Thursday, November 26, 2009

Mengenai Tauliah dan Penyebaran Ilmu Islam

Assalamu ‘alaykum wr wb!

(1) Saya juga terpanggil untuk turut sama dalam perbincangan kita mengenai tauliah ini, di samping sama-sama menyemarakkan forum MasjidTSPP yang telah kian lama sepi.

(2) Kalau kita lihat sejarahnya, asal-usul sistem pentauliahan ini sebenarnya sudah begitu lama dipraktikkan, sehingga mungkin ada yang telah lupa rasionalnya, termasuk yang menguatkuasakannya. Kalau kita di zaman silam (kira-kira 40-50 tahun lampau) suasana keilmuan di tanahair ini tidaklah semeriah kini. Tidak ramai orang yang mempunyai penguasaan ilmu yang tinggi, dan ramai yang berilmu pula memperoleh ilmu melalui sistem pondok, yang tiada pengijazahan secara sistematik dan pengiktirafan universal. Dalam sesuatu masyarakat, yang lebih sedikit ilmunya ialah tok-tok imam dan tok-tok lebai kampung yang mungkin belajar secara talaqqi atau berguru secara peribadi atau secara mengikuti kuliah-kuliah perguruan di masjid-masjid oleh guru-guru yang datang dari luar, mungkin setiap minggu atau bulan.

(3) Dalam keadaan sedemikian, memandangkan keperluannya ilmu Islam disebarkan oleh mereka yang ada sedikit kelebihan ilmu, maka sistem pentauliahan diadakan, agar memberikan suatu pengiktirafan secara ad-hoc kepada mereka yang berkeinginan dan berkemampuan untuk mengajar ilmu Islam kepada masyarakat, terutamanya ilmu-ilmu asas yang mudah-mudah. Ini bermakna, seseorang tidak perlu berguru tinggi untuk mengajar, malah sudah cukup kalau mempunyai ilmu yang seadanya sekadar untuk mengajar mengajar masyarakat mengenai asas-asas Islam, untuk mendapat tauliah berkenaan. Tauliah itu bagai menggantikan sijil rasmi daripada institusi perguruan, agar dengannya Islam dapat berkembang dan kefahaman masyarakat dapat dipertingkatkan.

(4) Lantaran itu, nyatalah sistem pentauliahan ini ketika itu sebenarnya melonggarkan dan merupakan suatu usaha “liberalisasi” dalam konteks menyemarakkan budaya ilmu dan meningkatkan tahap keilmuan di kampung-kampung dan di desa-desa, di mana ustaz-ustaz yang berkelayakan formal sangat kurang.

(5) Setelah berlalu berpuluh tahun, dengan peningkatan yang bersangatan pada tahap keilmuan masyarakat, dan bertambahnya golongan cerdik-pandai terutamanya dalam bidang agama, sistem yang asalnya sifatnya “melonggarkan” dan meluaskan budaya ilmu itu, terus dipakai tanpa penaiktarafan dan pengkemaskinian untuk membayangkan suasana masyarakat semasa. Ustaz-ustaz dan ilmuan-ilmuan yang lulus daripada universiti-universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi yang diiktiraf dari seluruh dunia (termasuk juga tempatan) kembali ke tanah air berbondong-bondong, dengan penuh pengharapan untuk mengongsikan ilmu mereka dengan masyarakat. Mereka bukan sahaja kembali dengan ijazah pertama (Bachelor) malah ada yang kembali dengan ijazah lanjutan seperti Master dan PhD.

(6) Namun mereka terpaksa pula berdepan dengan sistem pentauliahan yang diwarisi dari zaman lampau tatkala suasana masyarakat cukup berbeda. Kalau dulunya sistem pentauliahan itu “melonggarkan”, kali ini sistem tersebut dalam bentuknya yang asal telah menjadi suatu “kekangan” yang menyempitkan pula. Lebih menghairankan apabila mereka kembali dengan pengiktirafan tinggi daripada gedung-gedung ilmu tersohor dan terkemuka dalam dunia Islam, namun terpaksa “disahkan kembali” apabila kembali ke negeri masing-masing. Lebih janggal sekali, kadangkala “pengesahan” ini dilaksanakan oleh mereka yang lebih rendah taraf keilmuannya daripada mereka sendiri.

