Friday, February 22, 2013

Rasulullah bukan idola saya

Kini musim Maulud Nabi. Di Johor lumrah sambutan dibuat malah sehingga tiga bulan berikut tarikh cuti rasmi 12 Rabi’ul-Awwal. Banyak program disusun bagi memperingati RasuluLlah s.a.w. oleh masjid dan surau, malah sekolah dan pejabat juga. Semuanya elok dan baik-baik belaka, kerana sekurang-kurangnya membawa masyarakat mengenali dan mengingati Baginda. Selain itu kini telah banyak program yang turut mengajak orang ramai untuk memahami dan menghayati intipati perjuangan Baginda juga. Kita tidak perlulah masuk dalam polemik bid’ah atau tidaknya, kerana, apapun, sebarang program mengenai RasuluLlah s.a.w. tentunya lebih baik daripada banyak program yang lebih bersifat hiburan dan melibatkan artis yang hanya berbaur maksiat.

Dalam pada itu elok diperhatikan istilah dan tasawwur yang digunakan dalam mengajak masyarakat untuk lebih hampir kepada RasuluLlah s.a.w. dan mencintainya secara hakiki. Acapkali kita dengar penceramah menyebut “Jadikanlah Rasulullah idola kita dan idola keluarga kita”. Kita jelas faham apa yang dimaksudkan. Tetapi saya cukup alergik dengan perkataan idola yang disebut itu. Fahamkah yang menyebut itu apakah tasawwur yang tersirat di sebalik istilah tersebut?

Perkataan idola menjadi popular dalam masyarakat setelah hebahnya dan hebohnya program TV Malaysian Idol, yang sebenarnya ditiru daripada program serupa di Amerika, American Idol. Istilah idol diMelayukan sebagai idola.

Apakah maknanya idol itu? Kalau dalam Bahasa Inggeris, merujuk kepada Oxford Dictionaries, makna berikut diberikan:


Secara ringkasnya, idola atau idol asalnya bermakna berhala yang digunakan sebagai sembahan. Lalu kemudian dipanjangkan penggunaan kepada seseorang atau sesuatu yang dipuja atau dihormati (seolah-olah “disembah”). Kalau kita ambil pula perkataan idolatry maka ia bermakna penyembahan sesuatu objek fizika sebagi tuhan, atau suatu penghormatan yang melampau terhadap sesuatu. Seolah-olah suatu pendewaan.

Masyarakat Barat dan Bukan-Islam mudah menerima istilah seumpama itu, kerana mereka tidak cemburu dengan konsep penyembahan terhadap selain daripada Tuhan yang sebenarnya. Pada mereka Tuhan yang disembah manusia hanyalah satu juzu’ kecil dalam kehidupan, apatah lagi apabila mereka melihat benda-benda mengarut yang disembah oleh manusia yang sememangnya tidak layak diberikan penghormatan dan devotion. Maka tidak hairanlah kalau mereka sengaja menamakan artis yang menang dalam program tersebut sebagai American Idol, seorang yang dipuja oleh ramai. Malah mereka tidak kisahpun untuk menyebut seseorang itu sebagai Goddess, contohnya Screen Goddess, dalam menyifatkan seorang aktres tersohor Hollywood. Mereka tidak punya konsep uluhiyah yang nyata.

Seperkara lagi, apabila menyebut idola, biasanya disambung pula sebagai “idola yang dipuja ramai”. Puja, satu lagi istilah yang berbaur syirik. Mungkin ramai tidak menyedarinya, tetapi istilah puja berasal daripada istilah Hindu pooja. Ia daripada istilah Sanskrit, yang bermakna reverence, honour, adoration, or worship. Memang sepadanlah dengan idola. Perbuatannya puja, objeknya idola. Puja atau pooja ialah upacara penyembahan Hindu sebagai suatu pemuliaan kepada tuhan-tuhan mereka, baik di rumah atau di kuil.

