Saturday, December 4, 2021

 PERUTUSAN HARI ORANG KURANG UPAYA ANTARABANGSA
DAN PELANCARAN SAMBUTAN BULAN OKU 2021

 

Yang saya hormati Moderator Majlis, Dr Nurul Firdausi Hasnol Basri,

Yang berusaha Ketua Unit OKU Yayasan Ikram Malaysia merangkap Penasihat Bersama Sambutan Bulan OKU IKRAM, Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi,
serta para penonton yang budiman,

Assalamu ‘alaykum wa rahmatu Llahi wa barakatuh
dan selamat petang!

1.       Hari ini, 3 Disember 2021, sekali lagi kita menyambut Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa, seperti yang diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu sejak tahun 1992 lagi.

2.       Tujuan hari ini diletakkan di dalam kalendar ialah untuk mewarwarkan dan meraikan hak-hak dan kesejahteraan orang kurang upaya dalam semua ruang lingkup masyarakat dan pembangunan, dan untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi orang kurang upaya dalam setiap aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

3.       Tema bagi Hari OKU Antarabangsa tahun ini ialah “Kepimpinan dan penyertaan orang kurang upaya ke arah dunia pasca COVID-19 yang inklusif, boleh diakses dan mampan”.

4.       Sambutan ini turut diadakan di Malaysia, termasuk perutusan yang akan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri malam ini di Kuala Lumpur Convention Centre, dan alhamduliLlah Pertubuhan IKRAM Malaysia sebagai sebuah pertubuhan yang sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu di dalam masyarakat menandakan hari ini sebagai satu hari yang perlu diperingati, diraikan dan diwarwarkan kepada seluruh masyarakat kita.

5.       Malah, bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya yang jatuh pada hari ini, IKRAM meletakkan seluruh Bulan Disember ini sebagai masa untuk Sambutan Bulan Orang Kurang Upaya di seluruh negara, dan mengaturkan beberapa program baginya.

Para penonton sekelian,

6.       Sebenarnya, isu OKU ini bukanlah suatu perkara yang terpencil di dalam masyarakat, yang disangkakan dialami oleh cuma sedikit sahaja orang. Mengikut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih kurang 15% daripada penduduk dunia ini mengalami satu bentuk ketidakupayaan atau yang lain, sama ada bersifat fizikal maupun mental. Ini merupakan satu angka yang agak besar.

7.       Angka terkini (Oktober 2021) daripada Jabatan Statistik Malaysia menyebut bahawa cuma 583,427 orang yang berdaftar sebagai OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu 379,915 lelaki dan 203,512 perempuan. Ini bermakna cuma sekitar 1.8% sahaja daripada penduduk negara ini dikenalpasti sebagai OKU, suatu pecahan yang amat kecil iaitu 12% daripada anggaran OKU sebenar.

8.       Angka yang kecil ini mungkin disebabkan oleh (1) ramai tidak mengetahui bahawa apa yang dihadapinya sebagai suatu ketidakupayaan, atau (2) mereka tidak melihatnya daripada perspektif kebajikan dan memerlukan pendaftaran.

9.       Daripada mereka yang berdaftar ini, lebih kurang 35.2% merupakan OKU fizikal, 34.8% OKU pembelajaran, 17% OKU deria (penglihatan, pendengaran, pertuturan dsb), 8.3% OKU mental dan 4.7% OKU berganda.

Para penonton yang budiman,

10.     Kesedaran masyarakat terhadap pelbagai jenis ketidakupayaan ini amat penting, terutamanya mereka yang terkesan dengannya, kerana ini membolehkan ketidakupayaan ini difahami dan ditangani dengan sebaiknya dan tidak dikesampingkan, atau OKU itu sendiri ditanggapi dengan pandangan yang salah.

11.     Keadaan ini menjadi lebih getir dalam suasana masyarakat kita kini menghadapi cabaran besar pandemik COVID-19, ketika mana OKU menjadi antara golongan yang paling teruk terkesan dengan pelbagai kekangan yang dikenakan ke atas masyarakat, terutamanya daripada perspektif ekonomi dan pergerakan. Lebih merisaukan kalau kesusahan yang dihadapi mereka dilupakan ramai, dalam banyak isu yang perlu ditangani semua.

12.     Sebenarnya isu Orang Kurang Upaya ini perlu difahami bukan sahaja daripada perspektif kebajikan dan bantuan langsung, walaupun itu perlu. Masyarakat perlu dididik untuk melihat isu ini secara menyeluruh, merangkumi hak mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat, memberikan mereka kesamarataan dalam peluang dan aspirasi, memudahkan mereka dalam aksesibiliti baik secara fizikal maupun secara maknawi, agar mereka boleh hidup secara normal seperti orang lain dan dapat mandiri.

13.     Untuk itu, IKRAM merasakan isu OKU ini bukan hanya perlu dilihat sebagai tanggungjawab Jabatan Pembangunan OKU di dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi merentas bidang dan kementerian. Penyelarasan yang efektif bagi mengangkat isu OKU ini amat perlu dalam semua aspek kehidupan mereka, terutamanya merangkumi aspek-aspek Kesihatan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sumber Tenaga Manusia, Kerajaan Tempatan dan lain-lain lagi.

