Thursday, April 23, 2020

Rayuan Ramadan 1441H/2020 Dilancarkan



Yang Berbahagia Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Assalamu 'alaykum wa rahmatuLlahi wa barakatuh!

RAMADHAN RAHMAH, PRIHATIN UMMAH

Semoga Dato’/Datin/Tuan/Puan sentiasa berada dalam kesejahteraan Allah s.w.t.

AlhamduliLlah kita kini sekali lagi berada di ambang bulan Ramadan al-Mubarak yang sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia. Inilah bulan yang kita rindu untuk beribadah dan beramal di dalamnya, yang pahalanya Allah lipat-gandakan.

Namun bulan Ramadan kali ini bukanlah kita sambut seperti biasa. Ketika ini seluruh dunia diserang wabak Covid-19 yang belum kelihatan penghujungnya, yang lantaran daripada itu kita di tanahair terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dikenakan selama 42 hari (setakat ini).

Dengan ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak ini, sekali lagi kami di Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu) melancarkan Kempen Rayuan Ramadan yang telah dimulakan sejak tahun 1999 lagi, bagi mengisi tabung untuk kerja-kerja kebajikan membantu mereka yang kurang bernasib baik, termasuk fakir, miskin, ibu tunggal, anak yatim, gelandangan, OKU dan golongan yang memerlukan, di seluruh negara, baik untuk membantu mereka menghadapi bulan Ramadan ini maupun sepanjang tahun. Setakat ini lebih daripada 750,000 orang telah menerima manfaat daripada program ini selama 21 tahun ia dilaksanakan.

Krisis wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP kali ini semakin meruncingkan keadaan bagi golongan yang tidak bernasib baik ini, malah menambahkan bilangan mereka yang memerlukan bantuan. Statistik daripada Jabatan Perangkaan menyebut bahawa 52.6% rakyat kini “sangat terkesan” dari segi kewangan, dan 46.6% mereka yang bekerja sendiri hilang pekerjaan (dan sumber pendapatan) lantaran krisis ini. Ini termasuk mereka yang bergaji harian, peniaga kecil dan mereka yang “kais pagi makan pagi”.

Dengan berbekalkan rasa keprihatinan ini, Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu) sekali lagi mengajak semua anggota masyarakat untuk berkongsi rezeki dan berganding bahu bagi membantu mereka yang lebih memerlukan tersebut melalui Program Rayuan Ramadhan ini. yang bertujuan mengumpul dana bagi bantuan makanan, pendidikan dan infrastruktur kepada golongan yang lebih memerlukan, sesuai dengan hadis RasuluLlah s.a.w.:

"Bandingan orang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat menguatkan antara satu sama lain."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

"Barangsiapa memberi makan pada orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahalanya."
[Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi]

Sepertimana yang kita fahami, di bulan Ramadhan, setiap amal ibadah akan dilipatgandakan pahalanya termasuklah ibadah sedekah. Rasulullah s.a.w. sendiri memberikan tauladan yang jelas apabila baginda meningkatkan sifat dermawan baginda di dalam bulan Ramadan, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:

"RasuluLlah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah s.a.w. melebihi angin yang berhembus."
[Riwayat Bukhari]

Lantaran itu, dengan penuh rendah hati, saya memohon agar pihak Dato’/Datin/Tuan/Puan dapat bersama-sama menyumbang menjayakan program ini. Saya yakin sebarang sumbangan yang diberikan insya Allah amat bermakna untuk setiap keluarga yang memerlukan tersebut, dan mengembalikan keceriaan di wajah mereka, di samping memperoleh ganjaran yang besar di sisi Allah buat penyumbang.

"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita."
[al-Baqarah 2:274]

Disertakan brosur Rayuan Ramadhan untuk penyertaan, di samping diwar-warkan kepada semua teman, kenalan dan anggota keluarga yang lain. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh juga diperolehi dengan melayari laman web dan Facebook kami seperti berikut:


Di atas keprihatian dan sumbangan Dato’/Datin/Tuan/Puan tersebut kami dahulukan dengan ucapan terima kasih dan semoga Allah mengganjari dengan yang lebih baik di sisi-Nya. Semoga Allah berkati kita bersama.

Ramadan al-Mubarak. Ramadan Karim.

Yang benar,


Prof Madya Ainullotfi bin Abdul Latif
Ketua Pengurusan
Yayasan Ikram Malaysia (i-Bantu)

Ramadan Kareem


Ramadan Kareem. 
Semoga Ramadan kita kali ini menjadi Ramadan terbaik kita
dalam hayat kita setakat ini.

