Thursday, July 14, 2022

Kemalangan Maut Libatkan Kenderaan Berat - Sampai Bila?


Dalam dua hari ini berturut-turut, berlaku dua kemalangan yang melibatkan treler berat di negara ini, melibatkan banyak kenderaan dan kematian. Beberapa bulan lepas, kita dikejutkan dengan kejadian yang melibatkan treler juga, menyebabkan kematian lima orang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Perak.


Dalam kejadian terbaharu yang pertama di Lebuhraya Plus di Perak, empat orang sekeluarga terkorban semalam (Rabu 13 Julai) apabila kereta mereka dirempuh dan dihimpit treler dalam kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan.

Sementara itu, seorang wanita terkorban dan beberapa orang lagi, termasuk seorang bayi, telah cedera akibat sebuah treler terbalik di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di Pasir Putih, Kelantan, hari ini (Khamis 14 Julai) dalam satu kemalangan yang membabitkan 29 kenderaan (termasuk 21 basikal).


Walaupun perincian kes-kes terakhir ini belum muktamad lagi, namun laporan kejadian menunjuk kepada treler sebagai penyebab kedua-duanya (dan banyak lagi kejadian lain sebelum ini). Lantaran saiz kenderaan-kenderaan ini yang besar dan berat, kerosakan yang terhasil nyata teruk dan melibatkan banyak mangsa.

Dalam banyak kejadian sebelum ini, antara sebab yang ketara jatuh kepada dua. Yang pertama, faktor manusia iaitu pemandu treler yang tidak dapat mengawal kenderaan lantaran di bawah pengaruh arak atau dadah, atau mengantuk dan tidak berhemah dalam memandu. Yang kedua, faktor kenderaan yang tidak dapat dikawal, contohnya brek yang rosak, lantaran ketiadaan penyelenggaraan yang sewajarnya.

Sampai bilakah gejala sebegini harus berterusan? Siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk memastikan kejadian yang menyebabkan begitu ramai warganegara ini maut berhenti dan tidak berulang lagi?

Atau adakah insiden-insiden ini hanya akan menjadi statistik, sehingga masyarakat keseluruhannya menjadi lali, dan kematian yang berlaku dinormalisasikan sebagai rencah kehidupan semata-mata?

Sayogialah semua pemegang taruh yang berkait dengan isu ini - baik penyelenggara dan pemegang konsesi jalan dan lebuhraya, JPJ, Puspakom, PDRM, pemilik-pemilik kenderaan berat perdagangan, serta semua kementerian dan pihak berkuasa yang berkaitan - memandang serius permasalahan ini dan mencari jalan segera bagi mengatasinya.

Secara amnya, Malaysia ini tiada masalah dasar atau undang-undang, sebaliknya yang perlu diperkemaskan lagi ialah bab penguatkuasaan. Pihak-pihak berwajib yang berkait dengan setiap cabang penguatkuasaan dalam isu ini, seharusnya lebih bersungguh menjalankan tanggungjawab mereka, dan menjalankannya dengan penuh amanah, baik dari segi memastikan pemandu yang sentiasa cergas, berhemah dan layak untuk mengendalikan kenderaan, maupun dalam memastikan kelayakan kenderaan (roadworthiness) sentiasa terjamin.

Walaupun satu nyawa lagi yang hilang di masa akan datang, ia adalah satu kematian lebih daripada sepatutnya dan tidak wajar dikesampingkan apapun dalihnya.


#BinaNegaraRahmah
#MasyarakatProgresif
#MasyarakatYangSejahteraSelamatdanSihat
#KeselamatanJalanRaya


Friday, May 13, 2022

Lima Pelajar USAS Terkorban: Siapa Bertanggungjawab Agar Nahas Sebegini Tidak Berulang?


Infografik Harian Metro mengenai kemalangan yang meragut nyawa lima orang pelajar USAS, termasuk alumnus Sekolah Islam Hidayah Johor Bahru, Iqbal Hasnun Halimi, di Km 256 Lebuhraya Plus berdekatan dengan Terowong Menora pada awal pagi 12 Mei 2022.

Jelas daripada grafik itu pelajar-pelajar tersebut tidak mempunyai sebarang peluangpun. Treler belakang menghentam mereka menyebabkan mereka tersandwic di antara kedua-dua treler, dan kebakaran yang terjadi serta-merta menyebabkan mereka tidak dapat dibantu langsung.

Apakah yang patut dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi?

Siapa yang akan menangani faktor-faktor yang telah diketengahkan:

1. Sikap pemandu kenderaan berat seperti lori treler yang menghentam mereka dari belakang. Daripada video yang dipaparkan, jelas treler bergerak terlalu laju bagi jalan bahaya sedemikian, sehingga tidak sempat membrek. Bagaimana dengan kewarasan dan kesiagaan pemandu, yang dikhabarkan diuji positif dengan dadah perangsang?

2. Keadaan kenderaan yang perlu dipastikan kesesuaian untuk digunakan di atas laluan awam (roadworthiness). Sekiranya brek gagal, apa tindakan pencegahan yang perlu diambil bagi memitigasi keadaan itu.

3. Keadaan jalan yang gelap dan tidak ada penanda yang cukup bagi mengisyaratkan pemandu agar berjaga-jaga. Apa tindakan Plus?

4. Kerja-kerja pembaikan jalan yang menyempitkan laluan menjadi satu lorong dengan tiba-tiba. Di mana peranan kontraktor penyelenggaraan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuhraya? Apa peranan Plus bagi memastikan itu berlaku?

Adakah kejadian ini akan menjadi suatu penggera bagi pihak berwajib untuk mengambil tindakan yang perlu, atau adakah peristiwa menyayat hati ini akan cuma menjadi satu catitan dalam sejarah yang akan dilupakan seminggu kemudian kelak?