Syahid Imam Hasan al-Banna menyebut di dalam Kitab Usul 'Isyrin (Dua Puluh Perkara Pokok) karangannya bahawa:
"Kita tidak mengkafirkan seseorang Muslim berdasarkan pendapat atau maksiat yang dilakukannya, sedangkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadah dan melakukan tuntutan syahadahnya, iaitu dengan melakukan sesuatu yang telah difardhukan kepadanya, kecuali beliau berikrar dan mengakui kekufurannya, mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama, mendustakan lafaz dan pengertian al-Quran yang terang dan jelas, menafsirkan al-Qur'an dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran Bahasa Arab atau beliau melakukan perbuatan yang biasanya tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain daripada kekufuran."
Kebelakangan ini terlalu kerap kita mendengar segolongan manusia yang terlalu mudah mengkafirkan orang Islam lain, termasuk para 'ulama', yang tidak sefahaman dengan mereka. Perbuatan kafir-mengkafir ini begitu menjadi-jadi sehingga secara borong kumpulan-kumpulan umat Islam dituduh murtad atau kuffar, tanpa membawa bukti atau hujjah yang jelas dan betul. Yang ada hanya tohmahan dan fitnah yang bersandarkan andaian dan persepsi semata-mata.
Perbuatan mengkafirkan seseorang Muslim adalah sesuatu yang merbahaya. Ia boleh menimbulkan kacau-bilau dan perpecahan sesama umat Islam, di samping mencemar nama baik seseorang yang dituduh tersebut. Ia juga mempunyai implikasi undang-undang yang teramat berat.
Pada masa yang sama sebarang pertuduhan yang dilafazkan secara murah boleh sahaja mendatangkan kesan yang besar ke atas pengucapnya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Pertuduhan itu boleh memantul kepada diri yang menuduh, lalu menjadi tombak tajam yang akan menikam dirinya sendiri, sekiranya ia tidak cermat dan berhemat dalam mengeluarkan kata-katanya. Oleh itu, lafaz-lafaz sedemikian perlu dielakkan, dan dibuat hanya dalam keadaan yang sudah tiada selindungnya dan sudah jelas bagaikan mentari di siang hari.
Sebagai panduan untuk kita, Syahid Imam hasan al-Banna mengingatkan kita supaya jangan sekali-kali terjerumus ke dalam kancah kafir-mengkafir ini, walaupun berdepan dengan suatu maksiat yang jelas. Menurut Imam al-Banna, seseorang hanya boleh disebut sebagai kafir apabila tsabit salah-satu daripada lima perkara berikut:
- berikrar dan mengakui kekufurannya,
- mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama,
- mendustakan lafaz dan pengertian al-Qur'an yang terang dan jelas,
- menafsirkan al-Qur'an dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran Bahasa Arab, atau
- beliau melakukan perbuatan yang biasanya tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain daripada kekufuran
Dalam menangani kes-kes kegelinciran aqidah yang belum dapat dipastikan secara muktamad, adalah lebih selamat seseorang itu hanya menceritakan keadaan-keadaan yang boleh menjatuhkan kekufuran seseorang, daripada mengatakan ia telah kufur. Ini kerana, banyak daripada pertuduhan tersebut hanya merupakan andaian dan sangkaan sahaja, sedangkan yang dituduh tidakpun bersifat sedemikian.
Lebih utama lagi, seseorang hendaklah tahu dengan penuh keilmuan apakah ciri-ciri keislaman dan juga keimanan itu sendiri, dan apa pula ciri-ciri kekufuran dengan begitu tepat sekali, supaya tidak mengatakan sesuatu perbuatan itu kufur sedangkan ia tidak. Juga membedakan apa yang disebut sebagai keislaman dengan apa yang disebut sebagai keimanan, yakni keimanan ialah hakikatnya, sedangkan keislaman ialah zahirnya. Hakikat itu hanya dalam ilmu Allah s.w.t. secara muktamadnya, dan sesama manusia, kita hanya dapat apa yang zahirnya.
Sebagai contoh, RasuluLlah s.a.w. teramat mengenali orang-orang munafiq, yakni orang-orang yang melafazkan keimanan pada mulut mereka tetapi tidak menjiwainya di dalam hatinya, di kalangan mereka di sekelilingnya, tetapi tidak pernah mengisytiharkan kufur orangnya secara khusus walaupun sentiasa menyebut kekufuran sifat mereka. Apa yang nyata lagi, baginda tidak pernah mengambil tindakan ke atas mereka secara undang-undang, malah melayani mereka sebagai orang Islam juga dalam negara Islam Madinah.
Hanya apabila
seseorang itu melakukan salah satu daripada lima perkara di atas, maka
kita dapat mengetahui secara zahirnya kekufuran seseorang, dan boleh
menjatuhkan hukum kufur ke atasnya dengan selamat. Sebagai contoh, apabila ia secara terang dan jelas mengisytiharkan kemurtadannya, maka tentunya itu sukar untuk disangkal lagi oleh orang lain. Di dalam contoh yang lain, bagi kes yang kedua, ialah menolak wujudnya akhirat dan syurga serta neraka, atau menolak kewajiban solat lima fadhu waktu atau rukun Islam yang lima, atau menolak salah satu rukun iman yang enam secara sembrono, atau menolak pengharaman riba atau zina atau arak.