Saturday, April 18, 2020

Keperibadian Dicerminkan oleh Budi Bahasa

Image may contain: text

Keperibadian seseorang itu diukur melalui budi-bahasa seseorang. Kalimat Bahasa Melayu "budi-bahasa" agak padat, merangkumi "budi" yang membayangkan amal, usaha dan tingkah lakunya, terutamanya bagaimana ia berinteraksi dalam masyarakat, dan "bahasa" pula menggambarkan tutur-katanya, termasuk perkataan-perkataan yang diguna, serta pandangannya, ekspresinya dan sikapnya.

Keperibadian atau akhlak merupakan manifestasi keimanan dan nilai jiwa seseorang. Ia akan membentuk cara pemikirannya dan juga pandangan dunianya (world view).

Al-Qur'an dalam surah al-Rahman ayat 63 menyebut mengenai satu keperibadian yang menjadi contoh (examplary), iaitu "ibadurrahman".

Perkataan berjalan di atas bumi dengan rendah hati boleh membayangkan kehadiran mereka yang sentiasa berlapang dada dan tenang, tidak takabbur dan bongkak. Orang-orang di sekeliling mereka tidak merasa terancam dengan kehadiran mereka, melainkan golongan yang berpenyakit di dalam hatinya. Pendekatan mereka yang lunak menjadikan orang senang dengan mereka, dan mereka tidak melakukan sesuatu yang diluar sifat kemanusiaan dan sentiasa takut dengan pemerhatian Allah terhadap amal mereka. Mereka sentiasa membawa sesuatu yang positif untuk manusia, dan tidak bersifat memualkan (repulsive).

Begitu juga, ibadurrahman ini menjaga kata-kata mereka, hatta apabila disapa, disebut atau ditohmah oleh orang-orang jahil dan bodoh (al-jahilun) yang suka memperlekehkan mereka, mereka tidak melatah atau membalas dengan emosi, walaupun mereka berada di atas kebenaran. Reaksi mereka penuh dengan ketenangan, seperti membawa mesej kedamaian dan kesejahteraan ("salama"). Tidak akan keluar daripada mulut mereka kalimat-kalimat yang palsu, dusta atau bersifat angkuh. Mereka menghindari melawan kebodohan dengan kebodohan, kebencian dengan kebencian, amarah dengan amarah.

Sebaliknya mereka akan cuba untuk terus membawa risalah kebenaran dengan mengikut pendekatan para Rasul dan Nabi, menekankan yang hak dengan tegas, menghubungkan hati-hati manusia, meyakinkan manusia dengan hujah dan amal, membela mereka yang tertindas dan tidak berupaya, dan mengelakkan pendekatan yang membawa kebencian, perpecahan dan perseteruan. Mereka akan sentaiasa bersedia untuk mengintrospeksi diri untuk kebenaran, dan bersedia untuk dibetulkan kiranya tersilap, mengenepikan ego dan rasa besar diri.

Mereka tidak takut untuk dinilai, kerana mereka tetap berpegang kepada prinsip yang berpaksi kukuh kepada al-Qur'an dan Sunnah. Keperibadian Ibadurrahman ini menjadi suri tauladan kita.


