Sunday, August 23, 2009

Mengenai Hakikat dan Dongengan


Niat yang baik tidak cukup untuk membenarkan sesuatu tindakan.

Salah satu daripada prinsip Islam yang asasi ialah berpegang kepada hujjah yang sahih dan sumber yang betul. Untuk memastikan perkara ini Islam telah mendahului tamaddun lain dengan menekankan sistem rujukan yang baik. Ini dapat kita perhatikan daripada cara pengumpulan hadis, di mana para Imam-imam Muhadditsin begitu menjaga sekali sumber sesuatu cerita didatangkan, dengan memastikan sanad yang berterusan ke asal cerita, dan perawi yang boleh dipercayai.

Bagi kita yang menjalani penyelidikan, perkara ini juga amat dipertekankan: lihat sahaja betapa pentingnya rujukan dan bibliografi yang kita letakkan di hujung setiap makalah dan tesis kita.

Kiranya ini begitu sekali dilakukan di dalam penyelidikan kita dalam perkara-perkara duniawi, maka tentunya penekanan yang lebih penting akan diberikan kiranya kita menyentuh urusan keagamaan dan perkara ghaib.

Dalam konteks kita sekarang ini... tentunya boleh kita berikan dalih bahawa "kita ambil sahaja pengajaran yang hendak diberikan". Namun di situ ada satu lagi perkara asas yang perlu dipertimbangkan. Cerita-cerita yang ganjil-ganjil selalunya bersumber daripada fikrah yang menekankan suasana yang sedemikian juga... Ia membentuk suatu pemikiran yang tidak kritikal dan terlalu bergantung kepada emosi, bukannya hujjah, seperti sepatutnya. Hasilnya ialah ia akan membelenggu pemikiran ummat dan menyusahkan untuk dicelikkan kepada rasionaliti dan hujjah kelak, kalau dibiarkan berleluasa.

Saya bukannya menafikan banyak benda yang ganjil berlaku dalam konteks hubungan kita dengan Tuhan. Tetapi biarlah setiap unsur itu tidak di blown out of proportion, dan diletakkan pada asasnya yang betul. Keimanan kita bukannya diasaskan kepada keganjilan tersebut, sebaliknya ke atas hujjah Islam itu sendiri, sama ada benda ganjil itu berlaku atau tidak.

Begitu juga, benda-benda ganjil bukan sahaja berlaku dalam Islam, tetapi juga dalam agama-agama lain... malah kadangkala lebih hebat lagi... Kalau dalam agama Hindu, ada keupayaan dicucuk besi dan berjalan atas api... begitu juga dalam kefahaman sami-sami Shaolin... Dalam agama Katolik kita dengari peristiwa appatrition of the Lady of Fatima, di mana kononnya Maryam ibunya Nabi Isa a.s. menjelma kepada beberapa orang kanak-kanak... Sebut sahaja apa agama, tentu adanya cerita-cerita ganjil sebegini... malah pada orang asli (baik di Malaysia maupun kaum asli di Australia atau di tempat lain) pun ada...

Hakikatnya... setiap keganjilan ini bukanlah hujjah dan bukti kepada kebenaran itu sendiri, dan penerimaan kita terhadap kebenaran seharusnya independent of such events. Betapa ALlah meletakkan hujjah dan rasional begitu tinggi sekali, bagi ummat Nabi Muhammad ini ALlah meletakkan mu'jizat yang paling besar ialah al-Qur`an, yang abadi, bukannya sesuatu kisah yang ganjil yang kelak akan ditinggali zaman (benda yang pelik dahulu kini banyak yang dah tak pelik lagi...). Sebaliknya al-Qur`an itu diasaskan di atas bayyinat (yang jelas), dan al-Qur`an mencabar pemikiran yang kritis dengan cabaran yang abadi juga agar didatangkan satu surah hatta ayat yang setanding dengannya.

Wallahu a'lam.

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

Artikel ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 6 Ogos 1996

Pelik?


Artikel ini pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 17 September 1996,
ditulis sebagai response kepada isu yang diketengahkan dalam MSM-Net mengenai fenomenon para artis yang memulakan konsert rock dengan "BismiLlah" dan "Assalamu 'alaykum", malah bersyukur kepada ALlah di atas kejayaannya dalam arena muzik tersebut.

Adakah ini suatu petanda baik? Atau adakah ini menggambarkan suatu keadaan masyarakat yang keliru tentang Islam?


Dalam menangani fenomenon percampuran yang ma'aruf dengan yang munkar ini, kita boleh melihatnya daripada beberapa perspektif.

Amalan seperti memulakan sesuatu kema'siyyatan dengan "BismiLlah" - seperti sebelum meminum arak, atau untuk memulakan konsert rock dsb, atau berdoa agar menang loteri, adalah sesuatu yang bid'ah dan tertolak... tertolaknya bukan kerana "BismiLlah"nya atau doanya, tetapi kerana ma'siyyat yang hendak dilakukan.

Namun dalam hal ini kita boleh bahagikan perbuatan sedemikian kepada dua jenis: pertamanya, dilakukan kerana telah menjadi kebiasaan/kelaziman atau kerana kejahilan, dan keduanya, dengan tujuan menghina dan mengejek agama (blasphemy).

