Sunday, December 1, 2013

Larangan Mengkafirkan Seorang Muslim

Syahid Imam Hasan al-Banna menyebut di dalam Kitab Usul 'Isyrin (Dua Puluh Perkara Pokok) karangannya bahawa:

"Kita tidak mengkafirkan seseorang Muslim berdasarkan pendapat atau maksiat yang dilakukannya, sedangkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadah dan melakukan tuntutan syahadahnya, iaitu dengan melakukan sesuatu yang telah difardhukan kepadanya, kecuali beliau berikrar dan mengakui kekufurannya, mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama, mendustakan lafaz dan pengertian al-Quran yang terang dan jelas, menafsirkan al-Qur'an dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran Bahasa Arab atau beliau melakukan perbuatan yang biasanya tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain daripada kekufuran."

Kebelakangan ini terlalu kerap kita mendengar segolongan manusia yang terlalu mudah mengkafirkan orang Islam lain, termasuk para 'ulama', yang tidak sefahaman dengan mereka. Perbuatan kafir-mengkafir ini begitu menjadi-jadi sehingga secara borong kumpulan-kumpulan umat Islam dituduh murtad atau kuffar, tanpa membawa bukti atau hujjah yang jelas dan betul. Yang ada hanya tohmahan dan fitnah yang bersandarkan andaian dan persepsi semata-mata.

Perbuatan mengkafirkan seseorang Muslim adalah sesuatu yang merbahaya. Ia boleh menimbulkan kacau-bilau dan perpecahan sesama umat Islam, di samping mencemar nama baik seseorang yang dituduh tersebut. Ia juga mempunyai implikasi undang-undang yang teramat berat.

Pada masa yang sama sebarang pertuduhan yang dilafazkan secara murah boleh sahaja mendatangkan kesan yang besar ke atas pengucapnya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Pertuduhan itu boleh memantul kepada diri yang menuduh, lalu menjadi tombak tajam yang akan menikam dirinya sendiri, sekiranya ia tidak cermat dan berhemat dalam mengeluarkan kata-katanya. Oleh itu, lafaz-lafaz sedemikian perlu dielakkan, dan dibuat hanya dalam keadaan yang sudah tiada selindungnya dan sudah jelas bagaikan mentari di siang hari.

Sebagai panduan untuk kita, Syahid Imam hasan al-Banna mengingatkan kita supaya jangan sekali-kali terjerumus ke dalam kancah kafir-mengkafir ini, walaupun berdepan dengan suatu maksiat yang jelas. Menurut Imam al-Banna, seseorang hanya boleh disebut sebagai kafir apabila tsabit salah-satu daripada lima perkara berikut:
  • berikrar dan mengakui kekufurannya,
  • mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama,
  • mendustakan lafaz dan pengertian al-Qur'an yang terang dan jelas,
  • menafsirkan al-Qur'an dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran Bahasa Arab, atau
  • beliau melakukan perbuatan yang biasanya tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain daripada kekufuran
Dalam menangani kes-kes kegelinciran aqidah yang belum dapat dipastikan secara muktamad, adalah lebih selamat seseorang itu hanya menceritakan keadaan-keadaan yang boleh menjatuhkan kekufuran seseorang, daripada mengatakan ia telah kufur. Ini kerana, banyak daripada pertuduhan tersebut hanya merupakan andaian dan sangkaan sahaja, sedangkan yang dituduh tidakpun bersifat sedemikian.

Lebih utama lagi, seseorang hendaklah tahu dengan penuh keilmuan apakah ciri-ciri keislaman dan juga keimanan itu sendiri, dan apa pula ciri-ciri kekufuran dengan begitu tepat sekali, supaya tidak mengatakan sesuatu perbuatan itu kufur sedangkan ia tidak. Juga membedakan apa yang disebut sebagai keislaman dengan apa yang disebut sebagai keimanan, yakni keimanan ialah hakikatnya, sedangkan keislaman ialah zahirnya. Hakikat itu hanya dalam ilmu Allah s.w.t. secara muktamadnya, dan sesama manusia, kita hanya dapat apa yang zahirnya.

