Wednesday, July 10, 2013

Mesir dan Cabaran Perjuangan Gerakan Islam

Kita kini sedang memerhatikan suatu keadaan yang amat getir di dalam fasa perjuangan Islam di seluruh dunia. Pada minggu ini sahaja tentunya ramai yang memerhatikan dengan penuh tumpuan dan kesabaran terhadap perkembangan yang berlaku di Mesir di mana suatu gerakan besar-besaran telah dijalankan oleh golongan anti-Islamis yang terdiri daripada golongan sekular-liberalis, pihak revolusioner kiri, dan puak-puak fulul saki-baki regim lama bagi menjatuhkan Presiden Muhammad Mursi yang telah dipilih secara sah dan telus sebagai Presiden demokratik yang pertama dalam sejarah negara tersebut, hanya setelah setahun beliau dipilih. 


Pada pagi Khamis 4 Julai 2013 kita bangun mendengar berita sedih bahawa beliau telah digulingkan oleh pihak tentera dalam satu coup d’etat, yang telah juga meletakkan Adli Mansour sebagai boneka mereka. Ini adalah lanjutan daripada tindakan-tindakan berpanjangan golongan anti-Islam ini sejak golongan Islamis mula memenangi pilihanraya Parlimen yang pertama setelah kejatuhan regim Mubarak dahulu lagi. Mereka tidak berhenti-henti mensabotaj pemerintahan yang dipimpin oleh Presiden Mursi dan Parti Kebebasan dan Keadilan (Hizb al-Hurriyah wa al-'Adalah) yang diasaskan oleh Ikhwan Muslimin. Kemuncak daripada usaha sabotaj ini mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran sempena setahun pemilihan Mursi pada 30 Jun 2013.

Kita melihat permainan kotor yang dimainkan oleh puak-puak yang sebenarnya telah kalah dalam pilihanraya umum Mesir cuba menggambarkan bahawa coup d’etat ini hanyalah penerusan Revolusi 25 Januari bagi menjatuhkan diktator, dan mendapat sokongan rakyat. Sebagai justifikasi bagi rampasan kuasa tersebut mereka mentohmahkan Presiden Mursi dan Ikhwan Muslimin sebagai telah gagal dalam pentadbirannya, dan hanya berminat untuk cuba membolot kuasa bagi diri mereka sahaja.

Hakikatnya sungguh berbeda daripada apa yang mereka paparkan.

Pertama, mereka mentohmahkan Presiden Mursi dan Ikhwan Muslimin sebagai telah gagal dalam pentadbirannya, dan hanya berminat untuk cuba membolot kuasa bagi diri mereka sahaja.

Nyatalah ini merupakan suatu penipuan dan pemalsuan fakta yang cukup ketara. Berhubung dengan isu inklusiviti dan diskriminasi, kita ketahui bahawa Ikhwan daripada awal lagi telah cuba bersungguh-sungguh untuk membawa pihak-pihak lain ke dalam pemerintahan, tetapi mereka sendiri yang menolaknya bulat-bulat. Kenapa? Kerana mereka memang sengaja mahukan ia gagal.

Kedua, mengenai krisis ekonomi, contohnya kekurangan bahan api. Tiba-tiba sahaja kini krisis tersebut lenyap... apakah maknanya? Sebenarnya ada pihak yang sengaja ujudkan krisis ini dengan menahan bekalan, agar rakyat marah. Kita kena ingat bahawa hampir semua pihak industrialis daripada pihak fulul dan Qibti, yang tiada kepentingan rakyat gembira di bawah Mursi. Selepas rampasan kuasa, Al-Ahram pula melaporkan bahawa kini bekalan elektrik Mesir berada dalam keadaan surplus (lebihan). Suatu yang amat menghairankan, berlaku secara tiba-tiba, setelah sebelumnya negara tersebut sentiasa dirundung black-out sahaja. Tidakkah jelas ada tangan-tangan gelap yang mendalangi semua krisis ini?