Friday, March 20, 2020

Jangan Mudah Menghukum

Selain daripada Covid-19, satu lagi gejala yang mengenai ramai rakyat Malaysia ialah kebebalan terlalu cepat mahu komen dan menghukum, sedangkan mereka tidak mendapat maklumat yang cukuppun.
Fenomena cepat menghukum ini datang daripada sikap sombong yang menyangka ia tahu segala-galanya, dan tidak sabar untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya daripada semua sudut yang terkait.
Lebih buruk lagi ialah apabila penghukuman (judgement) ini disertai dengan cerca-nesta yang tidak berpenghujung, seolah-olah semuanya sudah muktamad. Sedangkan sisi pandangan yang ia terima hanyalah secebis sahaja daripada apa yang wajar dan mungkin.
Di antara sebab utama sikap sebegini berlaku ialah kejahilan, keangkuhan dan perasaan taksub, lalu ia mengelabui segala kewajaran dan perspektif. Perkara-perkara begini jugalah yang akan menyebabkan tercetusnya perbalahan, pergaduhan dan permusuhan di antara warga.
Seseorang yang bijaksana akan sentiasa berjaga-jaga dalam memberikan pandangan, dan sentiasa menyediakan ruang untuk ia berundur kiranya terdapat kemungkinan perspektifnya salah atau silap tanpa menjejaskan maruah dan kewibawaannya. Malah ia akan sentiasa bersedia untuk menarik balik pandangannya kiranya nyata tersilap, dan tidakm menjadi aib pula kiranya ia meminta maaf.
Ini tentunya amat sukar bagi seseorang yang jahil atau angkuh, apatah lagi sekiranya ia telah menghamburkan kalimat-kalimat keras dan nesta sebelum itu. Tentunya ia akan terdedah sebagai seorang yang tercemar air mukanya sekiranya ia mengundur, lantas ia akan lebih keras mempertahankan pendiriannya walaupun jelas salah.
Apapun, sikap kita hendaklah sentiasa berlaku adil, dan bertindak bijaksana, kerana Allah sendiri telah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu." [An-Nisa 4:135].
Untuk itu, berhubaya-hubayalah, dan jagalah kata-kata kita supaya jangan terlalu ghairah untuk memberikan penghukuman, dan berkatalah hanya kiranya ada manfaatnya, terutamanya dalam zaman komunikasi maya dan media sosial kini. Ikutlah kata-kata bistari, "Mereka yang bijaksana berkata-kata kerana meraka mempunyai sesuatu untuk disampaikan, sedangkan si-jahil hanya semata-mata mahu berkata sesuatu."


Thursday, April 14, 2016

Reminders for the Du'at from Shaykh Muhammad al-Ghazali

Sometimes a person who wanted to uphold Islam lose the perspective of the bigger picture of the da'wah, and concentrate instead on the small, symbolic issues. The lesson from Shaykh Muhammad al-Ghazali really puts such matters into perspective, on how to treat more important things first over the lesser matters.


Shaykh Muhammad al-Ghazali, may Allah be pleased with him, wrote about a young lady who came to his office to seek guidance:

"I did not like the way she was dressed when she entered my office. However, the look in her eyes revealed sadness and bewilderment that called for compassion and patience. She sat down and started sharing her concerns hoping to find answers with me.

I listened to her long enough. I learned that she was an Arab girl who received her education in France where she was raised. It was also clear that she barely knew Islam. I started explaining basic facts, dispelling suspicions, answering questions and refuting orientalists’ lies about Islam. I also did not forget to allude to today’s civilization and how it considers women as cheap flesh. At the end of my talk, the girl asked for a future appointment and excused herself.

Soon after, a young man – on whom qualities of Outward Islamism were apparent – came storming into my office and said violently: “How come such wicked person was admitted here?”

“The job of a physician is to accept. He doesn’t typically see healthy people, does he?” I replied.

“Of course, you advised her to wear Hijab!” he added.

I said to him “The issue is much bigger than that. There is the foundation that has to be laid. There is the Belief in Allah and the Hereafter. There is the hearing and the obeying of what was revealed in the Qur’an and the Sunnah, in addition to the pillars of worship and manners; the pillars that Islam cannot exist without…”. He interrupted me saying, “All of this does not mean we don’t order her to wear Hijab”.

“I wouldn’t like it if she came in a nun’s clothes while her heart is void of Allah. I taught her the basis that will help her to choose, on her own free will, to wear more decent clothes,” I calmly replied.

He tried to interrupt me again so I said firmly “I can’t drag Islam by its tail as you do. I lay the foundation and then start building and I usually achieve what I want with wisdom”.

Two weeks later, the girl came back. She was wearing much more decent clothes with a scarf over her head. She resumed her questions and I resumed my teaching. Then I asked “Why don’t you go to the nearest mosque to your home?” I said that but immediately I felt remorse. I remembered that mosques are closed in the face of Muslim women. The girl answered that she hated the People of Religion and that she did not like to listen to them.

“Why?” I asked.

“They are hard-hearted, and they treat us with contempt and scorn”, came her swift reply.


I don’t know why I remembered Hind (Abu-Sufyan’s wife). She was the one who chewed Hamza’s liver and fought Islam vigorously until the 8th year of Hijrah. She did not really know the Prophet. However, when she knew him and saw his lenient manners, she told him “I never wished someone on the face of this earth to be abased more than you and your family. Now, I do not wish to see someone on the face of this earth more honored than you and your family.” The Prophet’s kindness and sympathy changed the hearts of the people around him.

Now, would the Du`ah today learn from their Prophet? Would they learn to draw together instead of driving away, and to bring good tidings rather than to say things that repels people away from them and from Islam?" 