(7) Antara hujjah yang digunakan bagi mempertahankan sistem tauliah ini ialah untuk mengelakkan daripada tersebarnya ajaran sesat. Sebenarnya rasional sebeginilah juga yang menyelubung cara pemikiran birokratik yang meluas di negara ini, baik dalam bidang agama maupun dalam bidang lain. Contohnya, kalau dalam pejabat kerajaan, terlalu tinggi kemelut “red-tape”nya, lantaran hujjah untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Begitu juga di universiti: para pensyarah dan penyelidik mungkin biasa dengan bermacam-macam kerenah birokrasi untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya “straight-forward”. Pokoknya, untuk mengelakkan kesulitan yang dikatakan akan didatangkan oleh mungin 1% orang yang bermasalah, maka kesannya 99% mereka yang ikhlas dan melakukan sesuatu dengan baik dan mengikut peraturan dipersusahkan dan “dianiaya”. Namun di sebalik kemelut “red-tape” dan undang-undang yang menyukarkan itu, pihak yang 1% tetap juga melakukan apa yang mereka hendak lakukan.

(8) Sepatutnya, penguatkuasaan ditujukan kepada 1% yang bersalah itu, dan sistem mempermudahkan bagi yang 99% selebihnya yang “baik”. Kalau ada yang sesat, tangkap dan adili mereka, dengan membawa hujjah-hujjah sekali. Tetapi mungkin lantaran berleluasanya “budaya malas”, yakni malas membuat kerja lebih untuk membuktikan kesesatan/salahlaku/penyelewengan dsb, jalan pintas inilah yang diambil.

(9) Di sebalik itu juga, penerusan sistem ini dilinciri dengan budaya pemusatan kuasa di tangan sedikit untuk menguasai golongan ramai. Ini cukup berguna untuk mengkesampingkan musuh-musuh politik daripada akses kepada rakyat umum. Dengan kuasa yang tidak boleh dipertikaikan itu, pintu-pintu kepada masyarakat untuk mereka yang mempunyai pemikiran dan pandangan yang sedikit berbeda boleh terus ditutup, walaupun tidak semestinya didasarkan kepada nas ataupun an-Nahjus-sohih. Ini tentunya sudah lari daripada tujuan asal sistem pentauliahan tersebut.

(10) Selesaian yang sebaiknya ialah memberikan liberalisasi penyampaian ilmu kepada semua yang layak, dan mengekang mereka yang terbukti menyeleweng, bukannya sebaliknya (yakni, mengekang semua, melainkan berpuashati “tidak menyeleweng”). Oleh itu, mereka yang telah terbukti layak lantaran ijazah dan kelulusan daripada institusi yang diiktiraf sepatutnya dibenarkan secara automatik, melainkan kemudiannya didapati menyeleweng (dengan hujjah); dan mereka yang tiada kelayakan formal bolehlah mendapatkan kebenaran dengan membuktikan tahap kelimuannya dengan temuduga tauliah. Dengan itu, ilmu Islam dapat dikembangkan dengan lebih pesat lagi dan kesannya, masyarakat akan menjadi lebih dinamik dan mendalam ilmunya, bukannya jumud dan jahil.

(11) Ini juga bersesuaian dengan suruhan dalam Hadits RasuluLlah s.a.w. agar “ballighu ‘anniy walau aayah” – “sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”. Setiap orang akan berusaha memainkan peranannya untuk menyebarkan dan menegakkan Islam dan membincangkannya dalam masyarakat secara terbuka tanpa kekangan undang-undang, asalkan mengikut lunas-lunas adab ilmu yang digariskan Islam sendiri.

WaLlahu a’lam. Wassalam.

Ainullotfi al-Fikri al-Lamburi

(dikirim ke milis MasjidTSPP, 17 November 2009)

Salam 'Idul-Adha!

'Idul-Adha Dalam Perspektif
Dalam beberapa minit lagi 'Idul-Adhha akan tiba. Di dalam syari'at Islam, 'Idul-Adhha merupakan hari perayaan yang paling utama. Namun kemeriahan itu tidak dirasai di Malaysia, kecuali di Pantai Timur. Umat Islam lebih menantikan 'Idul-Fitri, menyambut dengan penuh razzamatazznya, malah berlebih-lebihan merayakannya sehinggakan sebulan pula, sedangkan 'Idul-Adhha sepi - cutipun hanya sehari sahaja.

Mungkinkah kerana pengaruh komersial dan media yang salah letak tempat, sehinggakan ramai yang tidak sedar kepentingan 'Idul-Adhha itu, lalu dianggap sebagai Hari Raya sampingan?

Kalaulah syi'ar bertakbir dijadikan ukuran, semasa 'Idul-Adhha kita disyari'atkan bertakbir selama empat hari setengah, iaitu daripada selepas solat Subuh pada hari Arafah sehari sebelum 'Idul-Adhha itu sendiri, sehingga terbenam matahari hari Tasyrik ketiga. Di dalam keempat-empat hari ini ibadah Qurban dilaksanakan. Pada hari-hari ini jugalah ibadah Haji disempurnakan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.

