Thursday, July 30, 2015

Ibrah Kisah Sayyidina 'Umar r.a.



Khalifah ‘Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian, kemudian beliau naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai manusia, dengarlah!”
Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.”
Lantas ‘Umar bertanya: “Kenapa, wahai Salman?”
Salman menjawab: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Yakni, kerana tubuh ‘Umar yang besar, tidak dapat ditutupi oleh sehelai kain sahaja.
‘Umar membalas: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.” Lalu ‘Umar memanggil anaknya ‘Abdullah, seraya berkata: “Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku?”
‘Abdullah menjawab: “Ya!”
Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.”
----
1. Salman al-Farisi r.a. tetap menyoal Sayyidina 'Umar r.a. mengenai sesuatu yang ia ada keraguan, serta tidak menyimpannya atau "berbaik sangka" terhadap Khalifah, kerana ia melibatkan hak negara.
2. Sahabat-sahabat lain tidak menyanggah Salman daripada menyoal, atau cuba mempertahankan Sayyidina 'Umar serta-merta sebelum keadaan dijelaskan.
3. Para Sahabat tidak menganggap Salman telah kurang ajar kerana menyoal seorang sahabat rapat RasuluLlah dan seorang yang telah dijanjikan syurga, dan jauh sekali daripada menyerangnya atau memaki-hamunnya atau menyifatkannya dengan label-label yang buruk.
4. Sayyidina 'Umar r.a. tidak menggertak atau menangkap atau memecat Salman r.a. kerana menanya satu soalan, malah menangani soalan itu dengan baik, dengan menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
5. Lantaran daripada penjelasan yang diberikan, oleh kerana Sayyidina 'Umar telus dan jelas tidak mengkhianati amanah semuanya telah diterima baik oleh para Sahabat, dan tiada krisis berlaku.
6. Sayyidina 'Umar tidak merasa tercalar daripada insiden ini, dan tidak berdendam kepada Salman kerana mempersoalkannya.
7. Sayyidina 'Umar dapat bertindak sedemikian dengan tenang dan tanpa kerisauan kerana beliau seorang yang memang dikenali sebagai penuh amanah, bertanggungjawab dan amat cemburu terhadap sekecil-kecil penyelewengan sekalipun. Sekiranya beliau tiada kualiti sedemikian, tentunya ia akan teragak-agak untuk menjawab dengan baik, malah mungkin akan bertindak dengan keras terhadap Salman, atau ia mungkin terpaksa memberikan jawapan yang berbelit-belit yang tentunya sukar untuk meyakinkan para Sahabat lain dan seluruh rakyat negara Islam ketika itu. Ini akan pastinya menimbulkan suatu krisis keyakinan terhadap Khalifah.

Friday, January 16, 2015

Membela Islam dan Berlaku Adil



Antara kekuatan Islam yang terampuh ialah keadilannya. Allah memerintahkan di dalam al-Qur'an agar kita sentiasa berlaku adil, walau ke atas diri kita sendiri atau kaum keluarga kita.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan."
[an-Nisa 4:135]

Berlaku adil adalah satu amal yang hakiki yang dituntut.

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."
[an-Nahl 16:90]

Keadilan adalah tunggak Risalah Islam, seperti yang disebutkan oleh Ruba'i bin 'Amir apabila berdepan dengan Rustam Panglima Parsi sebelum Perang Qadisiah:

"Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan diri kepada Allah, dariada kesempitan dunia kepada kelapangannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia kepadanya..."

Sejarah telah membuktikan bahawa apabila umat Islam berlaku adil, maka Islam akan terbela dengan sendirinya. Manusia akan tertarik dengan Islam, dan pintu dakwah akan terbuka luas lantaran.

Sebaliknya apabila umat Islam tidak berlaku adil, Islam juga akan terpalit. Kita tidak boleh mendabik dada kononnya membela Islam, kiranya kita melampaui batas syara' dalam melakukannya. Kita tidak daat mempertahankan Islam, sekiranya kita dirundung emosi semata-mata. Allah juga perintahkan supaya kita tetap berlaku adil dan jangan sesekali mengelabui kebenaran dan keadilan itu lantaran kebencian kita terhadap sesuatu kumpulan manusia.

“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[al-Ma`idah 5:8]

Kita tidak akan dapat membela Islam apabila kita mengenepikan keadilan dan pertimbangan yang objektif dalam menghukum manusia. Lebih teruk lagi, apabila itu berlaku, kita sebenarnya telah menzalimi Islam, apabila manusia membenci Islam lantaran tindakan melampau kita. Pembelaan terhadap Islam mustahil dapat berlaku melalui tindakan munkar yang bercanggah dengan syara' itu sendiri.