Dalam dua hari ini berturut-turut, berlaku dua kemalangan yang melibatkan treler berat di negara ini, melibatkan banyak kenderaan dan kematian. Beberapa bulan lepas, kita dikejutkan dengan kejadian yang melibatkan treler juga, menyebabkan kematian lima orang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Perak.
Dalam kejadian terbaharu yang pertama di Lebuhraya Plus di Perak, empat orang sekeluarga terkorban semalam (Rabu 13 Julai) apabila kereta mereka dirempuh dan dihimpit treler dalam kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan.
Sementara itu, seorang wanita terkorban dan beberapa orang lagi, termasuk seorang bayi, telah cedera akibat sebuah treler terbalik di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di Pasir Putih, Kelantan, hari ini (Khamis 14 Julai) dalam satu kemalangan yang membabitkan 29 kenderaan (termasuk 21 basikal).
Walaupun perincian kes-kes terakhir ini belum muktamad lagi, namun laporan kejadian menunjuk kepada treler sebagai penyebab kedua-duanya (dan banyak lagi kejadian lain sebelum ini). Lantaran saiz kenderaan-kenderaan ini yang besar dan berat, kerosakan yang terhasil nyata teruk dan melibatkan banyak mangsa.
Dalam banyak kejadian sebelum ini, antara sebab yang ketara jatuh kepada dua. Yang pertama, faktor manusia iaitu pemandu treler yang tidak dapat mengawal kenderaan lantaran di bawah pengaruh arak atau dadah, atau mengantuk dan tidak berhemah dalam memandu. Yang kedua, faktor kenderaan yang tidak dapat dikawal, contohnya brek yang rosak, lantaran ketiadaan penyelenggaraan yang sewajarnya.
Sampai bilakah gejala sebegini harus berterusan? Siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk memastikan kejadian yang menyebabkan begitu ramai warganegara ini maut berhenti dan tidak berulang lagi?
Atau adakah insiden-insiden ini hanya akan menjadi statistik, sehingga masyarakat keseluruhannya menjadi lali, dan kematian yang berlaku dinormalisasikan sebagai rencah kehidupan semata-mata?
Sayogialah semua pemegang taruh yang berkait dengan isu ini - baik penyelenggara dan pemegang konsesi jalan dan lebuhraya, JPJ, Puspakom, PDRM, pemilik-pemilik kenderaan berat perdagangan, serta semua kementerian dan pihak berkuasa yang berkaitan - memandang serius permasalahan ini dan mencari jalan segera bagi mengatasinya.
Secara amnya, Malaysia ini tiada masalah dasar atau undang-undang, sebaliknya yang perlu diperkemaskan lagi ialah bab penguatkuasaan. Pihak-pihak berwajib yang berkait dengan setiap cabang penguatkuasaan dalam isu ini, seharusnya lebih bersungguh menjalankan tanggungjawab mereka, dan menjalankannya dengan penuh amanah, baik dari segi memastikan pemandu yang sentiasa cergas, berhemah dan layak untuk mengendalikan kenderaan, maupun dalam memastikan kelayakan kenderaan (roadworthiness) sentiasa terjamin.
Walaupun satu nyawa lagi yang hilang di masa akan datang, ia adalah satu kematian lebih daripada sepatutnya dan tidak wajar dikesampingkan apapun dalihnya.
#BinaNegaraRahmah
#MasyarakatProgresif
#MasyarakatYangSejahteraSelamatdanSihat
#KeselamatanJalanRaya