Sebaliknya, untuk 'Idul-Fitri, kita cuma disyari'atkan bertakbir lebih sedikit daripada separuh hari, iaitu sehingga dimulakan solat Hari Raya. Tentunya ini sudah cukup menjadi ukuran bagi mereka yang menilai.

Namun di sebalik itu, 'Idul-Fitri dikaitkan dengan ibadah puasa sebulan Ramadhan, yang disertakan dengan Tarawih di malam-malamnya. Sebulan berpuasa menahan diri, telah menjadi suatu "penyebab" sektor komersial "mengapi-apikan" ummah untuk merayakan sepenuhnya 'Idul-Fitri, seolah-olah sebagai balasan yang berpatutan di atas menjalani kesukaran berpuasa tersebut. Bagi 'Idul-Adhha, tiada "penyebab" yang nyata untuk itu.

Mungkin dari suatu perspektif, ini ada baiknya, kerana lantaran itu 'Idul-Adhha bebas daripada gejala-gejala yang negatif yang dikaitkan dengan musim perayaan. Tumpuan penuh dapat diberikan kepadanya sesuai dengan sifatnya sebagai perayaan keagamaan, dan suatu ibadah kepada ALlah s.w.t. jua. Namun, pada masa yang sama, masyarakat perlu disedarkan mengenai peri utamanya 'Idul-Adhha dalam Islam, dan memberikannya tempatnya yang sesuai.

Selamat berbuka puasa (Puasa Hari 'Arafah), dan Selamat Menyambut 'Idul-Adhha, iaitu 'Idul-Akbar! Semoga ALlah menerima semua 'amal 'ibadah kita, dan memberikan keberkatan dalam hidup kita.


Salam 'Idul-Adhha daripada kami sekeluarga,

Ainullotfi bin Abdul Latif - al-Fikri al-Lamburi
Murniati binti Mustafa
'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi, Muhaini binti Mahusin,
. dan Mus'ab bin 'Umayr Sayfurrahman
'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi
'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi
Ruqayyah Nuruliman binti Ainullotfi
Fathimah 'Azzahra' binti Ainullotfi
Zaynab Almardiyyah binti Ainullotfi

Tuesday, September 15, 2009

Lest We Forget...


Remembering the Sabra and Shatilla massacres of 16-18 September 2009.

Their hands and soaked in innocent human blood. Are they humans? Or are they beasts?





Let humanity not forget!

Sabra dan Shatilla Jangan Dilupa!


Sabra dan Shatilla Jangan Dilupa,
Walau 25 Tahun Kini Berlalu!





15-18 September 1982
Yang Dibasah Darah Palestin


Ditulis 13 September 2007

Minggu ini genap ulangtahun keduapuluhlima (25) peristiwa berdarah yang menyayat hati pembantaian seramai beribu-ribu orang pelarian Palestin di Kem Sabra dan Shatilla di Beirut, Lubnan. Peristiwa hitam ini tetap tinggal dalam sejarah umat Islam Palestin sebagai satu lagi daripada berpuluh-puluh tragedi yang menimpa mereka setelah berlakunya Nakba 1948, apabila tanah air mereka dijajahi oleh pendatang-pendatang asing dari Eropah yang menghalau mereka keluar merempat ke tempat orang.

Peristiwa yang bermula dengan pengepungan kem tersebut oleh tentera Zionis di bawah pimpinan Ariel Sharon pada tengah hari Rabu 15 September 1982 tersebut akan tetap tinggal sebagai contoh kebinatangan manusia yang tidak berhati perut hingga ke akhir zaman. Setelah semua pintu keluar disekat, kereta kebal tentera Yahudi mula membedil perkhemahan tersebut, sambil diawasi daripada bangunan-bangunan tinggi di sekeliling perkhemahan yang diduduki mereka, termasuk Kedutaan Kuwait, untuk dijadikan pos-pos pemerhatian. Sementara itu Sharon bertemu dengan pihak militia Kristian Falangist, di bawah Elie Hobeika, untuk mempelawa mereka masuk ke dalam perkhemahan pelarian Palestin dan "membersihkan" apa yang mereka sebut sebagai sarang pengganas.

Seterusnya bermula petang 16 September gerombolan pertama daripada sejumlah 1,500 orang militia Falangis, yang termasuk juga anggota-anggota Tentera Bebas Lubnan pimpinan Saad Haddad, masuk ke dalam kawasan perkhemahan dengan menaiki jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang. Mereka lalu menjalankan "tugas" membunuh dan menyembelih pelarian Palestin di sana, malah merogol wanita-wanita juga, sambil tentera Zionis berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang lepas lari keluar. Di sebelah malam tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas perkhemahan bagi meneranginya - dikatakan sehingga terang benderang bagaikan padang bola, agar pihak militia Kristian di dalam dapat terus menjalankan pembantaiannya.