Kedua-duanya menunjukkan keadaan yang negatif, tetapi yang pertama membayangkan satu trend yang positif, sedangkan yang kedua sebaliknya. Kita tentunya tidak suka kalau para artis kita bersifat dengan sifat yang kedua, seperti yang berlaku di Barat ini...

Banyak orang hanya melihat da'wah itu sebagai mencetuskan perubahan ke arah yang mencapai kesempurnaan... umpamanya, kalau boleh dinisbahkan dengan peratusan... maka 100%.

Namun da'wah itu seharusnya kita bayangkan sebagai usaha ke arah pembaikan... contohnya, kalau asalnya -100... kalau dapat kita tukar menjadi -50, ianya juga satu petanda kejayaan. Kalau -50 menjadi 0 juga kejayaan... apatah lagi kalau 0 menjadi + 50 dan seterusnya +100.

Begitu juga dalam merubah sikap manusia terhadap Islam dan perjuangan Islam. Kalau dulunya dia benci sangat... maka kita berjaya merubah pandangannya menjadi neutral... maka tidakkah itu ada hasilnya...?

Setiap orang mempunyai potensi untuk dikembalikan kepada fitrahnya, walau sebegitu jahat sekalipun. Itulah yang diajarkan oleh ALlah apabila Ia memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. menemui Fir'aun (yang sememangnya pun kita ketahui dilaknati ALlah - yakni lost case), dan menyampaikan da'wah kepadanya. Malah terlebih halus lagi... ALlah tidak pula memerintahkan kedua Nabi yang mulia itu untuk mencaci dan mencercanya, malah ALlah memerintahkan mereka untuk menggunakan "qawlan layyina" ... perkataan yang lembut dan lunak. [re.: surah Tha Ha]

Ini tidak pula menggambarkan bahawa keduanya telah akur atau tunduk kepada Fir`aun... kerana "tidak tegas" atau seumpamanya. Malah sebaliknya, pendirian kedua-dua mereka mantap sekali. Cumanya ALlah mengajar kita kaedah berda'wah dan berdepan dengan orang yang hendak kita serukan kepada Islam itu... dengan akhlaq dan keperibadian yang mulia, dan yang "attractive", bukan "repulsive"...

Saya teringat satu anecdote yang diceritakan oleh seorang rakan yang pergi ke Turki semasa pilihanraya di sana baru-baru ini, betapa ada antara aktivis Refah yang hatta berinteraksi dgn pelacur jalanan dan memberikan bunga kepada mereka (jangan silap sangka pula... bukannya aktivis lelaki yang buat kerja ni...), dalam menyampaikan risalah mereka... rather than condemning them outright, given the circumstances... This however does not mean that these activists telah menghalalkan pelacuran atau condon it... malah sebaliknya.

Bagi para du'at everyone is a potential friend and ally (melainkan yang terang-terang menentang agama ALlah... yang kita sendiri tak boleh nak bagi apa dalih sekalipun terhadap tindakannya...) Kalau mereka buat dosa dan kesalahan... maka besarlah tanggungjawab du'at untuk menyedarkannya dan membetulkannya.

ALlah jualah yang memberikan hidayah.

Wassalam.

Ainullotfi bin Abdul Latif

Di Antara Hati dan Otak


Pertama kali disebarkan di dalam MSM-Net pada 25-Julai-1996


Semasa di ODC (Outdoor Camp - Perkhemahan Musim Panas) dahulu satu daripada acara yang menarik ialah abseiling, iaitu menuruni satu tebing tinggi dengan menggunakan tali. Abseiling ini sesuatu yang mendebarkan. Betapa tidaknya, terutamanya apabila kita memandang ke bawah, melihat tanah yang jauh di bawah dan menyedari betapa tingginya kita bergantung... terasa betapa gayatnya... Namun tentunya ramai yang akan mengatakan bahawa ia menyeronokkan, ada thrillnya.

Bagi seseorang yang telah biasa dengan latihan luaran, seperti yang pernah jadi anggota kadet atau dulu bersekolah di RMC, abseiling ni mudah sahaja. Cangkuk sahaja tali keselamatannya, dan zoom turun meluncur ke bawah tanpa berfikir panjang lagi. Ia tahu bahawa sistem tali-temali yang telah disediakan tersebut selamat, dan sekiranya ia melakukannya menurut yang sepatutnya, tak ada apa yang hendak digusarkan.

Namun tak semua kita pernah melalui latihan luaran atau ketenteraan sebegitu. Malah mungkin ada di antara kita yang semasa kecil dahulu pernah jatuh tangga atau katil atau apa jua tempat yang tinggi, lalu menyebabkan kita phobia dengan ketinggian seumpama tebing yang hendak dituruni itu. Apatah lagi ianya setinggi empat atau lima tingkat bangunan; kalaulah terjatuh memang nahas...

Bagi kawan kita sebegini, ia merasa begitu susah sekali untuk menuruni tali tersebut. Bukan ia tak tahu bahawa tali itu selamat. Malah anak-anak yang kecil pun begitu mudah menuruninya. Otaknya dapat merasionalkan bahawa tidak ada apa yang mahu dirisaukan. Namun ia tetap merasa gementar. Perasaannya kini yang menjadi penentu...