Namun bagi kita, sewajarnya kita lebih berhati-hati. Nabi Muhammad s.a.w. bukan idola apatah lagi idola yang dipuja. Baginda bukanlah berhala kita, semoga dijauhkan daripada kita bermaksud sedemikian. Apapun maksud kita yang mulia, kita tak sewajarnya gunakan istilah itu, yang membayangkan suatu tasawwur yang asing daripada Islam. Walaupun ia berbunyi agak trendy dan seolah-olah mengikut citarasa anak muda dan orang modern zaman sekarang, sepatutnya kita janganlah turut mempopular istilah dan tasawwur tersebut. Biarlah kita warnai masyarakat dengan acuan dan adunan yang lebih asli daripada fikrah dan tasawwur Islam yang tulen itu sendiri.

Rasulullah s.a.w. ialah rahmatan lil-‘alamin. Baginda ialah sayyidul-mursalin. Baginda ialah khatimul-anbiya’. Baginda ialah qudwah hasanah. Baginda bukan idola atau pujaan. Tak payah kita sebut sedemikian. Demi ketauhidan yang jelas.

Sunday, November 18, 2012

Kempen Boikot Berkesan

Dulu ramai orang sangsikan kempen boikot, tetapi nyata ianya berkesan dan berjaya, apatah lagi sekiranya dilakukan seluruh dunia. Contohnya, di Malaysia, ada syarikat yang amat merasa terkesan dengannya, lalu cuba bertindakbalas mengatasinya dengan kempen memberikan burger percuma. Di Timur Tengah juga kita dengari bahawa oleh kerana kempen boikot ini, beberapa syarikat merubah sikap mereka.

Sebenarnya kita tidak berminat untuk memboikot syarikat-syarikat ini semata-mata kerana siapa diri mereka. Kita bukan dalam bisnes menyebabkan perniagaan rugi. Kita hanya boikot mereka kerana sokongan yang mereka berikan kepada entiti haram Zionis yang menjajah tanah Palestin. Kita boikot mereka kerana menyokong kekejaman dan pembunuhan tanpa peri kemanusiaan orang awam Palestin, terutamanya di Gaza. Kita boikot mereka kerana tidak sensitif terhadap pemusnahan rumah-rumah dan kebun- kebun pertanian warga Palestin.

Kalaulah syarikat-syarikat ini hentikan sokongan tersebut, dan kembalikan simpati dan dokongan terhadap mangsa-mangsa kezaliman itu, kita dengan teramat sukacita akan segera hentikan boikot kita. Tiada masalah. Tiada isu.

Tetapi selagi hati mereka kering, menyepikan keadilan, membelakangkan kemanusiaan, maka mereka tidak berhak mendapat walau sesenpun duit kita. Kita tidak mahu bersubahat.

Berbalik kepada burger percuma yang mahu diberikan tersebut, apakah mereka menilai hati nurani (conscience) kita, dhamir kita, begitu murah sehingga boleh dibeli dengan sebiji burger dua tiga ringgit? Apakah mereka mengira terlalu laparkah kita?

Di dalam sebuah hadits disebutkan:

“Barangsiapa berjihad (melawan) mereka dengan tangannya maka ia adalah mu’min, barangsiapa yang berjihad (melawan) mereka dengan lisannya maka ia adalah mu’min dan barangsiapa yang berjihad (melawan) mereka dengan hatinya maka ia adalah mu’min.”

Jihad dengan hati: jihad dengan rasa benci, marah, menjauhkan diri dan memboikot - adalah tingkat iman yang paling rendah. Sekiranya kita tidak langsung sanggup berjihad dengan hati dan sikap kita, maka tidak ada iman lagi setelah itu walau sebesar pasirpun.


---
Laman web bagi International Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Movement:
http://www.bdsmovement.net/

Friday, November 16, 2012

Jangan diulangi propaganda mereka

Masih ramai yang tidak faham atau tidak mahu faham rentetan peristiwa yang membawa kepada keganasan ke atas Gaza kini. Ramai yang masih menyalahkan roket-roket Palestin ke atas entiti haram Zionis tersebut.
  