Ketiga, ini digembar-gemburkan juga oleh pihak media yang berat sebelah. Kita ketahui bahawa hampir kesemua media, termasuk media kerajaan, dikuasai oleh pihak yang sama (fulul dan Qibti), sehinggakan hampir tiada berita positif mengenai kejayaan Mursi dipaparkan saban hari. Malah ketika ini juga kita lihat hanya paparan sebelah pihak sahaja dikeluarkan iaitu menunjukkan demonstrasi di Medan Tahrir sahaja, sedangkan di Medan Rabi'atul-Adawiyah yang tidak kurang hebatnya disepikan.



Keempat, mengenai sokongan rakyat. Mereka cuba bayangkan bahawa mereka perolehi suara majoriti rakyat, tetapi perlu diingat bahawa yang berdemonstrasi hanyalah kelas menengah urban yang Westernised dan sekular, dengan didokongi oleh pihak fulul saki-baki regim lama. 

Ingatlah bahawa pihak Islamis telah berjaya di dalam setiap pilihanraya yang dijalankan setelah revolusi dan pihak yang menentang kalah kesemuanya. Dalam referendum Perlembagaan pada Disember 2012 ia menang dengan diluluskan oleh 64% daripada jumlah undi. Ukuran sebenar sokongan rakyat ialah pada kotak undi, bukannya di jalanraya.


Kelima, adakah kita percaya bahawa rampasan kuasa ini spontan? Sebaliknya kita yakin ia dibuat dengan persiapan yang memang rapi, termasuk tindakan militer. Dalam masa dua hari, mereka (militer) telah dapat cetak berpuluh ribu bendera kecil untuk ditebarkan daripada helikopter? Perhatian “pesta kemenangan” mereka... persiapan sebegitu secara spontan? Sebenarnya bukannya rakyat yang meminta tentera merampas kuasa seperti yang digambarkan, tetapi semuanya seolah-olah telah dikoreografkan (seperti kata Marwan Bishara dari Aljazeera) untuk tatapan media Barat, oleh pihak fulul yang masih menguasai tentera, mahkamah, birokrasi dan polis.
Kita bertanya, adakah pihak tentera yang merampas kuasa secara tidak sah berani berbuat sedemikian di atas inisiatif mereka sendiri sahaja? Apapun sandiwara yang cuba diketengahkan, beberapa urutan kejadian yang berlaku menunjukkan sebaliknya. 

Robert Scheer, menulis di dalam Huffington Post pada 9 Julai 2013, A Gift From the United States to Mideast Zealots, menyebut:
The Egyptian military would not have acted without at least the tacit approval of the U.S. government, and evidence is mounting that Secretary of State John Kerry and National Security Adviser Susan E. Rice were in on the plotting before President Mohamed Morsi was arrested. The bloodshed that has followed is on their hands, and lots of luck ever convincing Islamists anywhere of the value of free elections as opposed to violence as an enabler of change.
Malah sebelum itu lagi, David Kirkpatrick dan Mayy El Sheikh menulis dalam New York Times pada 6 Julai 2013, Morsi Spurned Deals, Seeing Military as Tamed menggambarkan campur tangan luar ini:
His top foreign policy adviser, Essam el-Haddad, then left the room to call the United States ambassador, Anne W. Patterson, to say that Mr. Morsi refused. When he returned, he said he had spoken to Susan E. Rice, the national security adviser, and that the military takeover was about to begin, senior aides said.
    “Mother just told us that we will stop playing in one hour,” an aide texted an associate, playing on a sarcastic Egyptian expression for the country’s Western patron, “Mother America.”
 
* * *
 
Setelah lebih 80 tahun gerakan Ikhwan Muslimin ditekan oleh saban pemimpin yang zalim dan menindas, berikutan angin perubahan yang melanda Timur Tengah beberapa tahun kebelakangan ini, gerakan Islam diletakkan di atas persada kuasa melalui kotak undi. Ini adalah fasa yang cukup berbeda daripada fasa sebelumnya, kerana secara luarannya gerakan Islam dilihat sebagai mempunyai the trappings of power – suatu yang berbeda daripada sebelumnya apabila mereka keluar masuk penjara. Namun keadaan itu adalah suatu keadaan yang agak precarious, memerlukan pengimbangan yang teliti, kerana kuasa yang diletakkan ke atas pundak mereka bukanlah secara total, tetapi bergantung kepada berbagai faktor yang penuh ketidakstabilan dan ketidakpastian.