14.     Di beberapa negara maju, contohnya New Zealand, Ireland dan Perancis, terdapat seorang yang bertaraf menteri yang mengkoordinasi polisi negara bagi isu OKU ini, untuk meraikan hak mereka sebagai warganegara dan memudahcara kehidupan mereka agar menjadi normal. Ini merupakan suatu pendekatan yang amat progresif.

Para penonton yang dihormati,

15.     Kedudukan OKU di Malaysia juga boleh diangkat lebih tinggi lagi. Walaupun kita telah ada Akta Orang Kurang Upaya 2008, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022, masih terdapat banyak hambatan di dalam memberikan OKU hak dan kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat. Penguatkuasaan peruntukan-peruntukan yang telah digariskan perlu dijalankan dengan lebih bersungguh-sungguh.

16.     Untuk tujuan yang sama juga, sementelahkan kini Parlimen sedang membahaskan Bajet Negara 2022, IKRAM menyeru agar pihak Kerajaan melibatgandakan lagi peruntukan bagi isu OKU, bukan hanya dalam konteks bantuan kebajikan secara langsung, tetapi lebih penting untuk membantu memperkasakan (empower) mereka untuk menjalani kehidupan secara normal dengan sebaiknya.

17.     Ini termasuk peruntukan pembangunan bagi menambahbaik infrastruktur membantu aksesibiliti OKU di seluruh negara, program-program latihan dan peningkatan diri termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta kemahiran, bantuan alat keperluan OKU, serta sistem sokongan yang lebih efisien dan efektif dalam jentera pentadbiran.

18.     Selain daripada itu, mereka yang membantu OKU, seperti penjaga atau caregivers, sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat secara langsung dengan mereka hendaklah turut disokong dalam Bajet ini, kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak telah meringankan beban pihak Jabatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Sahabat-sahabat sekelian,

19.     Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif terlibat dalam isu-isu kemasyarakatan dan sentiasa peka serta prihatin terhadap apa yang dirasai oleh golongan rentan dalam masyarakat kita, IKRAM akan terus bersama mengangkat isu OKU ini melalui kerja-kerja advokasi, pendidikan masyarakat dan bantuan langsung untuk mereka. Penganjuran Bulan Orang Kurang Upaya sepanjang bulan Disember ini, termasuk Konvensyen Anjakan Paradigma 2021 pada 11 Disember ini, merupakan satu inisiatif IKRAM untuk tujuan tersebut. Sukacita saya sebutkan di sini juga bahawa sambutan ini disokong sepenuhnya oleh Majlis Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM).



20.     Adalah diharapkan dengan berlakunya program ini masyarakat akan lebih peka dan celik mengenai isu-isu OKU di seluruh pelusuk negara, dan bersama-sama meletakkan OKU sebagai warganegara yang akan turut menyumbang kepada masyarakat dan negara, selain diberikan bantuan yang sewajarnya.

21.     Akhir sekali, dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, saya dengan lafaz BismiLlahir-Rahmanir-Rahim melancarkan dengan rasminya Sambutan Bulan Orang Kurang Upaya anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama Yayasan Ikram Malaysia, dengan sokongan MAKPEM. Semoga Allah berkati dan semarakkan.

Wa biLlahi attawfiq wa alhidayah, wa assalamu ‘alaykum wa rahmatu Llahi wa barakatuh!

 

Ainullotfi bin Abdul Latif
Ketua,
Pasukan Petugas Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Thursday, September 16, 2021

Ke arah Malaysia yang lebih adil, peduli dan inklusif




Rukun Negara meletakkan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang terdapat perpaduan yang erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisinya dan membina satu masyarakat yang progresif.

Satu aspek yang penting yang perlu ada bagi menjamin pencapaian aspirasi ini adalah wujudnya suatu suasana kesamarataan peluang bagi semua anggota masyarakat untuk mencapai yang terbaik bagi diri mereka tanpa mengira latar belakang dan kekangan yang menimpa mereka.

Setiap anggota masyarakat berhak memperoleh suatu tahap minimum dalam mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan negara ini, dan sepatutnya tiada pihak dikesampingkan.

Dua daripada golongan yang paling kurang bernasib baik dalam masyarakat ialah mereka yang kurang mampu dari segi ekonomi seperti golongan fakir, miskin dan berpendapatan rendah, dan mereka yang kurang upaya dari segi fizikal dan mental seperti orang buta, pekak dan tuli, mereka yang cacat anggota dan mereka yang mengalami masalah seperti sindrom Down, autisme dan seumpamanya. Yang paling rentan ialah yang termasuk ke dalam kedua-dua kategori tersebut.

