Thursday, November 26, 2009

Mengenai Tauliah dan Penyebaran Ilmu Islam

Assalamu ‘alaykum wr wb!

(1) Saya juga terpanggil untuk turut sama dalam perbincangan kita mengenai tauliah ini, di samping sama-sama menyemarakkan forum MasjidTSPP yang telah kian lama sepi.

(2) Kalau kita lihat sejarahnya, asal-usul sistem pentauliahan ini sebenarnya sudah begitu lama dipraktikkan, sehingga mungkin ada yang telah lupa rasionalnya, termasuk yang menguatkuasakannya. Kalau kita di zaman silam (kira-kira 40-50 tahun lampau) suasana keilmuan di tanahair ini tidaklah semeriah kini. Tidak ramai orang yang mempunyai penguasaan ilmu yang tinggi, dan ramai yang berilmu pula memperoleh ilmu melalui sistem pondok, yang tiada pengijazahan secara sistematik dan pengiktirafan universal. Dalam sesuatu masyarakat, yang lebih sedikit ilmunya ialah tok-tok imam dan tok-tok lebai kampung yang mungkin belajar secara talaqqi atau berguru secara peribadi atau secara mengikuti kuliah-kuliah perguruan di masjid-masjid oleh guru-guru yang datang dari luar, mungkin setiap minggu atau bulan.

(3) Dalam keadaan sedemikian, memandangkan keperluannya ilmu Islam disebarkan oleh mereka yang ada sedikit kelebihan ilmu, maka sistem pentauliahan diadakan, agar memberikan suatu pengiktirafan secara ad-hoc kepada mereka yang berkeinginan dan berkemampuan untuk mengajar ilmu Islam kepada masyarakat, terutamanya ilmu-ilmu asas yang mudah-mudah. Ini bermakna, seseorang tidak perlu berguru tinggi untuk mengajar, malah sudah cukup kalau mempunyai ilmu yang seadanya sekadar untuk mengajar mengajar masyarakat mengenai asas-asas Islam, untuk mendapat tauliah berkenaan. Tauliah itu bagai menggantikan sijil rasmi daripada institusi perguruan, agar dengannya Islam dapat berkembang dan kefahaman masyarakat dapat dipertingkatkan.

(4) Lantaran itu, nyatalah sistem pentauliahan ini ketika itu sebenarnya melonggarkan dan merupakan suatu usaha “liberalisasi” dalam konteks menyemarakkan budaya ilmu dan meningkatkan tahap keilmuan di kampung-kampung dan di desa-desa, di mana ustaz-ustaz yang berkelayakan formal sangat kurang.

(5) Setelah berlalu berpuluh tahun, dengan peningkatan yang bersangatan pada tahap keilmuan masyarakat, dan bertambahnya golongan cerdik-pandai terutamanya dalam bidang agama, sistem yang asalnya sifatnya “melonggarkan” dan meluaskan budaya ilmu itu, terus dipakai tanpa penaiktarafan dan pengkemaskinian untuk membayangkan suasana masyarakat semasa. Ustaz-ustaz dan ilmuan-ilmuan yang lulus daripada universiti-universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi yang diiktiraf dari seluruh dunia (termasuk juga tempatan) kembali ke tanah air berbondong-bondong, dengan penuh pengharapan untuk mengongsikan ilmu mereka dengan masyarakat. Mereka bukan sahaja kembali dengan ijazah pertama (Bachelor) malah ada yang kembali dengan ijazah lanjutan seperti Master dan PhD.

(6) Namun mereka terpaksa pula berdepan dengan sistem pentauliahan yang diwarisi dari zaman lampau tatkala suasana masyarakat cukup berbeda. Kalau dulunya sistem pentauliahan itu “melonggarkan”, kali ini sistem tersebut dalam bentuknya yang asal telah menjadi suatu “kekangan” yang menyempitkan pula. Lebih menghairankan apabila mereka kembali dengan pengiktirafan tinggi daripada gedung-gedung ilmu tersohor dan terkemuka dalam dunia Islam, namun terpaksa “disahkan kembali” apabila kembali ke negeri masing-masing. Lebih janggal sekali, kadangkala “pengesahan” ini dilaksanakan oleh mereka yang lebih rendah taraf keilmuannya daripada mereka sendiri.

(7) Antara hujjah yang digunakan bagi mempertahankan sistem tauliah ini ialah untuk mengelakkan daripada tersebarnya ajaran sesat. Sebenarnya rasional sebeginilah juga yang menyelubung cara pemikiran birokratik yang meluas di negara ini, baik dalam bidang agama maupun dalam bidang lain. Contohnya, kalau dalam pejabat kerajaan, terlalu tinggi kemelut “red-tape”nya, lantaran hujjah untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Begitu juga di universiti: para pensyarah dan penyelidik mungkin biasa dengan bermacam-macam kerenah birokrasi untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya “straight-forward”. Pokoknya, untuk mengelakkan kesulitan yang dikatakan akan didatangkan oleh mungin 1% orang yang bermasalah, maka kesannya 99% mereka yang ikhlas dan melakukan sesuatu dengan baik dan mengikut peraturan dipersusahkan dan “dianiaya”. Namun di sebalik kemelut “red-tape” dan undang-undang yang menyukarkan itu, pihak yang 1% tetap juga melakukan apa yang mereka hendak lakukan.

(8) Sepatutnya, penguatkuasaan ditujukan kepada 1% yang bersalah itu, dan sistem mempermudahkan bagi yang 99% selebihnya yang “baik”. Kalau ada yang sesat, tangkap dan adili mereka, dengan membawa hujjah-hujjah sekali. Tetapi mungkin lantaran berleluasanya “budaya malas”, yakni malas membuat kerja lebih untuk membuktikan kesesatan/salahlaku/penyelewengan dsb, jalan pintas inilah yang diambil.