Sebagai contoh, RasuluLlah s.a.w. teramat mengenali orang-orang munafiq, yakni orang-orang yang melafazkan keimanan pada mulut mereka tetapi tidak menjiwainya di dalam hatinya, di kalangan mereka di sekelilingnya, tetapi tidak pernah mengisytiharkan kufur orangnya secara khusus walaupun sentiasa menyebut kekufuran sifat mereka. Apa yang nyata lagi, baginda tidak pernah mengambil tindakan ke atas mereka secara undang-undang, malah melayani mereka sebagai orang Islam juga dalam negara Islam Madinah.

Hanya apabila seseorang itu melakukan salah satu daripada lima perkara di atas, maka kita dapat mengetahui secara zahirnya kekufuran seseorang, dan boleh menjatuhkan hukum kufur ke atasnya dengan selamat. Sebagai contoh, apabila ia secara terang dan jelas mengisytiharkan kemurtadannya, maka tentunya itu sukar untuk disangkal lagi oleh orang lain. Di dalam contoh yang lain, bagi kes yang kedua, ialah menolak wujudnya akhirat dan syurga serta neraka, atau menolak kewajiban solat lima fadhu waktu atau rukun Islam yang lima, atau menolak salah satu rukun iman yang enam secara sembrono, atau menolak pengharaman riba atau zina atau arak. 

Apabila seseorang yang sujud kepada salib, atau kepada berhala, mencemari al-Qur'an dengan najis, mencerca Allah dan rasul-rasul-Nya, maka tentunya kita tidak dapat menafsirkan perbuatannya itu, melainkan dengan kekufuran jua. Begitu juga tidak sewajarnya seseorang mencaci atau merendah-rendahkan syari'at Islam itu sendiri, atau mengatakan Islam itu kolot atau ketinggalan zaman atau menghinanya dengan sifat-sifat yang buruk kerana hanya seorang yang terkeluar Islam sahaja yang sanggup berkata-kata sedemikian.

Namun dalam keadaan seterang itupun, kita tetap disuruh berjaga-jaga, kerana, adakah ia melakukannya dengan sukarela dan penuh kefahaman di atas apa yang dilafazkannya, atau adakah ia dipaksa atau terpaksa? Adakah ia sudah terkeliru, ataupun adakah ia dipengaruhi arak, atau madat, atau dilanda penyakit gila? Kita dituntut supaya terlebih mencari alasan di atas tindakannya dan cuba untuk memahami kenapa ia bersikap sedemikian.

Secara lazimnya, kita cuba mengelakkan diri daripada terlalu senang menjatuhkan hukum, tetapi lebih tenang untuk memberikan nasihat dan membetulkan keadaan serta menarik kembali seseorang yang tergelincir kepada keimanan. Adalah menjadi suatu yang pelik apabila seseorang pendakwah atau agamawan lebih cenderung untuk menolak seseorang yang sudah terbuai di tepi tebing kekufuran yang licin, agar ia terus terjatuh, dan bukannya untuk menghulurkan tangannya untuk menarik ia kembali ke pangkuan iman. Tidakkah selalu kita diperingatkan selalu bahawa "kita adalah pendakwah, bukannya penghukum"?

Sejauh manapun kita membenci perbuatannya, seorang Islam yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan seperti minum arak dan berzina, namun masih mengakui dan mengiktiraf asas-asas akidah Islam, tidak dikafirkan walaupun ia adalah seorang Muslim yang telah derhaka dan berdosa. Menjadi tanggungjawab kita untuk berdakwah kepadanya agar meninggalkan kederhakaannya itu, tetapi jangan sekali-kali pula kita beri kata-dua kepadanya yang seolah-olah menyuruh untuk bertaubat atau keluar sahaja daripada Islam, atau membuat insinuasi supaya membelakangkan Islam kiranya ia tetap dengan maksiatnya.

Berbalik kepada penyakit kafir-mengkafir tadi, perkara seserius ini seharusnya tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran lain, contohnya pertembungan kelompok (sehinggakan terlalu mudah untuk mengkufurkan kelompok lawan) ataupun perasaan tinggi diri ("aku lebih berilmu dan tahu, mereka orang jahil"). Sebaliknya terlebih baik kiranya diutamakan cuma memahami sebaik mungkin isu-isu yang berkaitan, supaya kita dapat elakkan salah faham, salah tafsir ataupun ketidaktepatan dalam menilai, contohnya menggunakan neraca yang salah.