Pembunuhan beramai-ramai yang kejam tersebut berjalan terus-menerus selama lebih daripada dua hari, tanpa mempedulikan sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak, dan tanpa ada pembelaan atau pertahanan daripada sebarang pihakpun. Setelah tiba pagi sabtu 18 September barulah pengganas-pengganas Falangis meninggalkan perkhemahan, menghela mereka yang masih hidup keluar bersama untuk dibawa ke stadium pula untuk diinterogasi. Apabila kumpulan pemberita yang pertama dapat masuk ke dalam kawasan perkhemahan, mereka dapati jasad-jasad bertaburan di seluruh kawasan, banyak daripadanya telah dikerat-kerat. Hanya setelah itulah baru berita pertama mengenai pembantaian ini sampai ke pengetahuan masyarakat dunia.

Wartawan Amnon Kapeliouk, yang beliau sendiri juga seorang Yahudi, daripada akhbar Perancis Le Monde Diplomatique menganggarkan sejumlah 3,000-3,500 orang pelarian Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan disembelih dalam tempoh dua hari tersebut dengan penuh kejamnya. Ini mengambilkira sebanyak 2,000 mayat yang diselenggarakan selepas pembantaian, daripada sumber-sumber rasmi dan Palang Merah, dan seramai dianggarkan 1,000 hingga 1,500 lagi yang dibereskan sendiri oleh pihak pengganas Falangis. Selama begitu lama dunia tidak melihat suatu pembunuhan beramai-ramai pihak yang tidak bersalah yang bukan kombatan sebegitu, yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri, dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas pembantaian kejam ini telah dibawa ke pengadilan, jauh sekali daripada dihukum setimpalnya. Ariel Sharon malah kemudiannya naik menjadi Perdana Menteri entiti Zionis pula. Komander Falangis, Elie Hobeika, juga terlepas daripada hukuman dunia malah kemudiannya menjadi Menteri Kabinet Lubnan pula dalam tahun1990an. Walau bagaimanapun ia mati lantaran bom kereta pada Januari 2002.

JANGAN BIARKAN IA BERULANG!
UMAT ISLAM HARUS BANGUN DAN SEDAR DAN PEKA!

Ainullotfi al-Fikri

Rujukan: Robert Fisk, Wikipedia.

Sunday, August 23, 2009

Tsabat (Teguh Pendirian)


Apakah makna Tsabat?

Sebenarnya perkataan tersebut tidak asing lagi bagi setiap pendokong fikrah ini, kerana ianya merupakan rukun ketujuh di dalam Rukun Bay'ah yang telah digariskan oleh al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sebagai perlu dimiliki khasnya oleh setiap anggota (al-akh) al-Ikhwan al-Muslimun, dan amnya oleh setiap pejuang dan pendokong Islam. Di dalam Risalah at-Ta'alim al-Imam menyebutkan:

    Tsabat (yakni tetap pendirian) yang saya maksudkan ialah al-akh mestilah beramal dan berjihad untuk mencapai matlamat, sekalipun matlamat tersebut masih terlalu jauh dan memakan masa bertahun-tahun sehinggalah al-akh menemui ALlah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu al-akh telah mendapat salah satu dari dua kebaikan: sama ada berjaya mencapai matlamat tersebut ataupun mati syahid pada akhir hayat.

Perkataan tsabat ialah katanama terbitan yang berasal dari katadasar dengan huruf-huruf "tsa", "ba" dan "ta". Contohnya, kata perbuatan (verb) "yutsabbitu" bermakna "memperteguhkan" atau "menetapkan", sepertimana firman ALlah di dalam al-Qur`an al-Karim yang menceritakan tentang pertolongan ghaib ketika Perang Badr al-Kubra:

    Ketika kamu tertidur sebentar, kerana perasaan lega diberikan Tuhan, dan diturunkan-Nya kepada kamu hujan dari langit, supaya kamu dapat dibersihkan-Nya dengan air itu, dihilangkan-Nya daripadamu kotoran syaitan, diperkuatkan-Nya hatimu, dan DIPERTEGUHKAN-NYA dengan itu pendirianmu.
      [al-Anfal 8: 11]

Selain daripada itu, di dalam al-Qur`an disebutkan sebanyak lapan belas kali perkataan-perkataan yang membawa makna yang sama (dengan bertunggakkan huruf-huruf "tsa", "ba" dan "ta"), yang dapat kita ambil pengajaran daripadanya.