Kota Gaza dibedil dari udara, laut dan darat.

Isu roket yang ditembakkan dari Gaza sebenarnya berurutan seperti berikut:

1. Ia bermula dengan pencerobohan tentera Zionis memasuki Gaza hampir dengan Khan Younis pada 8 November, membunuh seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, yang sedang bermain bola.


2. Dua hari kemudian pejuang-pejuang Palestin menyerang patrol tentera Zionis yang mengepung Gaza.


3. Seterusnya pihak regim merespon dengan menyerang perjiranan awam di Gaza, membunuh 4 orang awam termasuk 2 orang kanak-kanak yang juga sedang bermain bola. Fikirkan, adakah remaja-remaja yang bermain bola ancaman yang serius kepada keselamatan negara Zionis itu?


4. Seterusnya berlakulah saling balas-membalas serangan di antara kedua belah pihak.


5. Walau bagaimanapun dalam 24 jam sebelum peristiwa terakhir ini, telah berlaku pengenduran keganasan daripada kedua-dua belah pihak, berikutan usaha-usaha gencatan senjata yang diaturkan oleh Mesir.


Selesai isu roket.

  
Petugas BBC Jihad Masharawi meratapi pembunuhan anaknya Omar,
11 bulan, yang menjadi korban serangan roket Zionis.

Sebaliknya, pihak Zionis sengaja menghancurkan suasana tenang tersebut dengan serangan ke atas al-Jaabari dan yang lain secara besar-besaran 24 jam setelah itu. Malah setelah ada pula pengumuman oleh Menteri Kabinet entiti haram Zionis tersebut menyebut mengenai gencatan senjata itu.


Serangan tersebut sebenarnya telah dirancangkan berbulan-bulan sebelum ini, dan tiada kaitan dengan roket yang dilepaskan oleh pejuang Palestin. Tambahan pula, tiada satu nyawapun yang hilang kerana roket-roket tersebut sebelum ini. Sebaliknya kini sekurang-kurangnya sudah tiga orang Yahudi mati lantaran roket.


Serangan ke atas al-Jaabari tersebut berkait dengan penahanan oleh pejuang Palestin ke atas Gilad Shalit, seorang askar Zionis yang ditawan di pos sempadan. Regim Zionis mahu membalas dendam ke atas beliau.

  
Inikah sebabnya Netanyahu menyerang,
dua bulan sebelum pilihanraya di entiti Zionis tersebut?

Namun kenapakah pula seluruh Gaza dibom tidak sudah-sudah, mengancam nyawa penduduk orang awam Gaza? Tentunya ia berkait dengan sikap "wild west" Netanyahu, yang memandang dua bulan ke hadapan terhadap pilihanraya entiti hatram Zionis tersebut. Ingat, suasana sebeginilah juga berlaku empat tahun lepas.


Fikirkan, siapa yang bersalah? Jangan terpengaruh dengan propaganda mereka, walaupun diulang-ulangi oleh media perdana.

Thursday, November 15, 2012

Keganasan Zionis Menjelang Awal Muharram


Awal Muharram 1434. Hari bermulanya tahun baru Hijrah. Namun hari ini bukannya hari ceria. Kita dikejutkan dengan berita serangan mendadak regim Zionis ke atas Gaza. Lagi. Yang disasarkan ialah Ahmad al-Jabari, Komandan Briged Izzuddin al-Qassam, sayap tentera Hamas. Keretanya telah dibom daripada pesawat terbang sambil beliau dan pembantunya bergerak di Kota Gaza.
  

