuangan kita itu disepakati dan dikongsikan juga oleh orang lain, contohnya di dalam menuntut agar keadilan dilaksanakan dan penyelewengan dalam pemerintahan dihapuskan. Maka kita bekerjasama dengan semua mereka yang berkongsi dengan pendirian kita tersebut dalam isu berkenaan, dan kerjasama itu kita gerakkan secara bersungguhan.

Namun tidak menjadi pelik pula di kala yang lain, kita mungkin bertembung dengan orang-orang yang sama dalam maudhu' yang lain, kerana ketika itu pendirian kita amat berbeda. Itu tidak menjadi hal, dan menjadi asam garam perjuangan. Kita tidak meminta maaf lantarannya.

Seandainya kita bekerjasama dengan seseorang hanya apabila ia bersetuju dengan kita 100%, maka kita akan perhatikan bahawa akhirnya kita akan bersendirian dan tiada suatupun projek kita akan kita kongsikan bersama sesiapapun, melainkan dengan ahli-ahli kita sahaja. Ini tidak menguntungkan dakwah. Sedangkan dakwah itu menuntut supaya kita lebarkan risalah kita selebar yang mungkin, mengikut sebarang ruang yang ada.

Peluang bersama dengan seramai mungkin manusia adalah penting agar kita dapat jalinkan hubungan peribadi dengan mereka bagi membolehkan mereka mengenali dan bertakruf dengan kita sedalamnya. Pengalaman menunjukkan bahawa apabila seseorang lebih kenal dengan kita dan memahami fikrah kita, mereka akan lebih hormati kita kerena prinsip kita, walaupun mereka tidak bersetuju dengan kita. Mereka akan lebih bersopan dengan kita dan tidak menghentam kita secara membabi-buta, berbanding dengan kalau mereka tidak mengenali kita.

Dengan sebab yang sama juga, sekiranya kita tidak bersefahaman dengan pihak lain, jangan sesekali kita serang mereka secara peribadi atau secara kurang sopan (seperti memaki hamun atau menggunakan kata-kata kesat dan buruk). Kita cuma perlu sanggah prinsip dan pendirian mereka dengan hujjah dan dalil, dan patahkan argumen mereka dengan argumen yang lebih baik. Hanya dengan sedemikian orang akan melihat kita sebagai berprinsip, dan bukannya mengambil pendirian kerana menurut puak atau mengikut orang atau sebagai lalang. Hanya dengan sebegitu sahajalah orang akan menghormati kita.

Kita seharusnya menjaga hubungan hati sesama manusia dan jangan mengguriskan hati-hati manusia tanpa sebab yang hak. Ini memungkinkan peluang terus dibuka untuk mereka datang kepada kita kemudiannya. Sedangkan kalau kita bersifat buruk dengan mereka, tentunya hati-hati mereka akan tertutup dan termetri terus daripada mahu bersama kita.

Saturday, February 26, 2011

On the lighter side: Comparing Microsoft and General Motors...

At a recent computer expo (COMDEX), Bill Gates reportedly compared the computer industry with the auto industry and stated, “If GM had kept up with technology like the computer industry has, we would all be driving $25.00 cars that got 1,000 miles to the gallon.”

In response to Bill’s comments, General Motors issued a press release stating: “If GM had developed technology like Microsoft, we would all be driving cars with the following characteristics”:

1. For no reason whatsoever, your car would crash twice a day.

2. Every time they repainted the lines in the road, you would have to buy a new car.

3. Occasionally your car would die on the freeway for no reason. You would have to pull to the side of the road, close all of the windows, shut off the car, restart it, and reopen the windows before you could continue. For some reason you would simply accept this.

4. Occasionally, executing a maneuver such as a left turn would cause your car to shut down and refuse to restart, in which case you would have to reinstall the engine.

5. Macintosh would make a car that was powered by the sun, was reliable, five times as fast and twice as easy to drive – but would run on only five percent of the roads.

6. The oil, water temperature, and alternator warning lights would all be replaced by a single “This Car Has Performed an Illegal Operation” warning light.