Sebagai contohnya, katakan apabila seseorang hendak dikatakan telah kufur kerana melakukan sesuatu perkara yang tertentu atau berpegang dengan sesuatu pegangan yang tertentu, soalan-soalan berikut harus ditanya dulu:
  1. Adakah perkara yang dilakukan atau dipegang tersebut termasuk perkara yang boleh menjatuhkannya murtad? Ini boleh dirujukkan kepada lima perkara di atas tadi.
  2. Sekiranya ya, maka adakah benar itu yang dilakukannya atau dipegangnya, dan bukan hanya persepsi atau tanggapan atau salah faham semata-matanya? Cara yang terbaik untuk memahami ini ialah dengan menanya sendiri kepada yang empunya badan.
  3. Sekiranya betul juga, dilihat pula adakah itu dilakukan memang dengan sukarela dan kesedaran yang jelas, serta mengetahui akibatnya, bukannya secara tidak disedari atau dipaksa atau terpaksa.
Kalau ya, juga, sebelum kita berkejar untuk mengkafirkannya, tanya diri kita dahulu, apakah kita boleh lakukan sesuatu untuk betulkan keadaan dan untuk sedarkannya daripada kekeliruannya, dan apakah manfaatnya untuk kita isytiharkan kekufuran tersebut. Hanya apabila telah tertutup semua pintu untuk menyelamatkannya barulah kita layak untuk labelkan, dan itupun untuk maslahah yang lebih luas lagi untuk menyelamatkan umat yang lain, bukannya untuk score points bagi menonjolkan diri atau kelompok sendiri. Sesungguhnya kesilapan mengkafirkan seorang yang beriman adalah lebih merosakkan lagi daripada tidak mengkafirkan seorang yang telah kufur.

Kesemuanya ini menuntut jiwa yang tinggi dan berlapang dada, ilmu yang luas dan mendalam, aqal yang kritikal dan berpandangan jauh, bersih daripada penyakit hati seperti ujub dan takbur, serta mengnyahkan sifat benci dan dendam kesumat tanpa asas jauh daripada diri. Namun apabila sebaliknya berlaku, punahlah diri nanti dalam kesesatan yang hakiki di sebalik mengkufurkan orang lain, akan binasalah ummah lantarannya.

WaLlahu a'lam.

Tahniah Di Atas Pengisytiharan Cuti Hari Jumaat Di Negeri Johor Darul Ta’azim

 
Kenyataan  Media
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
Cawangan Negeri Johor 
 
Tahniah Di Atas Pengisytiharan Cuti Hari Jumaat Di Negeri Johor Darul Ta’azim 

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Cawangan Negeri Johor mengucapkan tahniah dan menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Johor di atas pengisytiharan Jumaat dan Sabtu sebagai hari-hari cuti umum mingguan di negeri Johor Darul Ta’azim bermula pada Januari 2014 nanti. Cuti mingguan pada hari Jumaat amat besar ertinya dalam usaha menjunjung syi’ar Islam di Negeri Johor ini, dan amat bermanfaat bagi membolehkan umat Islam membuat persiapan menjalankan ibadah pada hari Jumaat dengan lebih tenang dan sempurna. Dari sudut sosial pula, cuti pada hari Jumaat membolehkan para bapa membawa anak-anak mereka untuk bersama-sama ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dengan pemerhatian mereka secara langsung.

2. Sehubungan dengan itu, IKRAM Negeri Johor berharap agar ketetapan cuti pada hari Jumaat itu dilaksanakan oleh semua pihak di negeri ini, bukan sahaja pihak kerajaan tetapi juga merangkumi semua sektor swasta dan institusi kewangan. Hal ini adalah untuk memastikan kemuliaan hari Jumaat itu dapat dikecapi oleh semua umat Islam daripada pelbagai sektor pekerjaan, di samping menjamin keharmonian dan kebersamaan keluarga yang mengandungi anggota daripada kedua-dua sektor awam dan swasta dengan cuti mingguan yang seragam.

3. IKRAM Negeri Johor juga menyeru agar pihak kerajaan terus berusaha menegakkan aspek-aspek lain dalam syari’at Islam untuk dilaksanakan di Negeri Johor Darul Ta’azim ini, agar kita sama-sama mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t., sesuai dengan firman Allah:

“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”
[Saba’ 34:15]

4. Sebagai kesinambungan daripada ketetapan berani yang telah diambil oleh Negeri Johor ini, IKRAM Johor menyeru agar Kerajaan Persekutuan juga mengambil keputusan yang sama untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti mingguan bagi seluruh negara, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan dengan hasrat untuk memuliakan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari dan untuk memudahkan umat Islam seluruh negara bersama-sama membesarkan dan memuliakan hari Jumaat dengan amal ibadah. 