Namun bukan beliau sahaja yang menjadi sasaran. Sehingga kini serangan ke atas seluruh Gaza dari utara ke selatan berlaku bertubi-tubi, baik oleh pesawat terbang maupun daripada kapal perang yang berlabuh di Laut Mediterranean. Mereka menembak dari jauh. Sehingga kini seramai sebelas orang Palestin telah syahid, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan dan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun. Lebih seratus orang dilaporkan cedera, ramai yang parah, selain daripada kerosakan terhadap bangunan dan kemudahan awam.

Regim Zionis belum menunjukkan rasa puas. Tanda-tanda nyatakan menampakkan mereka mahu terus membelasah, meningkatkan lagi keganasan ke atas orang awam. Pesawat udara Zionis dikhabarkan menaburkan risalah di Utara Gaza memaklumkan mereka akan turuti pula dengan serangan darat dalam masa singkat.

Jurucakap Presiden Amerika sekali lagi mengulang-ulangi bahawa tindakan regim Zionis tersebut suatu yang berpatutan, bahawa mereka hanya "mempertahankan diri" daripada serangan roket pejuang Palestin. Namun apakah yang diharapkan daripada Rumah Putih yang memang sudah dibelenggu puak Zionis yang menguasai tapak-tapak kuasa di Washington? Beranikah Presiden Amerika berkata sebaliknya, Obama atau tidak?
  

Namun hakikatnya, bagi yang meneliti peristiwa-peristiwa terakhir yang membawa kepada kejadian kelmarin, nyatalah bahawa yang dizalimilah yang akan dilakarkan sebagai pesalah oleh media Barat. Rentetan apa yang berlaku, bermula pada 8 November apabila tentera Zionis menceroboh memasuki Gaza hampir dengan Khan Younis, membunuh Ahmad Abu Dhakka, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, yang sedang bermain bola [1].
 
Dua hari kemudian pejuang-pejuang Palestin menyerang patrol tentera Zionis yang mengepung Gaza, dan pihak regim merespon dengan menyerang perjiranan awam di Gaza, membunuh 4 orang awam termasuk 2 orang kanak-kanak yang juga sedang bermain bola. Seolah-olah remaja-remaja yang bermain bola merupakan ancaman yang serius kepada keselamatan negara Zionis itu. Seterusnya berlakulah saling balas-membalas serangan di antara kedua belah pihak.
  
Walau bagaimanapun dalam 24 jam sebelum peristiwa terakhir ini, telah berlaku pengenduran keganasan daripada kedua-dua belah pihak, berikutan usaha-usaha gencatan senjata yang diaturkan oleh Mesir. Namun pihak Zionis sengaja menghancurkan suasana sepi tersebut dengan serangan ke atas al-Jabari dan yang lain secara besar-besaran.
  
  
Ini menimbulkan pertanyaan, apakah yang dikehendaki oleh pihak regim pendudukan haram tersebut dengan meningkatkan kembali keganasan ini? Jawapannya mudah sahaja. Pihak Zionis akan mengadakan pilihanraya tidak lama lagi. Perdana Menteri Netanyahu ingin sekali untuk menunjukkan "kejantanannya" di kalangan puak-puak sayap kanan yang gila-perang, bahawa hanya dialah yang mampu memberikan "keselamatan" kepada bangsa Yahudi tersebut.
  
Pembantaian di Gaza telah pernah menjadi strategi pilihanraya sebelum ini. Dalam tahun 2008-2009 gandingan Tzipi Livini dan Ehud Barak serta Olmert membunuh 1,400 warga awam Palestin di Gaza sebelum pilihanraya juga [2]. Namun Netanyahu lupa, mereka kecundang dalam pilihanraya tersebut. Mungkin perkiraannya kali ini, 1,400 belum cukup, malah perlukan lebih nyawa Palestin. 3,000? 5,000? Apapun, nyata nyawa orang Palestin terlalu murah untuk dipertaruhkan bagi kepentingan peribadi beliau agar dapat terus kekal sebagai Perdana Menteri!