Dalam ia cuba menimbang dan memberanikan diri itu, bagaimana sikap yang lain? Adakah rakan yang tadinya telah biasa dengan adventure sedemikian akan mengejeknya atau cuba memaksanya turun juga. Kerana katanya, mengikut hukumnya tabiinya, memang tiada apa yang perlu ditakutkan. Kerana katanya, yang dirisaukannya itu hanya dalam fikirannya sahaja? Phobianya tidak ada rasionalnya...!? Lalu ia memarahinya kerana takut pula... apa ni, katanya, tidak jantan la kalau itu pun takut....!

Atau sebaliknya. Ia cuba memujuknya. Ia cuba meyakinkan rakannya dengan baik. Ia cuba mententeramkan hatinya. Dan tidak menambahkan lagi kegawatan di dalam pemikirannya dengan memarah dan mencemuhnya....?

Akhirnya sahabat kita inipun turun juga, dengan penuh berhati-hati, perlahan-lahan bergerak menyusuri dinding tebing. Tangannya mengggenggam tali dengan kuat... hatinya berdebar-debar... mulutnya berkumat-kamit mengingatkan segala doa yang diketahui... terbanyak anak dan isteri di rumah, kalau-kalaulah....

Namun ia sampai juga ke bawah. Mungkin tak selaju rakan yang pertama tadi, tetapi sampai. Bagaimana perasaannya? Bagaikan tidak percaya....! Aku telah lakukannya....! Aku telah lakukannya! Ia memandang kembali ke atas... bagaikan tidak percaya, ia telah menuruni lima tingkat... Namun entah macam mana, tampak olehnya tidaklah tinggi sangat...

Terasa kepuasan di dalam hatinya. Ia telah melalui satu halangan yang selama ini mengheret dan menahannya ke belakang. Terukir senyuman di bibirnya. Tiba-tiba timbul perasaan di hatinya... isyy... kalau cuba sekali lagi kot....

Begitulah manusia... manusia bukannya mesin atau jentera atau robot. Ia terkepung di antara rasional aqal, dan hati. Mungkin satu menentukan ya, tetapi yang lain mengatakan tidak. Tetapi apajua halnya sekalipun ia harus ditangani dengan baik. Aqal harus diyakinkan, dengan jalan logiknya. Ditunjukkan dalilnya dan sebabnya. Namun hati perlu dipujuk, diusap dan dibelai dengan penuh kefahaman dan pemahaman...

Dakwah menangani manusia. Kebenaran itu datang dengan hujjah dan dalil, dengan sebab yang kukuh dan natijah yang nyata. Namun dakwah bukan sahaja mensasari aqal manusia (walaupun memang benar, aqal itu sasaran primernya). Dakwah juga cuba mencapai hati manusia. Apatah lagi, dalam lebih banyak kes, yang menentukan pendirian seseorang insan (rightly or otherwise) ialah hatinya bukannya otaknya.

Duat tidak dapat "menghentam" manusia dan masyarakat semata-mata dengan "kebenarannya" sahaja, bagai memberikan katadua agar manusia menerimanya, "or else....!". Sebaliknya para duat harus juga dapat berempati dengan mad'unya, memahami jiwanya, mengenali masalah dan kekhawatirannya, lalu bersama-sama membantunya mengatasinya. Ia harus menyakinkan bahawa kebenaran itu juga ada perspektif kemanusiaannya.... dan manusia harus dibenarkan menerima kebenaran itu mengikut kadar yang ia selesa seikhlasnya dan tidak digegaskan. Seperti yang ditunjukkan melalui abseiling tadi.

Insya ALlah, di lain tahun, kita akan memandang abseiling sebagai lebih daripada berseronokan meloncat turun tali sahaja. Malah sebagai sesuatu yang dapat mencernakan keperibadian kita dan membentuknya juga. Begitu dalam pengajaran dan i'tibarnya.

WaLlahu a'lam.


Ainullotfi bin Abdul Latif
al-Fikri al-Lamburi

A Short Tale - For those who understand


There was a tale about a king of old. He had a dream and was perplexed by it. He gathered all the wise men of his kingdom and told them about the dream, and asked them what the omen was.

When the wise men heard him described the dream they were terrified. None was willing to come forward and offer their counsel. The king was angry. When he could not ask them to present him with their interpretion voluntarily, he commanded the guards to seize the eldest of them and bring the frightened sage before him. Then he commanded that the interpretation be made known to him.

Now the sage had no choice. He was shivering in fear, but he managed to utter a few words. He said, "My Lord! Forgive me, but the dream gives the omen that your daughter the Princess shall die first before you..."

The whole court was stunned. The Princess cried aloud and went to embrace her father the King. The King was even full of wrath. "What...!" he said, "how dare you! Guards, seize him and throw him to the lions..." The royal court was silence in fear, quite surprised at the whole episode.

Everybody could not say a word. The king was in no mood to prolong his presence there. He swiftly moved away, retreating into the palace, followed by the crying Princess. The Princess was his only heir, and a loved one too, especially since the queen died. She was all he had to pour his love...

The king spent several sleepless nights thinking about what the sage said. No, it couldn't be true, he said to himself. It was self-denial. He knew it, but he dared not ask another person again about the dream.