Terima kasih, wassalam.
 
Prof Madya Hj Ainullotfi bin Dato’ Seri Abdul Latif
Yang Dipertua,
Pertubuhan Ikram Malaysia,
Cawangan Negeri Johor.

23 November 2013
19 Muharram 1435

Sunday, November 3, 2013

Doa Akhir dan Awal Tahun?

Menjelang akhirnya tahun Hijriah dan datangnya Awal Muharram kini, seperti tahun-tahun sebelumnya, banyaklah disebarkan mengenai apa yang dikatakan sebagai doa akhir tahun dan awal tahun untuk dibaca. Sebaran-sebaran itu selain daripada memberikan matan doa berkenaan, turut juga menyatakan kaifiat pembacaannya (contohnya, kena baca Surah Yaasiin dahulu kemudian baca doa tiga kali selepas solat 'Asar di hujung bulan Zulhijjah, bagi doa akhir tahun) malah juga fadhilatnya, termasuk penyesalan syaitan kerana manusia berkenaan membacanya. Di sesetengah masjid dan surau, siap ada pula majlis-majlis dibuat khas untuknya di hujung waktu 'Asar dan masuknya waktu Maghrib kelak.

Kita masih tertanya-tanya, dari manakah asalnya amalan ini? Tidak pula kita jumpa di dalam al-Qur'an mengenainya, dan di dalam sebaran yang dibuat itu, tiada pula disertakan hadits sahih mengenainya. Begitu juga, tidak kita ketahui amalan ini dilakukan oleh para Sahabat ataupun golongan Salaf.


Sebenarnya tidaklah salah untuk seseorang berdoa dengan caranya yang tersendiri, menggunakan kalimat-kalimat yang ia susun sendiri yang menggambarkan hasrat hatinya untuk disampaikan kepada Yang Maha Mendengar, walaupun bukan daripada apa yang ma'tsur. Itu bukan isunya. Namun apabila hal-hal yang sedemikian diberikan penekanan yang istimewa, disusun menjadi suatu upacara yang khusus, dan diulang-ulang sehingga menjadi suatu yang seolah-olah ibadat yang tersendiri dengan kaifiat yang tertentu juga, maka nyata amalan ini sudah melampaui batas harusnya dan memasuki ruang bid'ah.

Begitu juga, yang lebih membuat kita musykil ialah fadhilatnya. Di antara fadhilat yang pernah saya baca termasuklah:
  • Syaitan berkata, "Walaupun kami telah fitnahkan hamba Allah ini, si-fulan, sepanjang tahun, tetapi ia telah dihapuskan dalam satu saat dengan membaca doa akhir tahun".
  • Allah ampunkan dosanya yang telah lalu.
  • Syaitan berkata, "Telah memohon perlindungan si-fulan ini kepada Allah akan dirinya dan baki umurnya daripada godaan syaitan".
  • Allah utuskan dua malaikat untuk mengawalnya daripada godaan syaitan dan tenteranya.
Memberi fadhilat di atas amal ialah urusan Allah semata-mata. Sekiranya sesuatu itu tidak disebut di dalam al-Qur'an, dan tiada pula hadits Nabi s.a.w. mengenainya, siapakah lagi yang boleh menerobos ke alam ghaib lalu mendapat ilmu mengenainya langsung daripada Allah s.w.t.? Juga, bagaimanakah boleh seseorang mengetahui kalimat yang dituturkan oleh syaitan sedemikian, melainkan apa yang diceritakan di dalam nas dan sumber yang mu'tabar? Melainkan kalaulah seseorang itu mendapatnya daripada syaitan sendiri...

Sebarang pendustaan yang dilakukan di atas nama agama, termasuk mereka-reka cerita berkait dengan hal-hal ghaib, walaupun dengan niat yang baik supaya manusia beramal soleh, tetap salah dan merosakkan agama. Natijah daripada ini akan membawa kepada kesesatan, dan setiap yang sesat itu di dalam neraka tempatnya.