Satu lagi perspektif yang merisaukan regim Zionis tersebut ialah suasana "normal" yang sebelum ini wujud di Gaza telah mengundang dokongan negara-negara Islam yang bersimpati, terutamanya setelah berlakunya perubahan pemerintahan di Mesir. Sekatan di Rafah sudah hampir tidak berkuatkuasa lagi, dan pemimpin-pemimpin Hamas dari Gaza bebas keluar masuk untuk berhubung dengan dunia luar secara bersemuka peribadi. Lebih menggawatkan, Amir Qatar pula telah "berani" untuk datang bertandang sendiri ke Gaza baru-baru ini, membawa bersamanya ratusan juta dolar bantuan pembangunan. Sekiranya ini dibiarkan tentunya Gaza akan berkembang maju, serta bebas daripada orbit Pihak Berkuasa Palestin di bawah Abu Mazen (Mahmud Abbas) yang lebih mesra-Zionis.

Pertimbangan-pertimbangan lain termasuk menguji "kesetiaan" Presiden Obama yang baru dipilih semula untuk penggal kedua, dan tidak perlu pula untuk risau dipilih lagi. Apakah beliau akan bertindak lebih bebas menurut kata hati kecil (conscience)nya kali ini? Atau apakah mereka mahu menolak Presiden Mursi, yang berasal dari Ikhwan Muslimin, di Mesir ke suatu sudut, mengetahui bahawa beliau tidak mempunyai banyak ruang bergerak secara realistik, memandangkan permasalahan ekonomi dan politik yang gawat di Mesir?
  
Setakat ini cuma Mesir dikhabarkan sudah mengambil tindakan bagi pihak Palestin. Presiden Mursi telahpun memanggil pulang Dutanya ke Tel Aviv ekoran krisis tersebut. Sidang Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu dikatakan telah dipanggil, tetapi ada laporan juga mengatakan ia dibatalkan. Apapun, pastinya Amerika akan segera memveto sebarang tekanan ke atas sekutunya yang tersesar tersebut.


Apapun, tekanan ke atas regim Zionis hendaklah diteruskan dan ditingkatkan, supaya mereka tidak berbuat sesuka hati mereka sahaja ke atas Gaza. Pencinta-pencinta keadilan dan kedamaian di mana sahaja berada haruslah lakukan apa yang perlu untuk pastikan ini berlaku. Isu ini bukannya "isu mereka (orang Palestin)" sahaja. Kempen-kempen hendaklah dipertingkatkan di merata dunia, termasuk di tanahair kita di Malaysia ini. Kerajaan hendaklah didesak untuk mengambil tindakan bermakna, menyatakan keprihatinan kita terhadap krisis ini dan kesannya terhadap penduduk Gaza.
  
Pendustaan maklumat dalam media dan minda masyarakat hendaklah segera dibersihkan. Setiap orang daripada mana jua sudut, latarbelakang dan perspektif politik harus mainkan peranan masing-masing. Perkara ini menjadi lebih penting bagi umat Islam, yang memang sepatutnya tahu apakah kebenaran, keadilan dan hakikat di Palestin dan di al-Quds. Mesej ini hendaklah nyata kepada dunia, dan sampai kepada regim Zionis dan pendokongnya di Rumah Putih.
  
Ainullotfi al-Fikri
Skudai
1 Muharram 1434H 
  
  
Rujukan:
[1] Wawancara Aljazeera dengan Ali Abunimah (Electronic Intifadah),  http://www.youtube.com/watch?v=1vUUgCptqpw&feature=g-high-u.
[2] Ahmad Moor, "Israeli elections .. and death in Gaza", Mondoweiss, The War of Ideas in the Middle East, 14 November 2012, http://mondoweiss.net/2012/11/israeli-elections-and-death-in-gaza.html.

Wednesday, November 14, 2012

We Will Not Go Down ... In Gaza Tonight!

Michael Heart
We Will Not Go Down lyrics

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=dlfhoU66s4Y 


A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they're dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who's wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Monday, August 8, 2011

Kisah Pak Ali dan Pak Belang...