As times passed, however, he heard that there was a learned man living at the edge of his kingdom. This man, it was said, was very wise, and not only that, he was even a likable person. Even the animals seemed to like him, the king was told. So one day he overcame his grief and decided that it might be better if this particular wise man be consulted.

On the appointed day, the king's men went to invite the said sage to come to the palace. They presented him with the royal carriage, but he said he'd prefer to ride on his pony. So he went slowly while greeting the peasants on the way with the cheeriness and humbleness he's well known for. The royal entourage following him were however worried, for he took his time. They could still recall the fate of the previous sage.

At the palace people were already waiting. The king looked unsettled and restless on the throne. He frowned when he saw the learned old man coming in, but somehow, when the old man smiled at him, he felt at ease and assured. There's something special in this man, he thought. Well, he thought, let's see his wisdom. So he narrated the dream to the learned man, who listened attentively. At times he raised his brows, but never was he seen to be worried or frightened.

When the king finished telling about the dream, the court fell into complete silence. Everybody focussed at the sage. The old man looked for a while to the ground then raised his head. He looked at the king, directly but somehow not sharply, in a pleasant manner. Then he turned to the Princess who was sitting by her father. He stayed quiet for quite a while. It seemed like eternity...

Then he began to speak. "Praise be to the Lord, the Master of the Worlds. Your Highness, let it be known to all that indeed, if my understanding does not betray me, Your Highness' subjects will enjoy your rule, for You Highness will be the longest living member of the Royal family."

Suddenly the atmosphere of whole court changed from gloom to merry. The Princess kissed her father, smiling for the first time since the dream. "Lord Chamberlain, bestow the learned man honours and gifts as befitting his wisdom." And the Kingdom celebrated for the next seven days and nights.

The wise old man returned to his village riding his pony, still smiling all the way.

Ainullotfi al-Fikri al-Lamburi

Sekadar Berfikir: Apakah Budaya?


Artikel ini pertama kalinya disebarkan dalam MSM-Net pada 30 Mac 1995.


Lewat-lewat ini timbul lagi isu budaya, "Malam Budaya" dan seumpamanya dalam rangkaian kita ini. Saya rasa tertarik untuk mencelah mengetengahkan pandangan saya di sini.

Perkataan "budaya" ini agaknya termasuk kepada salah satu perkataan yang banyak disalahfahamkan orang (satu yang lain ialah "politik", tetapi itu kemudianlah).

Kita tanya banyak orang apa persepsinya apabila ia mendengar perkataan "budaya" ini disebutkan. Bagi banyak orang umum, rasanya gambaran yang segera terbayang ialah makyong, zapin, taridra, dikir barat dsb. Satu institusi yang segera terbayang ialah Kementerian Kebudayaan (sekarang ini, dan Pelancongan; dulu, Belia dan Sukan).

Saya pun tak faham entah kenapa penafsiran dan pemahaman yang sebegitu sempit ini boleh kita berikan kepada "budaya". Di dalam artikata yang luas, budaya (culture) membayangkan sesuatu yang berkait dengan kehidupan sesuatu kelompok atau golongan manusia. Dan kehidupan manusia itu jauh lebih luas daripada menari sahaja (atau dalam perpektif setengah pihak, bersanding juga). Budaya menggambarkan ketamaddunan sesuatu bangsa, dan ketinggian budaya menunjukkan ketinggiannya tamaddun (tamaddun ini juga sesuatu istilah yang banyak disalahfahamkan orang).

Bagi mereka yang hendak menakrifkan bangsanya hanya dengan beberapa persembahan zapin dan tarian lilin dan seumpamanya, tampak terserlah kedangkalan aqalnya. Di dalam dunia di mana bangsa-bangsa lain berkejaran-kejaran menakrifkan tamaddun mereka dengan ketinggian pemikiran dan ilmu (hence: "budaya ilmu", "budaya kerja") kita masih terkial-kial berbangga dengan .... pertunjukan bersanding (inilah agaknya hasil pemikiran yang menggandingkan "budaya" dan "pelancong", yang merupakan perpektif yang begitu "base" sekali) seolah-olah orang Melayu tak ada kerja, kahwin sahaja.

Kita lihat di dunia ini. Nilai bangsa manakah yang diukur melalui naluri rendahnya? Sebaliknya kita lihat bangunnya sesuatu tamaddun adalah bertepatan dengan masa ia menekankan "budaya ilmu" dan pemikiran, dengan banyaknya ahli-ahli fikir dan falsafah, ahli-ahli ilmu, pencipta dan peneroka. Pada masa yang sama, kita perhatikan bahawa zaman kemunduran atau kejatuhan sesuatu bangsa begitu berkait rapat dengan era "budaya" (dalam takrifan yang sempit kebanyakan orang), yang menekankan berpesta-pestaan dan bermeriah-meriahan. Lihatlah kejatuhan Rom, Greek, Parsi, Arab dsb.

Bagaimana dengan bangsa kita (tak kiralah, baik bangsa Melayu atau bangsa Malaysia)? Bilakah masanya agaknya apabila kita mahu mengubah persepsi kita, atau adakah kita cuma dapat berpuas hati semata-mata menjadi tontonan orang?