Di Mesir mereka harus berdepan dengan realpolitik kepelbagaian dalam masyarakat, daripada pihak Salafi simplistik yang menuntut agar Islam dilaksanakan sepenuhnya tanpa kompromi, kepada golongan sekular-liberal yang menolak Islam sepenuhnya dengan penuh kesumat dan benci, kepada golongan fulul saki-baki Mubarak yang sentiasa mencari peluang untuk kembali, kepada pihak tentera yang sentiasa mengancam. Pada masa yang sama, rakyat mengimpikan perubahan yang mendadak, seolah-olah jatuhnya regim Mubarak langsung menjanjikan syurga dunia bagi mereka. Mengimbangi segala semua ini bagaikan menjunjung telur di hujung tanduk, kalanya suatu yang seolah-olah mustahil.


Keadaan di Turki juga membayangkan sentimen yang serupa: apa sahaja yang berbau Islam akan terus dicurigai, walaupun nisbahnya seolah-olah begitu cair sekali dalam kontek AKP yang kini memerintah di sana.  Protes-protes dilaungkan, hatta bagi sebab-sebab yang remeh-temeh, bukan sangat kerana apa yang dizahirkan, tetapi lantaran sikap dan perasaan mereka terhadap puak Islamis.

Ini berlaku dilatarbelakangkan oleh lapan tahun pemerintahan AKP di bawah kepemimpinan Erdogan yang cukup cemerlang, yang telah dalam masa yang cukup singkat merubah keadaan di Turki daripada sebuah negara yang bankrup di bawah golongan ultra-sekular sebelumnya kepada sebuah kuasa ekonomi besar Eropah, dengan kadar perkembangan fizikal yang tiada tolok bandingnya ketika ini di masa Eropah sendiri diancam kemelesetan ekonomi dan kejatuhan Euro. Lihatlah, betapa GDPnya digandakan tiga kali dalam masa yang singkat itu, bilangan sekolah ditambah sekali ganda, dan taraf hidup rakyat menaik secara signifikan, di samping juga kembalinya Turki kepada warisan Islamnya setelah berdekad-dekad di bawah lembayung kekufuran yang dipelopori oleh Ataturk.

Suasana di Syria pula kini menjadi semakin tidak menentu. Pemerintahan kuku besi Assad daripada golongan Nusayri kufur minoriti semakin terdesak dan mengganas, dengan kini dibantu pula oleh tentera Syi’ah Hizbullah (hakikatnya Hizbu asy-Syaythan) dari Lubnan. Keadaan ini mengancam untuk menggelungsurkan kawasan Bilad asy-Syam tersebut ke dalam semarak api peperangan yang semakin tidak terkawal. 

Walaupun EU telah mengangkat sekatan senjata kepada pejuang Syria, namun penghantaran masih dinanti-nantikan. Pada masa yang sama, kita perhatikan pelbagai jenis penentangan terhadap Assad muncul, daripada yang penuh disiplin dan menjunjung prinsip-prinsip pertengahan dan kesederhanaan Islam, kepada golongan fringe (pinggiran) a la al-Qaidah yang bertindak melampau dan memberikan nama buruk kepada perjuangan tersebut dan Islam sendiri.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di tempat-tempat lain, termasuk di Nusantara ini seperti apa yang berlaku terhadap Dr Luthfi Hassan Ishak, mantan Presiden PKS, di Indonesia, juga harus direnungi oleh gerakan Islam sebaiknya, agar mengambil iktibar yang betul supaya dapat mempersiapkan diri sebaiknya.

Kesemua ini meletakkan gerakan Islam di atas persimpangan. Kejadian-kejadian seperti ini, daripada Algeria, Palestin, Turki, dan kini Mesir menyebabkan ramai yang merenungkan, adakah demokrasi ini hanya berguna sekiranya ia meminggirkan gerakan Islam, tetapi boleh diabaikan sekira ia hasilkan keputusan yang “salah”?