Contohnya, perintah agar kita tsabat di jalan ALlah ini dipertekankan di dalam ayat:

    Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan pasukan [musuh] MAKA HENDAKLAH KAMU BERPENDIRIAN TEGUH (fatsbutuw) dan ingatilah ALlah sebanyak-banyaknya, supaya kamu beruntung.
      [al-Anfal 8:45]

Di dalam ayat yang lain, ALlah menegaskan tentang bantuan ALlah dalam memastikan ar-Rasul tetap di atas jalan da'wah dan jihad ini, mengatasi cubaan dan pujukan kaum Musyrikin dan penentang Islam:

    Dan kalau tidak KAMI TEGUHKAN PENDIRIAN ENGKAU (tsabbitnaaka) tentu agak sedikit engkau hampir juga condong kepada mereka.
      [al-Israa` 17: 74]

Untuk mendapatkan bantuan ALlah agar menetapkan pendirian kita di atas jalan yang haq ini kita harus memenuhi syaratnya:

    Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya kamu menolong ALlah, nescaya Ia akan menolongmu dan MENGUKUHKAN PENDIRIANMU (yutsabbit aqdaamakum).
      [Muhammad 47: 7]

Begitu juga, kita diajarkan agar berdoa dan memohon kepada ALlah jua:

    Wahai Tuhan kami! Ampunilah dosa-dosa kami dan pekerjaan-pekerjaan kami yang melanggar kepatutan, dan TETAPKANLAH PENDIRIAN KAMI (tsabbit aqdaamana) dan tolongilah kami melawan kaum yang kufur.
      [Aali 'Imraan 3:147]

Di dalam doa masyhur yang lain kita memohon:

    Wahai Yang Membolak-balikkan Hati (Muqallibalquluwb), TETAPKANLAH HATI-HATI KAMI (tsabbit quluwbanaa) dia atas din-Mu, Wahai Yang Membolak-balikkan Hati (Muqallibalquluwb), TETAPKANLAH HATI-HATI KAMI (tsabbit quluwbanaa) dia atas ketaatan kepada-Mu.

Seseorang hanya mendapat tsabat yang dituntut ini dengan pegangan yang benar dan kukuh juga, bukannya dengan sesuatu fatamorgana yang kelak akan menyesatkan:

    ALLAH MENEGUHKAN KEDUDUKAN (yutsabbituLlah) orang-orang yang beriman DENGAN PERKATAAN YANG TEGUH (bilqawlitstsaabiti) dalam kehidupan dunia ini dan hari kemudian, dan ALlah membiarkan sesat orang-orang yang zalim, dan ALlah melakukan apa yang Ia kehendaki.
      [Ibrahim 14: 27]

Inilah sifat tsabat yang kita harapkan di kalangan kita yang hendak mendokong da'wah ini. Sesungguhnya perjalanan ini adalah jauh dan penuh dengan duri dan onar.

    Kalau ada keuntungan yang dekat dan perjalanan yang sederhana, sudah tentu mereka mahu mengikuti engkau, tetapi perjalanan itu bagi mereka terasa amat jauh...
      [at-Tawbah 9: 42]

Orang-orang yang tidak jelas matlamatnya dan tidak yakin dengan manhajnya tentunya tidak akan dapat terus tsabat di atas jalan ini, kerana mereka akan segera nampak tarikan-tarikan yang dekat dan segera merubah tujuan perjuangan mereka. Sedangkan ALlah telah menegaskan:

    ... sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah ad-Din itu seluruhnya untuk ALlah...
      [al-Anfaal 8: 39]

Kita akan terus berpegang dengan jalan ini, insya ALlah, menyampaikan risalah ini, menyeru manusia bersama kita, hingga akhirnya tercapai cita-cita kita ini, atau kita dipanggil ALlah terlebih dahulu:

    Di kalangan para Mu`minin itu ada orang yang telah menepati apa yang mereka janjikan kepada ALlah; Maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka [pula] ada yang menunggu-nunggu, dan mereka tidak sedikitpun mengubah janjinya.
      [al-Ahzab 33: 23]

    Dan mereka berkata: Bilakah kemenangan itu? Katakanlah: Mudah- mudahan ia sudah hampir.
      [al-Israa` 17: 51]

Matlamat perjuangan da'wah dan risalah ini tidak akan tercapai melainkan dengan tsabat pendokongnya, dan tsabat itu tidak akan dihayati melainkan dengan kefahaman yang mantap akan matlamatnya yang jauh itu, dan keyakinan yang padu terhadap langkah-langkah yang perlu di dalam manhajnya menuju kepada matlamat tersebut dan merealisasikannya seluruhnya tanpa kecuali, tanpa berputus asa ataupun mengharapkan jalan pintas.