Apabila seseorang yang sujud kepada salib, atau kepada berhala, mencemari al-Qur'an dengan najis, mencerca Allah dan rasul-rasul-Nya, maka tentunya kita tidak dapat menafsirkan perbuatannya itu, melainkan dengan kekufuran jua. Begitu juga tidak sewajarnya seseorang mencaci atau merendah-rendahkan syari'at Islam itu sendiri, atau mengatakan Islam itu kolot atau ketinggalan zaman atau menghinanya dengan sifat-sifat yang buruk kerana hanya seorang yang terkeluar Islam sahaja yang sanggup berkata-kata sedemikian.
Namun dalam keadaan seterang itupun, kita tetap disuruh berjaga-jaga, kerana, adakah ia melakukannya dengan sukarela dan penuh kefahaman di atas apa yang dilafazkannya, atau adakah ia dipaksa atau terpaksa? Adakah ia sudah terkeliru, ataupun adakah ia dipengaruhi arak, atau madat, atau dilanda penyakit gila? Kita dituntut supaya terlebih mencari alasan di atas tindakannya dan cuba untuk memahami kenapa ia bersikap sedemikian.
Secara lazimnya, kita cuba mengelakkan diri daripada terlalu senang menjatuhkan hukum, tetapi lebih tenang untuk memberikan nasihat dan membetulkan keadaan serta menarik kembali seseorang yang tergelincir kepada keimanan. Adalah menjadi suatu yang pelik apabila seseorang pendakwah atau agamawan lebih cenderung untuk menolak seseorang yang sudah terbuai di tepi tebing kekufuran yang licin, agar ia terus terjatuh, dan bukannya untuk menghulurkan tangannya untuk menarik ia kembali ke pangkuan iman. Tidakkah selalu kita diperingatkan selalu bahawa "kita adalah pendakwah, bukannya penghukum"?
Sejauh manapun kita membenci perbuatannya, seorang Islam yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan seperti minum arak dan berzina, namun masih mengakui dan mengiktiraf asas-asas akidah Islam, tidak dikafirkan walaupun ia adalah seorang Muslim yang telah derhaka dan berdosa. Menjadi tanggungjawab kita untuk berdakwah kepadanya agar meninggalkan kederhakaannya itu, tetapi jangan sekali-kali pula kita beri kata-dua kepadanya yang seolah-olah menyuruh untuk bertaubat atau keluar sahaja daripada Islam, atau membuat insinuasi supaya membelakangkan Islam kiranya ia tetap dengan maksiatnya.
Berbalik kepada penyakit kafir-mengkafir tadi, perkara seserius ini seharusnya tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran lain, contohnya pertembungan kelompok (sehinggakan terlalu mudah untuk mengkufurkan kelompok lawan) ataupun perasaan tinggi diri ("aku lebih berilmu dan tahu, mereka orang jahil"). Sebaliknya terlebih baik kiranya diutamakan cuma memahami sebaik mungkin isu-isu yang berkaitan, supaya kita dapat elakkan salah faham, salah tafsir ataupun ketidaktepatan dalam menilai, contohnya menggunakan neraca yang salah.
Sebagai contohnya, katakan apabila seseorang hendak dikatakan telah kufur kerana melakukan sesuatu perkara yang tertentu atau berpegang dengan sesuatu pegangan yang tertentu, soalan-soalan berikut harus ditanya dulu:
Sebagai contohnya, katakan apabila seseorang hendak dikatakan telah kufur kerana melakukan sesuatu perkara yang tertentu atau berpegang dengan sesuatu pegangan yang tertentu, soalan-soalan berikut harus ditanya dulu:
- Adakah perkara yang dilakukan atau dipegang tersebut termasuk perkara yang boleh menjatuhkannya murtad? Ini boleh dirujukkan kepada lima perkara di atas tadi.
- Sekiranya ya, maka adakah benar itu yang dilakukannya atau dipegangnya, dan bukan hanya persepsi atau tanggapan atau salah faham semata-matanya? Cara yang terbaik untuk memahami ini ialah dengan menanya sendiri kepada yang empunya badan.
- Sekiranya betul juga, dilihat pula adakah itu dilakukan memang dengan sukarela dan kesedaran yang jelas, serta mengetahui akibatnya, bukannya secara tidak disedari atau dipaksa atau terpaksa.
Kalau ya, juga, sebelum kita berkejar untuk mengkafirkannya, tanya diri kita dahulu, apakah kita boleh lakukan sesuatu untuk betulkan keadaan dan untuk sedarkannya daripada kekeliruannya, dan apakah manfaatnya untuk kita isytiharkan kekufuran tersebut. Hanya apabila telah tertutup semua pintu untuk menyelamatkannya barulah kita layak untuk labelkan, dan itupun untuk maslahah yang lebih luas lagi untuk menyelamatkan umat yang lain, bukannya untuk score points bagi menonjolkan diri atau kelompok sendiri. Sesungguhnya kesilapan mengkafirkan seorang yang beriman adalah lebih merosakkan lagi daripada tidak mengkafirkan seorang yang telah kufur.
Kesemuanya ini menuntut jiwa yang tinggi dan berlapang dada, ilmu yang luas dan mendalam, aqal yang kritikal dan berpandangan jauh, bersih daripada penyakit hati seperti ujub dan takbur, serta mengnyahkan sifat benci dan dendam kesumat tanpa asas jauh daripada diri. Namun apabila sebaliknya berlaku, punahlah diri nanti dalam kesesatan yang hakiki di sebalik mengkufurkan orang lain, akan binasalah ummah lantarannya.
WaLlahu a'lam.
No comments:
Post a Comment