Kalau inilah budaya kita, kalau inilah mentaliti kita, saban tahun sibuk dengan pesta-pesta yang membayangkan "our state of decadence", sedangkan di keliling-kelalang kita begitu banyak isu-isu yang lebih gawat dan genting yang menggugat malah kewujudan bangsa kita sendiri, maka apakan daya...

Inilah cabaran Revolusi Pemikiran kita!

Wassalam,

"Membudayakan Islam Dalam Masyarakat"

Ainullotfi al-Fikri

Etika Perbedaan Pendapat: Renungan Untuk Mereka Yang Berfikir


Artikel ini pertama kalinya dinukilkan di UK dalam tahun 1990an.

Semoga sahabat-sahabat dan rakan-rakan semua berada di dalam keadaan yang sihat sejahtera, serta sentiasa berada di bawah perlindungan dan pengampunan ALlah s.w.t., insya ALlah. Pada hari ini saya ingin membawa sahabat-sahabat dan rakan-rakaan sekelian merenung suatu perkara yang mungkin jauh daripada pemikiran kita semua tetapi begitu hampir dengan diri kita. Saya katakan jauh kerana tidak ramai yang mahu merenung tentangnya, walaupun pada hakikatnya itulah yang merupakan duri dalam daging di dalam perhubungan sesama kita.

Perkara yang saya maksudkan ialah perbedaan pendapat di antara kita. Tak kiralah, sama ada perbedaan pendapat dalam menilaikan sesuatu, mentafsirkan sesuatu, atau dalam memberikan penyelesaiaan kepada sesuatu persoalan. Pokoknya, terdapat kelainan di dalam apa yang difikirkan, diutarakan dan dilaksanakan.

Perkara ini boleh dilihat secara positif ataupun secara negatif. Bergantung kepada siapa yang melihat, dan bagaimana ia dilihat.

Perbedaan pendapat - al-ikhtilaf - juga telah menjadi perkara yang merenggangkan dan memecahbelahkan ummah ini. Ia menjadi punca (mungkin simptom?) kepada fitnah al-kubra, yang berlarut dengan perselisihan di antara Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib (karamaLlahu wajhah) dan Sayyidina Mu'awiyyah bin Abi Sufyan. Ia mencetuskan pertumpahan darah yang turut melibatkan Ummul-Mu`minin 'A`isyah (radhiyaLlahu anha) di dalam Perang Jamal. Ia telah memecahkan ummah setelah itu kepada beberapa firqah.

Di zaman moden ini, fenomena yang sama juga telah menyebabkan berlarutannya perang saudara di Afghanistan, setelah kejayaan jihad menghalau Tentera Merah. Begitu juga, ia menjadi sebab persengketaan dan perselisihan di antara kumpulan-kumpulan mukhlisin yang mahu menegakkan Islam di serata bumi Islam, hatta di tanahair.

Sedangkan ALlah telah berfirman di dalam al-Qur`an:

    Dan hendaklah kamu semua berpegang dengan tali ALlah dan janganlah pecah-belah. Dan ingatlah akan nikmat ALlah ke atas kamu: ketika kamu berada di dalam permusuhan, lalu ALlah mempersatukan hati-hati kamu, maka jadilah kamu, dengan nikmat-Nya, bersaudara, padahal kamu sudah hampir menjerumus ke dalam api neraka lalu ALlah menyelamatkan kamu daripadanya. Sedemikianlah ALlah menerangkan dengan jelas ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu beroleh petunjuk.
              [Ali 'Imran 3:103]
Ini kalau dilihat secara negatifnya.

Dalam pada itu juga kita memperhatikan bahawa ALlah memerintahkan agar kita bersatu. Artinya tidak berpecah. Namun ini tidak bermakna tidak mempunyai pandangan yang berbeda-beda. Benar, seboleh-bolehnya kita harus bersatu pandangan tetapi seandainya ini tidak mungkin, mengapakah mesti kita menyimpulkan bahawa kita, oleh kerana itu, harus berpecah dan bermusuhan? Ini merupakan jalan logik yang tidak kena...

Kita perhatikan para sahabat. Adakah setiap mereka sebulat suara menanggapi sesuatu isu? Saya rasa tidak, walaupun mungkin kerapkali dalam menanganinya mereka boleh bersatu.

Kita ambil kes perang Uhud. Ar-Rasul (s.a.w.) meminta pandangan para Sahabat sama ada harus melawani musuh di dalam kota (Madinah) ataupun di luar kota. Kedua-dua pandangan ada yang memperkukuhkannya dan masing-masing ada hujjahnya. Akhirnya disimpulkan oleh ar-Rasul (s.a.w.) dan mereka teruskan mara ke luar kota. Walaupun akhirnya kaum Mu`minin mengalami berbagai kesulitan, adakah sesiapa yang menyalahkan keputusan asal tadi?