Inilah konteks kefahaman kita seperti yang ditarbiyyahkan oleh para murabbi kita apabila kita membentangkan mengenai isu Tsabat (Berpendirian Teguh) di dalam fikrah ini...

Wassalam.

Ainullotfi al-Fikri

Di Antara Keaslian dan Penyelewengan: Sikap Dalam Berjama'ah



Warkah ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 14 November 1996


Kita mulai dengan firman ALlah di dalam al-Qur`an:

    Dan orang-orang yang menjauhi thaghut [iaitu] tidak menyembahnya dan kembali kepada ALlah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku,
    ... yang mendengarkan perkataan lalu mengikut apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi ALlah petunjuk dan mereka itulah [orang-orang] yang mempunyai aqal.
[az-Zumar 39: 17-18]

Ikhwah dan akhawat pendokong fikrah,
dan setiap pencinta Islam sekelian,

Lewat-lewat ini kita mendengar begitu banyak polemik berkenaan dengan kepelbagaian jama'ah diperbincangkan, baik di dalam rangkaian ini maupun di dalam program-program yang direncanakan khas untuknya. Saya sendiri menerima berbagai soalan dan pertanyaan berhubungnya, baik melalui internet maupun secara bersemuka.

Bagaimanakah sikap kita sebagai pendokong fikrah dalam menangani isu ini? Bagaimanakah pandangan kita terhadap mereka yang tidak turut mendokong fikrah ini tetapi juga beramal untuk Islam di dalam penuh keikhlasan menurut keupayaan dan keyakinan mereka? Adakah kita menganggap mereka sebagai musuh-musuh Islam yang seharusnya dipancung, sehinggalah da'wah ini hanya ditegakkan oleh kita sahaja atau mereka yang menyertai kita?

Sesungguhnya sikap yang ditarbiyyahkan kepada kita oleh fikrah yang suci ini adalah begitu jelas sekali. Sesungguhnya prinsip-prinsip utama Islam dan gerakan Islam telahpun termaktub dan tidak dapat diubahkan lagi. Gerakan fikrah ini - di seluruh dunia - tidak pernah lari dari menyatakan matlamat tertingginya, iaitu bagi menegakkan pengabdian seluruhnya kepada ALlah azza wa jalla, seperti firmannya:

    ... sehingga tidak ada lagi fitnah (yakni kezaliman dan sesuatu yang menyekat manusia daripada pengabdian kepada ALlah) dan ad-din itu semata-mata untuk ALlah.
[al-Anfaal 8: 39]

Matlamat ini bukan hanya kita hendak usahakan di sesuatu ceruk atau rantau malah di seluruh bumi ALlah ini. Matlamat inilah yang menjadi puncak perjuangan dan matlamat terakhir dalam maratib al-'amal yang disebutkan oleh al-Imam Hassan al-Banna... yang bermula daripada pembinaan peribadi atau syakhsiyyah Muslim, lalu ke keluarga Muslim, masyarakat Muslim dan negara Muslim, lalu ke gagasan negara-negara Muslim, seterusnya membentuk Khilafah dan akhirnya Pax Islamica yang dimaksudkan itu.

Pada kita sesiapa sahaja yang memperjuangkan apa yang kita perjuangkan ini, ataupun yang menyumbang untuk mana-mana tahap dalam maratib ini secara ikhlas, adalah tetap bersama-sama kita, walaupun setakat ini bukan satu wadah dengan kita.

Kita akur dan faham dengan proses sejarah yang telah banyak mewarnai pelbagai usaha Islami dari berbagai perspektif, yang kebanyakannya adalah sesuatu yang tabi'i dan dimulai dengan penuh keikhlasan dan kesedaran akan tanggungjawab terhadap ALlah dan ummah ini. Walaupun ia telah menyebabkan tampak seolah-olah begitu banyak label-label yang wujud, namun selagi mana ia tidak menolak risalah fikrah ini dan matlamat di atas tadi secara buta-tuli, maka kita tidak akan jatuh kepada kesilapan untuk menohmahkan setiap usaha yang ikhlas ini, atau menjadi angkuh untuk tidak mengiktiraf sumbangan mereka terhadap Islam dan ummah ini.

Kita doakan akhirnya akan wujudlah kesatuan dengan ALlah mengikatkan di antara hati-hati ini, dan mempersatukan di atas fikrah yang suci ini, dan kita tidak akan melakukan apajua yang akan dapat mencemari perkara ini atau menimbulkan bibit-bibit yang akan merenggangkan lagi di antara semua pejuang Islam. Inilah tarbiyyah fikrah ini.