Kesemuannya ini sebenarnya berkait balik dengan persaksian kita dalam dua kalimat syahadah yang kita ikrarkan setiap hari, dan sama ada kita memahaminya betul-betul dan menjiwainya. Apabila kita mengikrarkan bahawa "Tiada Tuhan melainkan ALlah", kita memperakukan bahawa seluruh niat dan tujuan kita melakukan sesuatu amal hanya sanya kerana ALlah semata-mata, tidak kerana yang lainnya. Apabila kita lafazkan bahawa "Muhammad itu RasuluLlah" ia bukannya semata-mata mengiyakan hakikat sejarah yang telah berlaku, tetapi kita memperakukan bahawa amalan kita haruslah bertepatan dengan Sunnah yang diajarkannya sahaja, dan tidak mengambil agama ini daripada yang selain daripadanya.

Kita seharusnya sentiasa merasa cemburu dengan urusan agama, dan berjaga-jaga agar tidak mencampur-adukkan sesuatu yang sah dengan sesuatu yang tiada asalnya. Yang menjadikan umat yang terdahulu sesat ialah apabila mereka mengabaikan perkara ini, lalu kita lihat kini amalan mereka langsung tiada irapnya dengan apa yang Allah turunkan ke atas Nabi mereka. Walaupun mulanya sedikit sahaja menyimpangnya, akhirnya sudah jauh melencong. Di era Facebook, Twitter, WhatsApp dan seumpamanya kini, kita sepatutnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan apa sahaja yang kita terima, supaya kita tidak bersubahat menyebarkan bid'ah dan pendustaan atas nama agama, lantas membeli saham dalam api neraka.

WaLlahu a'lam.

Mercu Buana,
Ipoh.
30 Zulhijjah 1434.

Friday, October 18, 2013

Pendirian Pertubuhan Ikram Malaysia Dalam Isu Fahaman Syiah

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)


19 Oktober 2013 bersamaan 14 Zulhijjah 1434 H

Pendirian Pertubuhan Ikram Malaysia Dalam Isu Fahaman Syiah

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum berhubung fahaman Syiah dan penyebarannya di Malaysia. IKRAM menyedari kewujudan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 dan juga dari Majlis Fatwa Negeri-negeri yang memfatwakan bahawa fahaman Syiah adalah bercanggah dengan fahaman aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertentangan dengan hukum Syarak. Perkembangan terkini menunjukkan bahawa Syiah yang dahulunya terbahagi kepada beberapa aliran kini hampir kesemuanya menjurus kepada aliran Imamiah (juga dikenali sebagai Isna Asyariah atau Ja’fariyah) yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Dengan ini Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menegaskan pendiriannya bahawa Syiah yang diamalkan sekarang dengan jelas adalah sesat.

Berhubung dengan itu IKRAM
  1. menyokong keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan tindakan Majlis Fatwa Negeri-negeri yang telah mewartakan bahawa Syiah adalah sesat dan mengamalkannya adalah satu kesalahan,
  2. menyeru agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang berdakyah atau mengajak orang Islam di Malaysia kepada Syiah,
  3. bersetuju untuk bersama-sama memperbanyakkan aktiviti-aktiviti penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya Syiah,
  4. bersetuju untuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan, swasta dan NGO dalam menangani ancaman Syiah, dan
  5. menggesa kerajaan menilai semula kesan hubungan diplomatik, ekonomi, pendidikan, pelancongan dan lain-lain dengan kerajaan-kerajaan dokongan Syiah agar tidak menjejaskan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah: Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)


18 Oktober 2013 bersamaan 13 Zulhijjah 1434H

Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah:  Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin menyatakan kebimbangan mengenai tindakbalas masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 Oktober 2013 yang lalu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Sebagai sebuah NGO yang berprinsipkan Islam, yang meyakini bahawa Islam adalah agama dari Allah swt dan merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekelian alam, IKRAM ingin mengajak semua pihak untuk mengambil pendekatan yang bijaksana dalam mengurus perbezaan pandangan ini.

Isu ini akan berpanjangan jika dirayu di mahkamah yang lebih tinggi, dan banyak lagi kes-kes yang sedang dan akan dibawa ke mahkamah. IKRAM berpandangan tindakan merujuk kepada mahkamah adalah hak setiap orang untuk mendapatkan keadilan di bawah Undang-undang Malaysia. Ia adalah pendekatan yang baik jika jalan lain tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan hati pihak-pihak yang bercanggah.