Di dalam suatu kisah, ar-Rasul (s.a.w.) menghantar sekumpulan Sahabat pergi menjalani suatu ekspedisi, dan memerintahkan agar tidak bersolat 'Asr melainkan di tempat yang hendak ditujui. Perjalanan tersebut, bagaimanapun, mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan. Sebahagian Sahabat merasakan oleh kerana waktu 'Asr hampir habis, mereka harus bersembahyang 'Asr terlebih dahulu, agar dapat solat di dalam waktu. Sebahagian yang lain, bagaimanapun, tetap berpegang dengan kefahaman mereka tentang sabda ar-Rasul (s.a.w.) tersebut, menunggu sehingga sampai ke destinasi mereka. Apabila mereka kembali perkara ini dikemukakan kepada Nabi. Adakah Nabi s.a.w. memarahi sekumpulan daripada mereka? Sejarah memberitahu bahawa tidak. Kalau tak salah saya, Nabi (s.a.w.) cuma senyum sahaja.

Pengajarannya ialah Nabi telah membuka jalan untuk ummatnya melihat sesuatu dengan cara yang lebih terbuka dan tidak menyempitkan. Asalkan di dalam taqwa. Kumpulan yang kedua memegang perkataan ar-Rasul (s.a.w.) secara zahir, manakala yang pertama memahamkan perintah ar-Rasul agar bersegera ke destinasi, supaya sampai sebelum selesai waktu 'Asr.

Setelah kewafatan ar-Rasul, para Sahabat tertebar ke serata pelusuk dunia, malah ada yang sampai ke negeri Cina sekalipun, seperti Sa'ad bin Abi Waqqas. Di dalam banyak perkara mereka akan merujuk secara langsung kepada al-Qu`ran dan as-Sunnah, tetapi terdapat juga isu-isu baharu yang harus ditangani. Apa yang mereka laksanakan? Mereka tetap berbekalkan kefahaman mereka yang mendalam terhadap kedua-dua sumber itu walaupun tidak secara perinciannya. Lalu mereka menjalankan ijtihad mereka sendiri (berdasarkan kefahaman tersebut, bukannya membelakangkannya). Inilah seperti yang diucapkan oleh Mu'adz bin Jabal r.a. apabila dilantik menjadi Gabnor di Yaman. Menurutnya, mula-mula beliau akan merujuk kepada al-Qur`an; kalau tidak ada, kepada Sunnah ar-Rasul; kalau tidak ketemui juga, dengan ijtihadnya sendiri.

Persoalan, dengan jarak yang sebegitu jauh yang tidak memungkinkan perhubungan yang segera (tak maacam kitaa, boleh gunakan email), wajarkah kita menuntut supaya setiap pendapat mereka bersepadan hingga ke hamzahnya? Tentunya tidak mungkin. Perbedaan pendapat di antara dua Sahabat dan Faqih yang besar, Ibn 'Umar dan Ibn Abbas sahaja sudah cukup untuk menggambarkan ini. Namun adakah mereka bermusuhan dan saling caci-mencaci? Maha suci Tuhan yang telah mengangkatkan kehormatan mereka ke darjat yang begitu mulia untuk melakukan sedemikian.

Begitu juga perbedaan pendapat di antara ahlul-Madinah dengan ulama' Kufah. Malah, lebih klassik lagi, perbedaan pendapat di antara Imam Syafi'i dengan (of all persons) Imam Syafi'i sendiri. Qaul Jadid yang dikeluarkan di Masir berbeda dengan Qaul Qadim yang dibuahkan di Iraq. Adakah Syafi'i salah? Tidak, sebaliknya beliau betul pada ketika dan dalam keadaan beliau mengeluarkan pandangan tersebut.

Pada hakikatnya manusia ini lemah, dan ilmu ALlah itu luas. Lebih penting lagi, Islam mengajar bahawa tiada makhluk yang ma'sum, kecuali para Anbiya`.

WaLlahu a'lam.

Ainullotfi al-Fikri

Politik O Politik: Politik, Pemimpin, Parti dan Politicking


Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam ruangan Bicara Perdana, makalah Bicara terbitan Majlis Syura Muslimun UK & Eire (MSM) edisi bulan Oktober 1995.


Apabila perkataan politik disebut orang maka segeralah terbayang pada pemikiran kebanyakan orang satu senario yang digambarkan dengan perebutan kuasa, pertelagahan di antara parti-parti dan acapkali juga, peralihan alliances dan juga tipu muslihat malah treachery. Hatta kita diketengahkan dengan istilah main politik atau politicking, yang nyata tidak menunjukkan sesuatu yang membayangkan kepercayaan dan setiakawan. Malah seolah-olah menjadi satu penerimaan umum bahawa untuk berjaya di dalam politik seseorang itu harus licik, malah ada kalanya ruthless, dan orang yang dianggap baik dan lurus tidak mungkin ada masa depan dalam politik.

Begitu juga, apabila kita sebutkan "orang politik" maka segera terbayang seseorang yang aktif bergiat di dalam sesebuah parti politik, yang menyeru kepada masyarakat agar mereka menyokong partinya, dan yang berusaha pula agar ia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan yang selayaknya di dalam parti itu. Kawan hari ini boleh menjadi lawan esoknya, sehingga-kan terbit kata-kata "a week is a long time in politics". Politik seterusnya dikatakan adalah untuk mereka yang cukup gigih untuk mengharungi segala pancaroba sebegini, hinggalah akhirnya kelak berjaya untuk merealisasikan cita-citanya untuk sampai ke puncak tampuk kekuasaan.

