Thursday, July 30, 2015

Ibrah Kisah Sayyidina 'Umar r.a.



Khalifah ‘Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian, kemudian beliau naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai manusia, dengarlah!”
Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.”
Lantas ‘Umar bertanya: “Kenapa, wahai Salman?”
Salman menjawab: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Yakni, kerana tubuh ‘Umar yang besar, tidak dapat ditutupi oleh sehelai kain sahaja.
‘Umar membalas: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.” Lalu ‘Umar memanggil anaknya ‘Abdullah, seraya berkata: “Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku?”
‘Abdullah menjawab: “Ya!”
Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.”
----
1. Salman al-Farisi r.a. tetap menyoal Sayyidina 'Umar r.a. mengenai sesuatu yang ia ada keraguan, serta tidak menyimpannya atau "berbaik sangka" terhadap Khalifah, kerana ia melibatkan hak negara.
2. Sahabat-sahabat lain tidak menyanggah Salman daripada menyoal, atau cuba mempertahankan Sayyidina 'Umar serta-merta sebelum keadaan dijelaskan.
3. Para Sahabat tidak menganggap Salman telah kurang ajar kerana menyoal seorang sahabat rapat RasuluLlah dan seorang yang telah dijanjikan syurga, dan jauh sekali daripada menyerangnya atau memaki-hamunnya atau menyifatkannya dengan label-label yang buruk.
4. Sayyidina 'Umar r.a. tidak menggertak atau menangkap atau memecat Salman r.a. kerana menanya satu soalan, malah menangani soalan itu dengan baik, dengan menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
5. Lantaran daripada penjelasan yang diberikan, oleh kerana Sayyidina 'Umar telus dan jelas tidak mengkhianati amanah semuanya telah diterima baik oleh para Sahabat, dan tiada krisis berlaku.
6. Sayyidina 'Umar tidak merasa tercalar daripada insiden ini, dan tidak berdendam kepada Salman kerana mempersoalkannya.
7. Sayyidina 'Umar dapat bertindak sedemikian dengan tenang dan tanpa kerisauan kerana beliau seorang yang memang dikenali sebagai penuh amanah, bertanggungjawab dan amat cemburu terhadap sekecil-kecil penyelewengan sekalipun. Sekiranya beliau tiada kualiti sedemikian, tentunya ia akan teragak-agak untuk menjawab dengan baik, malah mungkin akan bertindak dengan keras terhadap Salman, atau ia mungkin terpaksa memberikan jawapan yang berbelit-belit yang tentunya sukar untuk meyakinkan para Sahabat lain dan seluruh rakyat negara Islam ketika itu. Ini akan pastinya menimbulkan suatu krisis keyakinan terhadap Khalifah.