Sebuah masyarakat yang adil, demokratik dan progresif tidak akan meninggalkan mana-mana anggotanya dalam mengejar kemajuan. Ia akan sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang di antara yang bernasib baik dengan yang paling rentan bagi memastikan kesemuanya dapat bergerak sama ke hadapan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Malaysia meningkat daripada 5.6 peratus pada tahun 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara. Negeri-negeri dengan kadar kemiskinan yang tinggi ialah Sabah (25.3 peratus) dan Kelantan (21.2 peratus).

Dalam kalangan golongan yang kurang mampu, golongan miskin bandar ialah antara golongan yang paling terkesan apabila pandemik Covid-19 melanda, terutamanya mereka yang bergantung kepada upah harian. Perintah kawalan pergerakan yang dikenakan mengehadkan keupayaan mereka untuk menjana pendapatan bagi menyara diri dan keluarga.

Ramai yang terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan atau ihsan pihak lain, seperti yang diusahakan melalui kempen bendera putih dan usaha badan-badan kebajikan.

Statistik menunjukkan bahawa pandemik yang berlarutan selama setahun setengah telah menyebabkan bilangan mereka yang berada di bawah tahap kemiskinan meningkat mendadak, termasuk golongan M40 yang turun ke B40. Namun, tidak sewajarnya mereka perlu berterusan sebegini dan perlu diupayakan supaya dapat mandiri.

Selain daripada keadaan yang bertambah buruk semasa pandemik, antara isu-isu yang harus direnung oleh semua pihak dalam menangani isu miskin bandar ialah perumahan, pengangkutan atau mobiliti, dan pembangunan sosial termasuk pendidikan.

Golongan berpendapatan rendah seharusnya tidak ditolak keluar dari kawasan bandar raya atau ditempatkan dalam ghetto yang tidak kondusif untuk pembangunan sosial.

Suatu polisi perancangan bandar yang lebih ramah kepada golongan marhaen perlu diketengahkan, mengelakkan pusat bandar hanya menjadi tempat tumpuan golongan atasan dengan penempatan mewah sahaja. Bandar raya sepatutnya menjadi lebih inklusif dari segi kependudukannya.

Di samping perumahan mampu milik atau sewa, suasana kehidupan yang sesuai untuk perkembangan pemikiran dan pendidikan kanak-kanak golongan rentan perlu disediakan.

Kediaman yang sempit dan padat sepatutnya digantikan dengan kediaman yang dapat menjaga maruah atau harga diri penduduknya, serta menyediakan infrastruktur komuniti yang baik seperti ruang riadah dan bersosial, kemudahan pembelajaran dan kemudahan Internet.

Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pula, langkah yang lebih bersungguh-sungguh untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat seluruhnya perlu dilaksanakan. Ketidakupayaan mereka dalam sesuatu aspek tidak seharusnya menyekat mereka menyerlahkan bakat dan kecemerlangan mereka dalam aspek yang lain.

WHO menganggarkan bahawa 15 peratus manusia mengalami satu bentuk ketidakupayaan walaupun statistik rasmi menunjukkan hanya sebahagian kecil daripada ini didaftarkan, mungkin kerana mereka sendiri tidak mengenali ketidakupayaan mereka.

Dalam membantu golongan OKU, suatu yang selalu dilupakan ialah pandangan dan pemikiran mereka sendiri. YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi menegaskan hal ini dengan menyebut, “Tingkatkan penglibatan OKU dalam apa-apa hal yang melibatkan OKU. Nothing about us without us (tiada apa tentang kami tanpa kami).” Keprihatinan sahaja tidak cukup, tetapi perlu disalurkan agar dapat mencapai sasaran berdasarkan keperluan golongan OKU.

Salah satu daripada cadangan progresif untuk membantu golongan OKU ialah menaikkan kedudukan badan kerajaan yang menangani isu OKU yang kini dikendalikan oleh Jabatan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hakikatnya, isu OKU bukan hanya isu pemberian bantuan, tetapi juga merangkumi falsafah dan cara fikir menanggapi ketidakupayaan secara menyeluruh, apatah lagi isu ini melibatkan sebahagian yang agak besar dalam masyarakat.

Di beberapa negara maju seperti New Zealand, terdapat seorang menteri yang menyelaras isu-isu OKU merentas keseluruhan jentera kerajaan.

Dalam kita menyambut Hari Malaysia tahun ini, marilah kita anjakkan paradigma kita agar Malaysia yang kita bangunkan adalah Malaysia yang adil, peduli dan lebih inklusif, termasuk terhadap dua golongan yang yang selalu dilupakan ramai ini.

Semoga mereka tidak dicicirkan dalam arus pembangunan yang sering mengabaikan kepentingan dan penglibatan mereka.

Selamat Hari Malaysia!



Prof Madya Ainullotfi bin Abdul Latif Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Pasukan Petugas Agenda Nasional Masyarakat Progresif Pertubuhan IKRAM Malaysia

Dr Wan Najwa binti Wan Mohd Zohdi Ketua Unit OKU Yayasan Ikram Malaysia


Selamat Hari Malaysia kepada semua. 
Semoga Malaysia terus utuh dan padu, dan dirahmati Allah.