Makhluk-makhluk yang lain tidak relevan lagi dengan politik, melainkan semata-mata sebagai mereka yang dipujuk dan dirayu, ataupun diugut dan diancam, untuk mendapatkan sokongan dan undi, yang akhirnya akan menjadi sebagai sebahagian daripada statistik untuk menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu kumpulan. Seolah-olah sebagai bidak-bidak permainan yang menghasilkan pemenang dan yang kecundang.

Kerana begitulah jadinya permainan politik di dalam masyarakat kini, banyak mereka yang terlibat sudah tidak segan-segan lagi menggunakan kaedah-kaedah yang tidak bermoral bagi mencapai matlamat politiknya. Politik Machiavelli sudah menjadi lumrah bukannya kecualian. Nilai-nilai setiakawan, amanah dan ikhlas tidak lagi berada di dalam kamus mereka. Matawang dan kebendaan menjadi kedua-dua matlamat dan juga alat; politik digunakan untuk meraih kekayaan dan sebaliknya juga, kekayaan digunakan untuk membeli sokongan. Contoh di dalam akhbar baru-baru ini tentang seorang politikus yang mendaftarkan 20 buah syarikat untuk tujuan politiknya menerangkan perkara ini. Lebih serius lagi, kita didengarkan pula dengan tuduhan-tuduhan politik wang yang berleluasa di tanahair hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun apakah gerangan yang dikatakan politik ini? Dan sejauh manakah benarnya persepsi popular sebegini?

Istilah "politics" bermakna:

  • the arts and science of government
  • public life and affairs as involving authority and government

Istilah "siasah" pula dipinjamkan daripada bahasa Arab dan berasal daripada katadasar "saasa" (sin-alif-sin) yang membawa makna:
    to dominate, govern, rule;
    to lead, guide, conduct, direct;
    to administer manage, regulate

Rujukan kepada pemerintahan di sini nyata membayangkan kepentingan umum dan bagaimana masyarakat dan negara disusun dan ditadbirkan, lebih daripada siapa menjadi pemimpin.

Di sini nyata kita lihat dua isu ketara dalam pembahasan politik. Pertamanya, fokus politik seperti yang difahami umum kini telah berubah daripada yang dipimpin, yakni masyarakat itu sendiri, kepada yang memimpin, atau mereka yang disebut sebagai politikus. Keduanya, pemahaman mengenai politik telah disempitkan kepada parti-parti politik dan pergelutan kuasa di antara mereka, dengan mengenepikan keluasan kepentingan umum itu sendiri, walaupun tidak dinafikan ada kalanya perkara-perkara seperti polisi, ideologi dan selesaian kepada masalah masyarakat ditaburkan sebagai perencahnya.

Politik dan Kepemimpinan

Tidak sesiapapun dapat menyang-kal bahawa kepemimpinan merupakan unsur penting di dalam politik. Sesuatu masyarakat yang tersusun adalah yang mempunyai kepemimpinan yang dapat membimbingnya ke suatu halatuju yang jelas dan bermakna. Mahu atau pun tidak pemimpin adalah satu keperluan bagi masyarakat, dan di dalam Islam sendiri, menegakkan institusi kepemimpinan atau imarah adalah satu kefardhuan.

Islam begitu jauh berbeda daripada konsep yang dibawakan baik oleh politik moden maupun oleh politik jahiliyyah. Kepemimpinan hanyalah sebagai alat atau jalan, bukan ia sendiri pula yang menjadi matlamat. Kepemimpinan adalah satu tanggungjawab, lantas sesuatu yang dielakkan, sekiranya boleh. Pada masa yang sama, sekiranya terpaksa, ianya dipikulkan dengan penuh amanah dan rasa takut.

Lantaran itu juga, politik di dalam Islam menjadi suatu tanggungjawab dan amanah, untuk membolehkan masyarakat menjalankan fungsinya dengan sempurna, dan bukannya sebagai satu gelanggang pertandingan di antara individu-individu yang bersemarak dengan cita-cita peribadi atau kepentingan kumpulan. Di sini kita lihat kepincangan politik sepertimana yang kita ketahui masa kini. Para politikus bergelut di antara satu sama lain, untuk mencekup kedudukan-kedudukan politik, memandangnya sebagai habuan dan privilege lebih daripada bebanan dan tanggungjawab.

Malah beberapa ahli politik yang masyhur, tanpa merasa cuak mereka mengisytiharkan sejak di bangku sekolah lagi bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau Presiden dsb, sepertimana rakannya bercita-cita untuk menjadi doktor dan arkitek. Seolah-olah telah lenyap tujuan asal kepemimpinan itu sendiri.

Fokus ini harus dikembalikan kepada yang sewajarnya, daripada pemimpin kepada yang dipimpin, daripada disibukkan dengan persoalan "siapa ketua" kepada "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya (yakni, ubudiyyah kepada ALlah)", tanpa mengurangkan kepentingan kepemimpinan dalam masyarakat. Masyarakat harus kerap diingatkan dengan noktah ini.