Thursday, April 7, 2016

Berbahasa Melayu Dengan Beradab


Berbanding dengan Bahasa Inggeris, walaupun dari segi istilah dan nahunya Bahasa Melayu jauh lebih mudah, namun di sana terdapat konteks penggunaan istilah yang mungkin sukar untuk difahami oleh orang bukan Melayu yang belum biasa dengan selok-beloknya atau golongan muda yang sudah terlalu banyak berbicara menggunakan bahasa singkat media sembang elektronik.
Di sini kita perlu membedakan makna bahasa (language) dengan bahasa, seperti dalam "orang berbudi, kita berbahasa" yang lebih menekankan kepada adab sopan dan nilai pekerti seseorang.
Perkataan-perkataan yang bermakna semudah "I" dan "you" dalam Bahasa Inggeris, memang boleh sahaja diterjemahkan sebagai "aku" atau "saya", dan "kamu", "engkau" atau "awak" dari segi istilahnya. Namun, ia tidak semudah itu. Selain daripada terjemahan secara istilah, seseorang penterjemah harus juga mengambilkira konteks penggunaan perkataan tersebut, agar sesuai dengan budaya dan nilai kesopanan yang sewajarnya.
Di dalam kebanyakan kelompok masyarakat Melayu, termasuk dalam keluarga saya sendiri, baik daripada pihak leluhur ke atas di kampung dahulu, ataupun keluarga kecil saya dan anak-anak saya, penggunaan gantinama "aku", "kamu", "engkau", dan "awak" sesekali tidak boleh diterima apabila bertutur sesama sendiri atau dengan golongan golongan yang lebih tua atau dihormati. Jadi penggunaan ayat seperti "Kamu hendak ke mana?" yang ditujukan kepada ayah atau guru adalah dianggap sebagai sungguh "kurang ajar", dan kalau di zaman saya masih kecil, boleh mengundang lempangan yang kuat di pipi.
Perkara ini selalu saya peringatkan kepada pelajar-pelajar saya yang bukan Melayu yang mungkin tidak tahu atau tidak memahaminya sebelum itu, apabila ada yang berkata kepada saya, contohnya, "Boleh saya berjumpa kamu selepas kuliah?". Tidak, saya tidak salahkan mereka, tetapi menjadi kewajipan saya untuk meluruskan kefahaman mereka untuk mendidik mereka dengan baik supaya tidak mengulanginya dengan orang lain, kerana saya guru mereka.
Begitu juga, kita tidak menggunakan nama khas seseorang sebegitu sahaja apabila kita bertutur dengan seseorang yang lebih tua. Agak tidak beradab kiranya seorang cucu memanggil datuknya yang bernama Ahmad, "Ahmad, kamu di mana?". Bukan caranya begitu pertuturan orang beradab (cultured).
Lantaran itu, apakah yang sesuai digunakan? Sebenarnya di dalam sesebuah keluarga Melayu, telah ada panggilan-panggilan khusus bagi setiap orang, baik yang berpangkat emak atau ayah saudara, ataupun adik-beradik, dari yang sulung hinggalah ke yang terbongsu. Bagi yang lain seperti guru, maka gantinama yang digunakan membayangkan peranan atau kedudukannya, seperti tuan, puan, cikgu atau seumpamanya. Itulah ruh penggunaan bahasa, yang membayangkan kehalusan adab dan keseniannya.
Sebagai imbalannya, biasanya yang ditujukan itu juga membalas dengan berbahasa juga, dengan menggunakan istilah yang lebih sopan seperti "saya" untuk membahasakan dirinya, ataupun terus menggunakan kedudukan seperti "abah", "abang", "cikgu" atau seumpamanya, bukannya "aku" yang dianggap sebagai kasar. Itu juga sebenarnya menjadikan pertuturan itu lebih ramah, dan membayangkan suasana kasih-sayang daripada seorang yang lebih tua kepada yang lebih muda.
Sebenarnya perbedaan nuansa ini bukan sahaja terdapat dalam Bahasa Melayu. Satu ketika dahulu golongan yang cenderung kepada Islam lebih selesa menggunakan perkataan "ana" dan "anta/anti" dalam perbualan (ini juga mungkin sebagai reaksi kepada golongan berpendidikan Inggeris yang suka ber"I-you"), sehinggakan dengan seorang yang agak tua dan dihormatipun di"anta-anti"kan. Seorang guru yang saya hormati pernah menyebut bahawa, dalam bahasa halus Arab juga, "anta-anti" ini dianggap kasar, dan mengatakan kalau kita menyapa seseorang yang dihormati, gunalah "sayyidi" atau "sayyidati" atau seumpamanya.
Dalam konteks masyarakat Barat pula, ada hal yang setara yang harus diperhatikan. Contohnya, penggunaan nama pertama (first name) hanyalah dengan mereka yang telah rapat sahaja. Seseorang asing (stranger) yang tiba-tiba datang menyapa seseorang dalam majlis rasmi dengan memanggil nama pertama sahaja akan dipandang dengan pelik. Semasa saya belajar di Sydney dahulu saya pernah menghantar satu deraf laporan kepada penyelia tesis saya dan menuliskan nama penuhnya di depan. Dia membetulkannya dengan meletakkan cuma huruf singkatan namanya, dan nama keluarganya (surname) sahaja, Dr. D.W. Kelly, seolah-olah membayangkan nama penuh tidak sesuai untuk format laporan rasmi.
Apakah mempertahankan tatasusila pertuturan sebegini penting? Mungkin ada yang mengatakan ia hanya menyusahkan; apatah lagi apabila kena membeda-bedakan tahap seseorang. Ini mungkin lagi susah kalau mahu menghantar mesej teks elektronik yang ringkas pula. Terpulanglah, kalau kita tiada masalah apabila cucu kita berbicara dengan kita, "Lotfi, kamu ke mana tadi? Lama aku tunggu, tahu!" Atau kita tiada masalah menerima surat permohonan kerja daripada seorang yang menggunakan "aku-engkau" dalam penulisannya, maka tepuk dada tanya selera.
Apapun, Bahasa Melayu ini ada jiwanya. Ia bukan hanya istilah-istilah yang disebut, tetapi juga merangkumi kehalusan penggunaan yang akan menjadikan penggunanya lebih bersusila dalam berkomunikasi, mengikut konteks dan keadaannya.