Kisah ini kisah Pak Ali dan Mak Mela. Pak Ali dan Mak Mela ni tinggal di Kampung Senandong. Kampung ini agak terpencil sikit, di kaki Banjaran Titiwangsa. Kira betul-betul di sebelah hutan belantara yang belum diteroka lagi.

Pak Ali ini, selain daripada bekerja kampung sebagai petani, juga adalah Tok Sidang di kampung tu dan ramailah anak buahnya yang tinggal di kampung tersebut. Pasangan tersebut dikurniakan tujuh orang anak, ada yang sudah besar di sekolah menengah, anak yang masih kecil lagi di sekolah rendah, dan ada yang masih belum sekolah lagi. Rumah Pak Ali memang betul-betul di pinggir kampung, di sebelahnya memang sudah hutan banat juga. Tapi Pak Ali memang suka tinggal di situ, sebab tanah di situ boleh luas menanjur ke hutan, tak ada siapa yang nak kacau dia.

Perangai Pak Ali ni, memang ada "hentak" sikit. Maklumlah, Tok Sidang. Kena jaga kelas, tak boleh sama dengan orang kampung lain. Walaupun berharap kepada elaun Tok Sidang yang tak seberapa tu di samping hasil-mahsul kerja petaninya di tanah yang sekangkang kera sahaja, kehendaknya tinggi. Di rumahnya macam-macam ada, ada TV flat screen siap dengan Astronya, perabut tukar setiap Raya, dalam lemari perhiasan tu, tak kurang dengan Queen Anne nya juga. Ya lah, kalau anak buahnya orang kampung datang, semuanya memuji hebatnya rumah Pak Ali. Pak Ali dan Mak Mela pun tersengih-sengih senyum bangga. "Eh, tak ada lah.. heh heh..." katanya merendahkan diri. Hati tak terkata sukanya.

Namun duit masuknya sikit sahaja. Anak ramai. Jadi anak-anaknya macam terbiar sikit. Duit untuk beli makananpun selalu bercatu. Kekadang anak-anak berebut-rebut untuk menjamah lauk yang tak seberapa, walaupun sekali sekala bila ada acara penting, ada pula duit untuk menjamu tetamu dengan agak mewah sikit. Kena jaga status, kan? Masa tu, anak-anaknya apa lagi, tak kasi canlah nak makan sedap dan kenyang.

Walaubagaimanapun, masa hari biasa, anak-anak kena bertahan perut sikit lah, terutamanya anak-anak yang kecil, sebab kalah berebut dengan abang-abang dan kakak-kakak yang lebih cepat. Tapi sebab duduk di kampung, anak-anak ni pandailah mencari sendiri apa yang boleh di makan di luar sana. Kekadang mengesot di rumah jiran sebelah, kekadang memanjat pokok buah-buahan, sekadar untuk mengisi perut. Yang adventurous sikit ada yang suka merayau-rayau jauh hingga ke dalam belukar atau pun hingga ke dalam hutan dara. Tambah pula, kat dalam sana tu banyak pokok buat yang ranum-ranum belaka.

Satu hal lagi, dek kerana kawasan ni kawasan hutan belantara yang bersambung ke hutan di Banjaran Titiwangsa, memang banyaklah binatang buas di dalamnya. Tiap tahun saja memang ada kisah orang kampung yang kena baham dek rimau ke, kena sondol dek babi hutan ke, malah ada yang kena pengan beruang liar. Baru-baru ni pun sudah heboh Siti anak si-Goyah tu habis tersirat-sirat kena baham dek rimau. Kesian nengok si-Goyah yang janda tu menangis berminggu-minggu mengenangkan anaknya. Semua orang kampung simpati tetapi tak boleh nak buat apa. Sudah suratan takdir.