Politik dan Kepartian

Ini membawa kepada isu yang kedua, kerana persoalan "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya" adalah sesuatu yang boleh ditangani oleh semua, bukannya pemimpin sahaja. Ini memerlukan penglibatan semua di dalam menangani "isu-isu politik", dan tidak terhad kepada mereka yang berada di dalam lingkungan kepartian semata-mata. Untuk itu kesedaran politik yang meluas haruslah dipupuk di dalam masyarakat. Untuk itu juga masyarakat harus dapat membedakan di antara isu-isu politik umum dengan isu-isu kepartian. Walaupun politik dan parti, dalam suasana politik semasa begitu berkait, kedua-duanya tidak boleh disamakan.

Kekeliruan ini bukan sahaja menjadi ketara dengan pemahaman umum, malah dikuatkuasakan dengan undang-undang. Kita masih ingat lagi adegan lucu di mana seorang Menteri dalam cuba menerangkan betapa pertubuhan-pertubuhan perlu diberikan pengkelasan yang jelas: samada sebagai parti politik, pertubuhan politik atau pertubuhan persahabatan, membawa garfu dan sudu di hadapan kamera TV, sebagai analogi yang padanya sungguh ketara. Namun adakah sebuah organisasi yang dikatakan pertubuhan persahabatan tidak berhak untuk mengeluarkan suara di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat?

Hak malah kewajiban untuk berpolitik dalam ertikata yang luas bukan sahaja dominasi parti politik, tetapi setiap warga yang yang terkesan dengannya. Menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran di dalam masyarakat, dan menyusun masyarakat menurut lunas-lunas ini, merupakan isu pokok bagi politik, dan tentunya tidak harus diserahkan semata-mata kepada parti-parti politik sahaja.

Malah kalau kita perhatikan, institusi politik kepartian merupakan sesuatu yang baru dalam politik, ciptaan politik barat, terutamanya tradisi Westminster, yang begitu menekankan tentang balance of power - lantas konsep pemerintah dan pembangkang - lebih daripada concensus of understanding atau musyawwarah yang ditekankan oleh Islam. Ini memerlukan kumpulan-kumpulan politik yang partisan sifatnya, menekankan semangat kumpulan lebih daripada kebenaran ('asabiyyah?).

Di atas semangat inilah agaknya, Imam Hassan al-Banna menegaskan:

    Sesungguhnya perbedaan di antara kepartian dan politik adalah jauh. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, dan kadangkala berpisah. Kadang-kadang seseorang itu adalah orang politik dengan sepenuhnya, dalam keadaan ia tidak mempunyai parti dan tidak ada hubungan dengannya. Kadang-kadang seseorang itu adalah 'orang parti', dalam keadaan ia tidak mengetahui sedikitpun mengenai perkara politik. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, maka jadilah ia sebagai 'orang politik dan parti' atau 'orang parti dan politik'. Ketika saya bercakap mengenai siyasah di dalam kalimah ini, yang saya maksudkan hanyalah politik semata-mata, iaitu pandangan terhadap urusan-urusan ummah, dalaman dan luaran, yang tidak terikat dengan parti sama sekali.

Kita tidak menafikan bahawa di dalam suasana realiti politik kini kita tidak dapat lari daripada politik kepartian hatta dalam memperjuangkan Islam dan berdakwah sekalipun. Tetapi dua perkara harus sentiasa ditekankan: pertamanya, semua, baik di dalam parti maupun di luar parti, berhak dan berkewajipan untuk menangani isu-isu politik (dalam ertikata yang luas, yakni yang menyentuh perjalanan masyarakat), dan keduanya, yang turut sama pentingnya, politik, terutamanya politik kepartian, hendaklah tunduk kepada matlamat dan adab dakwah itu sendiri, berada di bawahnya dan bukannya mengatasinya.

Perkara pertama telahpun disentuh sebelum ini. Peri pentingnya perkara yang kedua tidak dapat disanggah lagi. Bagi pendakwah dan pejuang Islam, ia membedakan mereka yang mempergunakan politik kepartian, dengan yang lain yang tenggelam di dalamnya. Kelainan yang memberi makna baru kepada istilah politicking, yang dicernakan bukan sahaja dengan slogan, tetapi juga dengan akhlaq dan keperibadian, diperlengkapkan dengan nilai keadilan dan bukannya expediency dan populism, dan dengan visi yang jauh dan bermakna, yang dapat membawa rahmah kepada masyarakat itu sendiri.

Ia juga mengingatkan mereka bahawa peranan yang mereka mainkan adalah sebahagian sahaja daripada perjuangan itu, dan di luar terdapat beberapa lagi peranan yang perlu dimainkan oleh saudara mereka yang lain. Inilah yang dituntut oleh fikrah dan manhaj Islam itu sendiri. Apatah lagi, fikrah yang menegaskan kesyumulan Islam ini menekankan juga bahawa politik itu hanya sebahagian daripada ad-din, tentunya bahagian yang penting, namun bukan keseluruhannya, dan di sana ada lagi bahagian-bahagian seperti akhlaq, kekuatan, rahmah, keadilan, budaya, perundangan, ilmu, kebendaan, usaha, dakwah, jihad, aqidah dan ibadah, yang harus sama dibangunkan di dalam masyarakat, seperti yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah at-Ta'alimnya.

ALlahu 'alam.

Ainullotfi bin Abdul Latif