Kita doakan akhirnya akan wujudlah kesatuan dengan ALlah mengikatkan di antara hati-hati ini, dan mempersatukan di atas fikrah yang suci ini, dan kita tidak akan melakukan apajua yang akan dapat mencemari perkara ini atau menimbulkan bibit-bibit yang akan merenggangkan lagi di antara semua pejuang Islam. Inilah tarbiyyah fikrah ini.

Malah kita telah ditarbiyyahkan bahawa segala usaha sebaliknya sebenarnya merupakan penyelewengan daripada jalan keaslian ini. Mendabik dada meninggikan diri dalam suasana keangkuhan adalah penyelewengan, begitu juga menafikan usaha dan sumbangan para mukhlisin yang lainnya.

Mursyid al-'Am Syaykh Mustafa Masyhur, memperingatkan pendokong fikrah ini dengan penekanan yang tegas akan hal ini, apabila beliau menyenaraikan sikap sedemikian sebagai salah satu penyelewengan dalam beramal dalam jama'ah, di dalam bukunya "Jalan Da'wah: Di Antara Keaslian dan Penyelewengan".

Di dalam Bab Ketiga bertajuk "Penyelewengan Dalam Beramal Dalam Jama'ah", Syaykh Mustafa menyebut di dalam noktah kelapan, bahawa di antara penyelewengan itu...:

    8. Apabila seseorang meninggi diri ke atas seseorang anggota dari jama'ah Islam yang lain atas nama jama'ah al-Ikhwan al-Muslimun.

    Jangan dikatakan Jama'ah al-Ikhwan al-Muslimun itu ialah jama'ah Muslimin (yakni the jama'ah, al-jama'ah) kerana sebenarnya Jama'ah IM adalah salah satu (jama'atun) daripada jama'ah-jama'ah Muslimin.

    Jama'ah IM menyeru semua orang untuk beramal kepada Islam dan menegakkan Daulah Islam. Kita tidak mahu mencari permusuhan dengan mana-mana jama'ah Islam, malah kita tidak menempah pertikaian atau membantu mengadakan percakaran antara kita dengan mana-mana jama'ah lain.

    Penglibatan dan kegiatan oleh Jama'ah IM sejak mula dulu tidak untuk melukai perasaan sesiapa atau mana-mana pertubuhan atau yang melibatkan pengetahuan Islam. Kita sayang kepada semua orang walaupun mereka yang membuat penekanan ke atas kita.

    Imam asy-Syahid Hassan al-Banna di dalam Muktamar Keenam telah menyebut dalam ucapannya: "Adapun sikap dan pendirian kita terhadap semua pertubuhan Islam ialah sikap kasih-sayang, persaudaraan dan tolong-menolong dan kesetiaan, kita sayang mereka, kita tolong, kita berusaha mencari jalan untuk mendekatkan jurang perbezaan pendapat, kita baiki pemikiran-pemikiran yang berlainan supaya dapat pertolongan untuk dapat kebenaran di bawah lindungan bertolongan dan berkasih- sayang, kita jangan pisahkan oleh pendapat Fiqh atau masalah Khilafiyyah mazhab. Sesunguhnya agama Allah ini mudah, tiada siapa yang boleh menyusahkan agama Allah. Dengan taufiq Allah, kita telah mencapainya. Kita menyelidik mencari yang Haq melalui uslub yang mudah yang dapat diterima aqal. Kita yakin sesungguhnya satu hari kelak akan gugur nama-nama atau gelaran-gelaran yang membezakan antara satu jama'ah dengan satu jama'ah Muslimin yang lain, akan digantikan tempatnya oleh kesatuan kerja yang menyatukan barisan-barisan angkatan pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada selain dari saudara-saudara Muslim yang bekerja kuat untuk agama dan berjuang pada jalan Allah."

Ikhwah dan akhawat pendokong fikrah,
dan semua pencinta Islam sekeliannya,

Inilah fikrah yang telah diajarkan kepada kita. Sesungguhnya musuh kita telah ramai, dan jalan perjuangan ini memangnya amat jauh dan sukar. Kita tidak payahlah berusaha pula agar kita menjadikan rakan dan teman dalam da'wah sebagai musuh yang akan mempersusahkan lagi perjalanan da'wah ini, dengan meletakkan onar di jalanan mereka, atau menebarkan fitnah ke atas mereka, ataupun menuntut daripada mereka tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan tidak berasas.

Kerja kita banyak, dan setiap kita sibuk untuk melangsaikan tanggungjawab kita. Kita tidak punyai masa untuk melayan cuitan-cuitan dan bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa menghendaki kebencian dan pertelagahan di antara kita. Cukuplah pengalaman yang pahit di Afghanistan mengajar kita agar lebih cermat dan berhati-hati, dan tidak terlalu ta'asub kepada nama dan label.