Aerolab
Petang Khamis 7 April 2016

Thursday, July 30, 2015

Ibrah Kisah Sayyidina 'Umar r.a.



Khalifah ‘Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian, kemudian beliau naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai manusia, dengarlah!”
Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.”
Lantas ‘Umar bertanya: “Kenapa, wahai Salman?”
Salman menjawab: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Yakni, kerana tubuh ‘Umar yang besar, tidak dapat ditutupi oleh sehelai kain sahaja.
‘Umar membalas: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.” Lalu ‘Umar memanggil anaknya ‘Abdullah, seraya berkata: “Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku?”
‘Abdullah menjawab: “Ya!”
Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.”
----
1. Salman al-Farisi r.a. tetap menyoal Sayyidina 'Umar r.a. mengenai sesuatu yang ia ada keraguan, serta tidak menyimpannya atau "berbaik sangka" terhadap Khalifah, kerana ia melibatkan hak negara.
2. Sahabat-sahabat lain tidak menyanggah Salman daripada menyoal, atau cuba mempertahankan Sayyidina 'Umar serta-merta sebelum keadaan dijelaskan.
3. Para Sahabat tidak menganggap Salman telah kurang ajar kerana menyoal seorang sahabat rapat RasuluLlah dan seorang yang telah dijanjikan syurga, dan jauh sekali daripada menyerangnya atau memaki-hamunnya atau menyifatkannya dengan label-label yang buruk.
4. Sayyidina 'Umar r.a. tidak menggertak atau menangkap atau memecat Salman r.a. kerana menanya satu soalan, malah menangani soalan itu dengan baik, dengan menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
5. Lantaran daripada penjelasan yang diberikan, oleh kerana Sayyidina 'Umar telus dan jelas tidak mengkhianati amanah semuanya telah diterima baik oleh para Sahabat, dan tiada krisis berlaku.
6. Sayyidina 'Umar tidak merasa tercalar daripada insiden ini, dan tidak berdendam kepada Salman kerana mempersoalkannya.
7. Sayyidina 'Umar dapat bertindak sedemikian dengan tenang dan tanpa kerisauan kerana beliau seorang yang memang dikenali sebagai penuh amanah, bertanggungjawab dan amat cemburu terhadap sekecil-kecil penyelewengan sekalipun. Sekiranya beliau tiada kualiti sedemikian, tentunya ia akan teragak-agak untuk menjawab dengan baik, malah mungkin akan bertindak dengan keras terhadap Salman, atau ia mungkin terpaksa memberikan jawapan yang berbelit-belit yang tentunya sukar untuk meyakinkan para Sahabat lain dan seluruh rakyat negara Islam ketika itu. Ini akan pastinya menimbulkan suatu krisis keyakinan terhadap Khalifah.