7. The airbag system would ask “Are you sure?” before deploying.

8. Occasionally, for no reason whatsoever, your car would lock you out and refuse to let you in until you simultaneously lifted the door handle, turned the key and grabbed hold of the radio antenna.

9. Every time a new car was introduced car buyers would have to learn how to drive all over again because none of the controls would operate in the same manner as the old car.

10. You’d have to press the “Start” button to turn the engine off.”

Friday, February 25, 2011

Ikhwan Muslimin bukannya pengganas


Tengah malam tadi semasa menelusuri internet, saya terkejut dengan suatu laporan berita yang dipanjangkan dalam Facebook. Di bawah tajuk “Malaysian PM: Muslim Brotherhood Must Renounce Violence or Be Left Out” Seth Mendel melaporkan dalam National Review Online bahawa DS Najib menyebut semasa di Istanbul bahawa Ikhwan Muslimin “shouldn’t be part of the process as long as they don’t reject violence and extremism.” Kenyataan tersebut seterusnya mencurigai kewibawaan Shaykh Yusuf al-Qaradhawi, yang disebut sebagai Muslim Brotherhood Spiritual Leader*, seolah-olah membayangkan beliau menyokong keganasan dan ektremisme.

Saya termanggu dengan kenyataan ini. Cuba saya bayangkan apa yang berlegar di dalam pemikiran Perdana Menteri. Siapakah yang menasihati beliau sehinggakan mengeluarkan pandangan yang cukup tersesar daripada kebenaran dan out-of-synch dengan nada pandangan dunia kini, yang menyeru agar dialog dengan Ikhwan dipertingkatkan. Malah James Clapper, Ketua Inteligen di bawah Obama, juga berubah nada kini. Saya amat mengharapkan agar liputan atau laporan ini tidak benar atau tersalah lapor.

Tuduhan atau persepsi bahawa Ikhwan mendokong keganasan adalah suatu tohmahan yang sentiasa dibajai oleh regim-regim represif di Timur Tengah, untuk meraih sokongan Barat bagi membendung kemaraan Gerakan Islam, terutamanya Ikhwan Muslimin yang amat popular di sana. Namun ianya tetap satu mitos yang tidak berpijak di bumi nyata, yang sengaja digembar-gemburkan oleh mereka yang berkepentingan, bagi memadam kebangkitan demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih sendiri secara telus dan saksama bentuk pemerintahan yang mereka mahu.

Suatu jenaka yang kerap berlegar di Timur Tengah ialah bagaimana Madeleine Korbel Albright, Setiausaha Negara Amerika di zaman Bill Clinton, pergi menemui Mubarak untuk menuntutnya membuka lebih ruang demokrasi di negaranya. Beliau berceramah panjang lebar berkenaan dengan peri pentingnya sistem demokrasi dalam era moden yang terbuka luas kini dan betapa Amerika memegangnya sebagai suatu prinsip penting. Setelah selesai ucapan tersebut, Mubarak perlahan-lahan membisikkan ke telinga Setiausaha Negara Amerika itu, “kamu tahu tak, kalau kita ada demokrasi bebas, Ikhwan akan menang hands down?” Albright lantas terkejut, lalu terdiam sejenak. Setelah berfikir seketika, beliau terus berkata, “shall we go for tea now?”

Hakikatnya ialah, Gerakan Ikhwan Muslimin telah lama meletakkan bahawa salah satu daripada sepuluh tsawabit atau perkara pokok yang tidak boleh berubah baginya ialah “Tarbiyyah dan menentang kekerasan adalah jalan kita”. Ia menekankan bahawa tidak ada cara lain untuk menegakkan sistem Islam, melainkan dengan mendidik masyarakat, menambahkan ilmu dan kefahaman mereka, membentuk individu-individu yang yakin dan menjiwai Islam itu sendiri, bukannya jalan pintas yang lain. Ia telah lama menolak pendekatan keganasan dan kekerasan, walaupun terhadap pemerintah yang zalim dan fasiq.