Malah ada juga beberapa sektor daripada gerakan Islam terutamanya daripada kalangan jihadis yang telah awal-awal lagi menolak penglibatan dalam sistem demokrasi Barat yang telah mencemuh Ikhwan dan gerakan-gerakan sefikrahnya seluruh dunia, “I told you so”! 

Namun reaksi yang ditunjukkan oleh Ikhwan jelas, bahawa mereka akan tetap istiqamah dengan berjuang di jalan aman dan menolak keganasan yang telah membunuh ribuan. Kita diperingatkan bahawa prinsip ini, menolak jalan keganasan, prinsip non-violence, sebenarnya sememangnya satu yang dipegang oleh Ikhwan telah berdekad secara konsisten. Penentangan melawan pendudukan luar seperti di Palestin, atau dipaksakan ke atas mereka oleh golongan kuffar seperti di Syria, adalah pengecualian (exceptions) bukannya rule.

* * *

Daripada perkembangan-perkembangan ini Gerakan Islam harus merenung beberapa noktah penting berikut yang boleh diambilkira dalam perancangannya:

  1. Kejayaan politik semata-mata tidak cukup. Gerakan Islam perlu hadir dalam segenap penjuru masyarakat dan negara. Keadaan di Mesir di mana mereka memenangi tampuk Presiden, tetapi harus berdepan dengan semua pihak lain, daripada kehakiman, polis, tentera, industrialis dan sebagainya menjadikan kedudukan Presiden menjadi sempit dan terkepung.
  2. Berada di atas kebenaran semata-mata tidak cukup. Rakyat dan masyarakat harus dapat mengiktiraf gerakan Islam itu berada di atas kebenaran. Kita juga harus dapat merasai nadi masyarakat, supaya mereka dapat kita santuni sebaiknya dengan cara yang sebaiknya.
  3. Engagement – membina jaringan yang luas, mencari kawan dan mengurangkan lawan, walau siapapun mereka. Kita tidak perlu orang lain semuanya menyokong kita, tetapi kita harus berusaha agar mereka tidak menentang kita sekiranya mereka tidak bersetuju dengan kita.
  4. Media – gerakan Islam yang betul dan baik tidak cukup, kalau masyarakat tidak mengetahuinya. Harus ada strategi yang mantap untuk memanfaatkan media sepenuhnya, agar pendirian sebenar gerakan Islam, pencapaiannya, perkhidmatannya diwar-warkan.
  5. Qudwah dan model – kejayaan AKP di Turki banyak bergantung kepada track-record mereka sebelum ini, ketika Erdogan menjadi Datuk Bandar di Istanbul, dan berjaya menyelesaikan masalah kehidupan rakyat di sana dengan cemerlang. Mereka membina tsiqah, kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan mereka, apabila rakyat langsung merasai dan mengecapi kecekapan pentadbiran Erdogan terutamanya dalam bidang ekonomi.
  6. Jangan salahkan musuh, tetapi atasilah makar mereka dengan pintar – strategi gerakan Islam tidak sepatutnya berpusar di sekitar menyalahkan musuh di atas kegagalannya atau kesukarannya. Kerja musuh sememangnya untuk menghancur dan menggagalkan kita, jadi kita tak sepatutnya komplen atau merintih mengenainya.
  7. Ketelusan dan keterbukaan amat penting, dan elakkan sifat pertubuhan rahsia yang memberikan persepsi negatif terhadap gerakan Islam.
Apapun, akhirnya kesemua yang dialami oleh gerakan Islam dalam perjuangannya hanyalah merupakan ujian dan cobaan semata-mata, sepertimana para Rasul dan Nabi sebelum mereka telah diuji. Mereka seharusnya beristiqamah di atas perjuangan, tidak melencong daripadanya, dan tetap mengharapkan keridhaan Allah semata-mata sebagai matlamat akhirnya.

Ainullotfi al-Fikri
Skudai
7 Julai 2013