Insya ALlah kiranya setiap kita berusaha untuk menjuruskan matlamat kita agar akhirnya bertemu, dan merapatkan jurang di antara hati-hati kita, lalu kita iringi dengan doa kepada yang mempunyai Iradat dan Qudrat, maka insya ALlah apa yang kita sama-sama hajati akan tercapai jua. Inilah pendirian dan sikap murni yang dipegangi oleh jama'ah fikrah ini, di mana saja ia berada.

Semoga kita menjadi seperti yang difirmankan oleh ALlah:

    ... orang-orang yang mendengarkan perkataan (yakni, yang disebutkan orang) lalu mengikuti yang paling baik di antaranya...
[az-Zumar 39: 18]

Wallahu a'lam.

"ALlah Matlamat Kami"

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

Mengenai Hakikat dan Dongengan


Niat yang baik tidak cukup untuk membenarkan sesuatu tindakan.

Salah satu daripada prinsip Islam yang asasi ialah berpegang kepada hujjah yang sahih dan sumber yang betul. Untuk memastikan perkara ini Islam telah mendahului tamaddun lain dengan menekankan sistem rujukan yang baik. Ini dapat kita perhatikan daripada cara pengumpulan hadis, di mana para Imam-imam Muhadditsin begitu menjaga sekali sumber sesuatu cerita didatangkan, dengan memastikan sanad yang berterusan ke asal cerita, dan perawi yang boleh dipercayai.

Bagi kita yang menjalani penyelidikan, perkara ini juga amat dipertekankan: lihat sahaja betapa pentingnya rujukan dan bibliografi yang kita letakkan di hujung setiap makalah dan tesis kita.

Kiranya ini begitu sekali dilakukan di dalam penyelidikan kita dalam perkara-perkara duniawi, maka tentunya penekanan yang lebih penting akan diberikan kiranya kita menyentuh urusan keagamaan dan perkara ghaib.

Dalam konteks kita sekarang ini... tentunya boleh kita berikan dalih bahawa "kita ambil sahaja pengajaran yang hendak diberikan". Namun di situ ada satu lagi perkara asas yang perlu dipertimbangkan. Cerita-cerita yang ganjil-ganjil selalunya bersumber daripada fikrah yang menekankan suasana yang sedemikian juga... Ia membentuk suatu pemikiran yang tidak kritikal dan terlalu bergantung kepada emosi, bukannya hujjah, seperti sepatutnya. Hasilnya ialah ia akan membelenggu pemikiran ummat dan menyusahkan untuk dicelikkan kepada rasionaliti dan hujjah kelak, kalau dibiarkan berleluasa.

Saya bukannya menafikan banyak benda yang ganjil berlaku dalam konteks hubungan kita dengan Tuhan. Tetapi biarlah setiap unsur itu tidak di blown out of proportion, dan diletakkan pada asasnya yang betul. Keimanan kita bukannya diasaskan kepada keganjilan tersebut, sebaliknya ke atas hujjah Islam itu sendiri, sama ada benda ganjil itu berlaku atau tidak.

Begitu juga, benda-benda ganjil bukan sahaja berlaku dalam Islam, tetapi juga dalam agama-agama lain... malah kadangkala lebih hebat lagi... Kalau dalam agama Hindu, ada keupayaan dicucuk besi dan berjalan atas api... begitu juga dalam kefahaman sami-sami Shaolin... Dalam agama Katolik kita dengari peristiwa appatrition of the Lady of Fatima, di mana kononnya Maryam ibunya Nabi Isa a.s. menjelma kepada beberapa orang kanak-kanak... Sebut sahaja apa agama, tentu adanya cerita-cerita ganjil sebegini... malah pada orang asli (baik di Malaysia maupun kaum asli di Australia atau di tempat lain) pun ada...

Hakikatnya... setiap keganjilan ini bukanlah hujjah dan bukti kepada kebenaran itu sendiri, dan penerimaan kita terhadap kebenaran seharusnya independent of such events. Betapa ALlah meletakkan hujjah dan rasional begitu tinggi sekali, bagi ummat Nabi Muhammad ini ALlah meletakkan mu'jizat yang paling besar ialah al-Qur`an, yang abadi, bukannya sesuatu kisah yang ganjil yang kelak akan ditinggali zaman (benda yang pelik dahulu kini banyak yang dah tak pelik lagi...). Sebaliknya al-Qur`an itu diasaskan di atas bayyinat (yang jelas), dan al-Qur`an mencabar pemikiran yang kritis dengan cabaran yang abadi juga agar didatangkan satu surah hatta ayat yang setanding dengannya.

Wallahu a'lam.

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

Artikel ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 6 Ogos 1996