(9) Di sebalik itu juga, penerusan sistem ini dilinciri dengan budaya pemusatan kuasa di tangan sedikit untuk menguasai golongan ramai. Ini cukup berguna untuk mengkesampingkan musuh-musuh politik daripada akses kepada rakyat umum. Dengan kuasa yang tidak boleh dipertikaikan itu, pintu-pintu kepada masyarakat untuk mereka yang mempunyai pemikiran dan pandangan yang sedikit berbeda boleh terus ditutup, walaupun tidak semestinya didasarkan kepada nas ataupun an-Nahjus-sohih. Ini tentunya sudah lari daripada tujuan asal sistem pentauliahan tersebut.

(10) Selesaian yang sebaiknya ialah memberikan liberalisasi penyampaian ilmu kepada semua yang layak, dan mengekang mereka yang terbukti menyeleweng, bukannya sebaliknya (yakni, mengekang semua, melainkan berpuashati “tidak menyeleweng”). Oleh itu, mereka yang telah terbukti layak lantaran ijazah dan kelulusan daripada institusi yang diiktiraf sepatutnya dibenarkan secara automatik, melainkan kemudiannya didapati menyeleweng (dengan hujjah); dan mereka yang tiada kelayakan formal bolehlah mendapatkan kebenaran dengan membuktikan tahap kelimuannya dengan temuduga tauliah. Dengan itu, ilmu Islam dapat dikembangkan dengan lebih pesat lagi dan kesannya, masyarakat akan menjadi lebih dinamik dan mendalam ilmunya, bukannya jumud dan jahil.

(11) Ini juga bersesuaian dengan suruhan dalam Hadits RasuluLlah s.a.w. agar “ballighu ‘anniy walau aayah” – “sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”. Setiap orang akan berusaha memainkan peranannya untuk menyebarkan dan menegakkan Islam dan membincangkannya dalam masyarakat secara terbuka tanpa kekangan undang-undang, asalkan mengikut lunas-lunas adab ilmu yang digariskan Islam sendiri.

WaLlahu a’lam. Wassalam.

Ainullotfi al-Fikri al-Lamburi

(dikirim ke milis MasjidTSPP, 17 November 2009)

Salam 'Idul-Adha!

'Idul-Adha Dalam Perspektif
Dalam beberapa minit lagi 'Idul-Adhha akan tiba. Di dalam syari'at Islam, 'Idul-Adhha merupakan hari perayaan yang paling utama. Namun kemeriahan itu tidak dirasai di Malaysia, kecuali di Pantai Timur. Umat Islam lebih menantikan 'Idul-Fitri, menyambut dengan penuh razzamatazznya, malah berlebih-lebihan merayakannya sehinggakan sebulan pula, sedangkan 'Idul-Adhha sepi - cutipun hanya sehari sahaja.

Mungkinkah kerana pengaruh komersial dan media yang salah letak tempat, sehinggakan ramai yang tidak sedar kepentingan 'Idul-Adhha itu, lalu dianggap sebagai Hari Raya sampingan?

Kalaulah syi'ar bertakbir dijadikan ukuran, semasa 'Idul-Adhha kita disyari'atkan bertakbir selama empat hari setengah, iaitu daripada selepas solat Subuh pada hari Arafah sehari sebelum 'Idul-Adhha itu sendiri, sehingga terbenam matahari hari Tasyrik ketiga. Di dalam keempat-empat hari ini ibadah Qurban dilaksanakan. Pada hari-hari ini jugalah ibadah Haji disempurnakan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.

Sebaliknya, untuk 'Idul-Fitri, kita cuma disyari'atkan bertakbir lebih sedikit daripada separuh hari, iaitu sehingga dimulakan solat Hari Raya. Tentunya ini sudah cukup menjadi ukuran bagi mereka yang menilai.

Namun di sebalik itu, 'Idul-Fitri dikaitkan dengan ibadah puasa sebulan Ramadhan, yang disertakan dengan Tarawih di malam-malamnya. Sebulan berpuasa menahan diri, telah menjadi suatu "penyebab" sektor komersial "mengapi-apikan" ummah untuk merayakan sepenuhnya 'Idul-Fitri, seolah-olah sebagai balasan yang berpatutan di atas menjalani kesukaran berpuasa tersebut. Bagi 'Idul-Adhha, tiada "penyebab" yang nyata untuk itu.

Mungkin dari suatu perspektif, ini ada baiknya, kerana lantaran itu 'Idul-Adhha bebas daripada gejala-gejala yang negatif yang dikaitkan dengan musim perayaan. Tumpuan penuh dapat diberikan kepadanya sesuai dengan sifatnya sebagai perayaan keagamaan, dan suatu ibadah kepada ALlah s.w.t. jua. Namun, pada masa yang sama, masyarakat perlu disedarkan mengenai peri utamanya 'Idul-Adhha dalam Islam, dan memberikannya tempatnya yang sesuai.

Selamat berbuka puasa (Puasa Hari 'Arafah), dan Selamat Menyambut 'Idul-Adhha, iaitu 'Idul-Akbar! Semoga ALlah menerima semua 'amal 'ibadah kita, dan memberikan keberkatan dalam hidup kita.


Salam 'Idul-Adhha daripada kami sekeluarga,

Ainullotfi bin Abdul Latif - al-Fikri al-Lamburi
Murniati binti Mustafa
'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi, Muhaini binti Mahusin,
. dan Mus'ab bin 'Umayr Sayfurrahman
'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi
'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi
Ruqayyah Nuruliman binti Ainullotfi
Fathimah 'Azzahra' binti Ainullotfi
Zaynab Almardiyyah binti Ainullotfi