IKRAM menyeru agar:
  1. rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian,
  2. semua pihak termasuk kerajaan, parti politik, NGO dan media massa berusaha untuk membina persefahaman antara kaum dan agama seperti yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain serta menghentikan provokasi perkauman dan keagamaan,
  3. usaha bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman di kalangan umat Islam diperhebatkan dengan penglibatan yang lebih berkesan oleh semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan media massa bagi menangani kegusaran banyak pihak tentang kerapuhan aqidah umat Islam,
  4. usaha bagi memberi kefahaman tentang ajaran Islam sebenar di kalangan orang yang bukan Islam hendaklah juga dipertingkatkan, dan
  5. program-program dialog antara agama hendaklah diperluaskan agar persefahaman dan perasaan saling hormat menghormati dapat dibina.

Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Nota:
Kenyataan Media IKRAM berkaitan isu kalimah Allah telah dikeluarkan pada 15 Januari 2013 dan boleh dibaca di sini:

Enemies vs. Adversaries

Artikel berikut keluar dalam International New York Times pada 16 Oktober 2013. Saya rasa artikel ini baik sekali dihadamkan oleh politikus kita.

Enemies vs. Adversaries 
By Michael Ignatieff 

TORONTO — For democracies to work, politicians need to respect the difference between an enemy and an adversary. 

An adversary is someone you want to defeat. An enemy is someone you have to destroy. With adversaries, compromise is honorable: Today’s adversary could be tomorrow’s ally. With enemies, on the other hand, compromise is appeasement. 

Between adversaries, trust is possible. They will beat you if they can, but they will accept the verdict of a fair fight. This, and a willingness to play by the rules, is what good-faith democracy demands. 

Between enemies, trust is impossible. They do not play by the rules (or if they do, only as a means to an end) and if they win, they will try to rewrite the rules, so that they can never be beaten again. 

Adversaries can easily turn into enemies. If majority parties never let minority parties come away with half a loaf, the losers are bound to conclude they can only win through the utter destruction of the majority. 

Once adversaries think of democracy as a zero-sum game, the next step is to conceive of politics as war: no quarter given, no prisoners taken, no mercy shown. 

For a long time now, the language used by both sides in American politics has been inflamed by bellicose metaphors. Elected officials “tear into” their opponents, “take the fight” to their opponent and engage — as we see clearly now, in the third week of the federal government shutdown — in the tactical equivalent of trench warfare. Where language leads, conduct follows. 

The problem is that politics is not war, but the only reliable alternative to it. Once we think of politics as war, battle cries drown out democratic persuasion. By slow degrees, belligerence and self-righteousness make cooperation impossible.

There cannot be much doubt that, in the impasse over the shutdown in Washington, and in the possibility of a default on the federal debt, we are seeing what happens when a politics of enemies supplants a politics of adversaries. 

Anyone who has lived in a dysfunctional or struggling democracy knows that a politics of enmity can end in rule by presidential decree, or even in political violence. Americans consider such scenarios unthinkable. Yet even if the standoff over the debt ceiling ends in a deal, it will already have exacted a brutal price. Extremists will come away believing that hostage-taking might work next time. When blackmail becomes standard practice, democracy is pulled a step closer to permanent paralysis. 

Some experts believe that the enmity mind-set simply reflects real divisions in the society at large. Inequalities in income, wealth and opportunity have soared, the argument goes, making it impossible for ordinary Americans to respect each other as adversaries. 

Other thoughtful observers argue — I think convincingly — that while factions at either end of the political spectrum do see each other as enemies, most Americans are actually not as divided as their politics makes them seem. The real problem, in this account, is the political system: districts drawn so that incumbents never face the challenge of reaching out beyond their own base; primary systems that reward extremist activists over moderate pragmatists; campaign finance rules that allow big, opaque donations by wealthy interests. 

From this perspective, the politicians aren’t so much reflecting the divisions in American society as they are exacerbating them, from the top down. 

The tendency is to magnify differences of policy into differences of conviction. For example, Republican and Democrat voters alike are ever more dependent on government programs like Social Security and Medicare, but you would never know this from the way Tea Party Republicans describe Obamacare as an assault on freedom. 

Politicians ratchet up manageable differences of policy into conflicts over identity and value. In this way, what Freud called the “narcissism of minor differences” drives party activists into closed worlds of discourse, while leaving the rest of Americans feeling that “the system” fails to serve them at all. They cease participating altogether, leaving the politicians to brawl in a deserted public square. 