Di seluruh dunia di mana mereka berada, mereka tetap bersabar menanggung penderitaan lantaran ditindas, dipenjara, disiksa malah dibunuh oleh regim-regim yang zalim dan represif, seperti di Iraq di bawah Saddam Hussin, di Mesir, di Syria, di Tunisia di bawah Habib Bourguiba dan Ben Ali, di Libya dan di tempat-tempat lain. Namun mereka tetap beristiqamah dengan pendirian mereka walaupun diperlakukan sedemikian. Ada di kalangan mereka yanhg tidak sabar terus menolak pendirian ini, lalu berpecah menjadi kumpulan yang lebih ekstrim dan ganas, seperti Gama'a at-Takfir wa al-Higra, Jamaah Islamiyyah, al-Qa'idah dan suku-sakat mereka, tetapi pihak kepemimpinan Ikhwan tetap bersabar dan berpegang teguh dengannya. Malah, tiada kumpulan lain yang telah disiksa, ditindasi dan diganasi oleh regim-regim zalim Timur Tengah ini, lebih daripada Ikhwan sendiri, lantaran berpegang teguhnya mereka terhadap prinsip-prinsip Islam itu.

Namun di sebalik itu mereka sentiasa ditohmah dan difitnahkan. Pihak yang tidak sabar dan ekstrem menuduh mereka bersekongkol dengan regim, dan sebaliknya pihak regim dan Barat memfitnahkan mereka melakukan keganasan. Insiden-insiden keganasan sengaja diada-adakan lalu telunjuk dituingkan kepada mereka, sedangkan mereka sekali-kali tidak melakukannya. Ini terbukti contohnya dalam kes terakhir di mana sebuah gereka Qibti telah dibom di Mesir dan pihak yang hendakkan Islam dipersalahkan. Akhirnya kini terbongkar bahawa yang menjadi dalang kepada kejadian tersebut sebenarnya ialah Habib Ibrahim el-Adly, Menteri Dalam Negeri Mubarak sendiri, untuk menunjukkan kepada Barat bahaya “Islam fundamentalis” dan agar tetap mendokong pemerintahan kuku besi mereka.

Adapun bangun menentang penjajahan seperti yang berlaku di Palestin, adalah hak setiap bangsa bagi mempertahankan tanah air mereka. Tidak sesiapapun berhak menafikan hak sesuatu bangsa untuk mempertahankan diri dan tanah air daripada dicerobohi oleh musuh mereka dari luar. Ini bukannya keganasan, tetapi menentang keganasan penjajah. Setiap negara yang merdeka mempunyai sejarah kebangkitan terhadap penjajahan, termasuk Amerika Syarikat sendiri (ingat semasa George Washington memimpin rakyatnya menentang tentera Inggeris?). Maka janganlah sesekali kaitkan kebangkitan rakyat Palestin terhadap penjajahan Zionis Eropah ke atas tanah air mereka di Palestin sebagai pengganasan; sebaliknya itu adalah perjuangan mulia yang harus disokongi dan didokongi. Hanya talibarut penjajah sahaja yang akan memanggil perjuangan kemerdekaan sebagai keganasan.

Lantaran itu, sebarang seruan agar Ikhwan Muslimin meninggalkan keganasan adalah bagaikan menyeru seorang lelaki yang tidak biasa menyentuh wanita ajnabiah agar meninggalkan zina. Sungguh pelik, tanpa asas dan tak kena pada tempatnya.

----

Nota kaki:

* Sebenarnya tiada gelaran Spiritual Leader dalam Ikhwan. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ialah anak didik hasil tarbiyah Ikhwan, dan seorang ulama' yang ulung, namun bukan dalam kepemimpinan utama Ikhwan. Sebagai seorang ilmuan yang tajam pemikiran dan dapat merumuskan sesuatu isu dan masalah dengan tepat dan kena pada tempat dan masanya, beliau amat dihormati oleh masyarakat dan umat Islam seluruhnya, bukan sahaja oleh Ikhwan. Beliau juga pernah menerima anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia bagi tahun 1431/2009. Kepemimpinan organisasi Ikhwan di Mesir sendiri terletak pada Mursyid al-Am dan Maktab Irsyad.