Nak kena cerita, satu hari si-Lin anak kecil Pak Ali yang belum sekolah tu dok merayau mencari buah di tepi belukar. Mula-mulanya ikut abangnya si-Junid tapi entah macam mana abangnya balik, adiknya tertinggal leka seorangan. Buah rambutan pulak memang banyak dan lekang. Seronok dia makan sampai tak sedar diri. Yalah, pagi tadi semasa sarapan, dia tengah tidur abang-abangnya tak kejutpun, bila bangun dah habis. Budak kecillah katakan.

Rupa-rupanya berdekat ada Pak Belang sudah lama memerhati. Tapi si-Lin ni masih tak sedar lagi. Perlahan-lahan Pak Belang menjengkit-jengkit mendekati. Tapi sebab di masih di belukar lagi, tak ada pepohon yang tinggi. Sang Rimaupun sudah keluar dari sebalik hutan dan tidak lagi terselindung.

Nasib baik secara kebetulan ada Pak Ghani lalu di dekat situ, dia nak ke sungai yang tak jauh dari sana, nak mengail. Lalu terpandanglah dia ada harimau di belakang belukar, dan ternampaklah pula dia akan si-Lin anak Pak Ali tak jauh dari situ. Lalu hebohlah dia, berpekik-pekik dan melaung-laung sampai satu kampung jadi terkejut. Pak Ali yang sedang menengok Astro di rumahpun segera mengokkan apa halnya. Rupa-rupanya anaknya dalam bahaya.

Bagaikan refleks, terus dia mencapai senapang patahnya dan bergegas keluar, meluru ke arah hutan belukar. "Sana nun, sana nun", kata Pak Ghani. "Rimau nak menerkam anak kamu!" Apatah lagi, dengan rasa cemas, dia meluru ke situ, lalu dilihat memang ada seekor harimau yang besar sudah beberapa meter dari anaknya, yang agak terselindung di sebalik belukar juga kerana kecilnya.

"Berdentum! Dentum!" bunyi senapang Pak Ali. Dua das tembakan ditujukan. Peluru yang pertama tersesar tak mengena, tapi yang kedua terkena kaki harimau tersebut. Namun Pak Belang sempat lari walau berdengkot-dengkot. Anak Pak Ali terpinga-pinga dengan semua kejadian yang berlaku, lalu menangis kuat, rasa bersalah agaknya.

Satu kampung dah berada di situ setelah mendengar kecoh-kecoh yang berlaku. Ramai yang memuji Pak Ali kerana berjaya menyelamatkan anaknya.

"Mujur kamu ada..." kata seorang. "Kalau tidak udah inna liLlahi jadi juadah Pak Belang si-Lin tu..."

"Ha'ah," sambut temannya. "Macam si-Siti anak si-Goyah tu dulu... kesiaaaann!"

Kemudiannya semua orang semakin hangatlah membincangkan bagaimana liar dan ganasnya sang harimau... lalu keluarlah cerita-cerita ngeri secara terperinci bagaimana sebelum-sebelum itu harimau memamah dan membaham mangsa-mangsanya... penuh grafik sekali! Keluar cerita pula bagaimana dilihat dalam video terburai perut si-mangsa dilantak oleh sang harimau yang lapar itu... jadi topik yang meriah pula mereka berbual.

"AlhamduliLlah... ALlah nak selamatkan si-Lin lagi... kita patut semua bersyukur" ujar Mak Mela seraya menarik nafas panjang, sambil makcik-makcik lain mengangguk mengiakannya.


Pak Ali pula menyampuk, "Aku, kalau aku dapat rimau tu nanti, akan aku patah-patahnya tulangnya... ada ke nak dikacaunya Lin anak comel aku tu!" seolah-olah membayangkan rasa geramnya, sambil disetujui oleh anah-anak buahnya yang kini sudah bagai memandangnya sebagai seorang hero baru berjaya menumpaskan musuhnya.