Besides magnifying differences, the politics of enmity makes competition viscerally personal. The object is not to rebut what people say, but to deny them the right to be heard at all. Attack ads that deny standing have been a feature of American politics from Lyndon B. Johnson’s depiction of Barry M. Goldwater as mentally unstable menace to the “swift boating” of John F. Kerry. The politics of personal destruction have come to seem normal, even acceptable. 

More civility and gentility — being nicer — will not cure this. What needs to change are the institutions themselves, and they will only change when the political class in Washington realizes that, just as in American football, there are some hits that are killing the game. 

Saving the game means changing the rules. Until quite recently Americans believed their democracy was so exceptional that they had nothing to learn from other countries. Now, real dysfunction may make them look more carefully at how other democracies avoid gridlock. Britain, France and Germany, as well as Canada and Australia, have impartial districting commissions that prevent gerrymandering and force incumbents to reach out rather than play solely to their base. They have campaign finance rules that prevent rich cranks from funding rabid partisanship. They have rules to prevent politicians from grandstanding abuse of process in their legislatures. They have open primaries that prevent electoral capture by fanatics. If Americans still feel that other countries’ democratic practices have nothing to teach them, they can learn from reform at the state and local level. 

What’s indefensible is a political class that believes nothing better is possible — a class that benefits from enmity without realizing that the damage from it is corrosive, and possibly irreversible. 

Michael Ignatieff, a former leader of the Liberal Party of Canada, is the author, most recently, of “Fire and Ashes: Success and Failure in Politics." 

http://www.nytimes.com/2013/10/17/opinion/enemies-vs-adversaries.html

Penyamaran, Cable dan Know-who

Semasa menunggu membasuh kereta di Bandar Kluang setelah menghantar anak-anak ke Stesen Bas untuk kembali ke Kuala Lumpur pada hujung minggu selepas 'Idul-adhha baru-baru ini, tiba-tiba datang ramai anggota polis, baik bermotorsikal maupun berkereta, mengerumuni sebuah kereta yang diletakkan di situ.

Sedang mereka bercakap dengan tuan punya kereta, saya bertanyalah kepada seorang anggota polis di situ, apa perkaranya. Menurutnya ada orang buat laporan bahawa kereta tersebut mempunyai pelekat polis, dikhuatiri ada orang menyamar sebagai anggota polis. Saya tidak tahu apa tindakan seterusnya yang mereka ambil, tetapi kelihatanlah anggota polis ada melihat kad pengenalan orang berkenaan, dan kemudiannya pelekat tersebut diambil.

Tindakan menggunakan hubungan dengan pihak atau individu berkuasa ("cable") ini, ataupun berlagak sedemikian, merupakan satu penyakit yang serius di dalam masyarakat kita. Kita terlalu pentingkan "siapa" bukannya "apa", serta "know-who" bukannya "know-how". Seseorang yang melanggar undang-undang boleh dilepaskan daripada tindakan sekiranya ia mempunyai hubungan dengan orang-orang penting, atau setidaknya itulah persepsi kita. Saya rasa itulah yang mendorong tuan punya kereta tadi untuk letakkan pelekat polis pada cermin keretanya.

Sudah tiba masanya kita mengambil sikap yang lebih adil dan profesional dalam perkara-perkara seperti ini, di manapun kita berada. Pelekat tersebut tentunya tidak ada makna, kalau tindakan tetap diambil di atas sebarang pelanggaran undang-undang yang dilakukannya, walaupun mungkin betul ia berhak ke atasnya. Di peringkat yang lain, sekiranya kita punyai kuasa untuk tentukan sesuatu, orang yang rapat dengan kita tidak akan sibuk menggunakan "cable" kita, kalau kita tetap bersikap adil dan membuat keputusan berdasarkan kepada haknya.

Selagi mana amalan "cable" dan "know-who" tidak dibenteras, sampai bila-bilapun Malaysia akan terbelenggu ke belakang dan tidak akan maju ke hadapan, apapun wawasan yang kita laung-laungkan.

N.B.: Berbalik kepada kejadian tadi, saya rasa tindakan polis tersebut suatu yang patut disokong dan diambil tindakan serius, agar jangan ada lagi penyamaran berlaku oleh mereka yang tidak berhak. Saya ada ambil foto kejadian tersebut, tetapi seorang Koperal yang ternampak saya mengambil foto datang kepada saya dan meminta saya memadamnya...