Namun cerita ini tak habis di situ sahaja. Esoknya apabila kisah ini sudah heboh ke semerata tempat, termasuk ke bandar berdekatan, sekumpulan yang menggelar diri mereka Pencinta Haiwan Liar merungut, mengatakan bahawa kenapa disalahkan harimau tersebut, dia cuma nak cari makan sahaja... mujur tak mati kena tembak, tapi kesian harimau itu cedera. Rupa-rupa spesis harimau tersebut sudah hampir pupus terutamanya di tempat asalnya dan kini cuma tinggal beberapa puluh ekor sahaja yang hidup...

Meledak lagi satu pertikaian pula. Itu kita masuk bab lain pula, adanya.


Kisah ini hanya patut dibaca oleh mereka yang berfikiran kritis sahaja. Boleh saya katakan, ia tiada kena-mengena dengan sebarang kejadian sebenar baik secara langsung atau tidak langsung, masa kini atau telah lepas? Sebarang persamaan, jika wujud, hanyalah kebetulan sahaja. :-)

Monday, July 4, 2011

Meluaskan Kerjasama Dalam Perkara Yang Disepakati

Kita berjuang di atas landasan yang lurus dan benar, berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Ada kalanya sebahagian aspek daripada perjuangan kita itu disepakati dan dikongsikan juga oleh orang lain, contohnya di dalam menuntut agar keadilan dilaksanakan dan penyelewengan dalam pemerintahan dihapuskan. Maka kita bekerjasama dengan semua mereka yang berkongsi dengan pendirian kita tersebut dalam isu berkenaan, dan kerjasama itu kita gerakkan secara bersungguhan.

Namun tidak menjadi pelik pula di kala yang lain, kita mungkin bertembung dengan orang-orang yang sama dalam maudhu' yang lain, kerana ketika itu pendirian kita amat berbeda. Itu tidak menjadi hal, dan menjadi asam garam perjuangan. Kita tidak meminta maaf lantarannya.

Seandainya kita bekerjasama dengan seseorang hanya apabila ia bersetuju dengan kita 100%, maka kita akan perhatikan bahawa akhirnya kita akan bersendirian dan tiada suatupun projek kita akan kita kongsikan bersama sesiapapun, melainkan dengan ahli-ahli kita sahaja. Ini tidak menguntungkan dakwah. Sedangkan dakwah itu menuntut supaya kita lebarkan risalah kita selebar yang mungkin, mengikut sebarang ruang yang ada.

Peluang bersama dengan seramai mungkin manusia adalah penting agar kita dapat jalinkan hubungan peribadi dengan mereka bagi membolehkan mereka mengenali dan bertakruf dengan kita sedalamnya. Pengalaman menunjukkan bahawa apabila seseorang lebih kenal dengan kita dan memahami fikrah kita, mereka akan lebih hormati kita kerena prinsip kita, walaupun mereka tidak bersetuju dengan kita. Mereka akan lebih bersopan dengan kita dan tidak menghentam kita secara membabi-buta, berbanding dengan kalau mereka tidak mengenali kita.

Dengan sebab yang sama juga, sekiranya kita tidak bersefahaman dengan pihak lain, jangan sesekali kita serang mereka secara peribadi atau secara kurang sopan (seperti memaki hamun atau menggunakan kata-kata kesat dan buruk). Kita cuma perlu sanggah prinsip dan pendirian mereka dengan hujjah dan dalil, dan patahkan argumen mereka dengan argumen yang lebih baik. Hanya dengan sedemikian orang akan melihat kita sebagai berprinsip, dan bukannya mengambil pendirian kerana menurut puak atau mengikut orang atau sebagai lalang. Hanya dengan sebegitu sahajalah orang akan menghormati kita.

Kita seharusnya menjaga hubungan hati sesama manusia dan jangan mengguriskan hati-hati manusia tanpa sebab yang hak. Ini memungkinkan peluang terus dibuka untuk mereka datang kepada kita kemudiannya. Sedangkan kalau kita bersifat buruk dengan mereka, tentunya hati-hati mereka akan tertutup dan termetri terus daripada mahu bersama kita.